Erti Syawal buat Ning Baizura


Ning Baizura bersama suami tercinta, Omar Sharif.

Setelah hampir 25 tahun menjadi penyanyi dalam industri seni tempatan, baru kali ini penyanyi bersuara soprano, Ning Baizura Sheikh Hamzah diberikan peluang untuk menyanyikan sebuah lagu raya baharu bertajuk Syawal Ini.

Lagu ciptaan Alwin Santiago dan lirik oleh Shah Shamshir tersebut adalah atas permintaan peribadi wanita berusia 42 tahun itu yang merasakan sudah tiba masa untuk dia memiliki kenangan lagu raya sendiri.

Bukan mahu bersaing dengan lagu-lagu raya yang sudah lama melekat di hati dan telinga peminat, niatnya hanyalah untuk berkongsi erti raya bersama peminat.

“Saya minta Shah tuliskan lirik lagu raya minggu lalu sekadar untuk suka-suka. Selepas melihat bait-baitnya mempunyai makna tersendiri, saya rasa ia perlu dirakam dan didengar oleh peminat.

“Jadi, saya hantar lirik itu kepada Alvin dan dalam tempoh dua hari, melodinya sudah siap digubah. Saya bersyukur kerana proses pembikinan lagu ini berjalan dengan pantas dan lancar,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Universal Music di Hotel Concorde, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah pelantun lagu Awan Terpilu itu, lagu rayanya tidak memfokuskan tentang kegembiraan Syawal sahaja. Sebaliknya, ia sebuah karya refleksi diri tentang cabaran yang perlu dilalui dalam bulan Ramadan dan meraikan Syawal dengan kemenangan.

Kata Ning, erti lebaran lebih luas skopnya dan bukan tertumpu kepada aktiviti memakan ketupat rendang, bergelak ketawa dan membeli baju baharu semata-mata.

“Lagu Syawal Ini amat bermakna kerana ia mengingatkan kita untuk sentiasa berbuat baik sesama insan. Tiada sebarang perbandingan atau pertandingan dalam suasana menyambut hari raya kerana tujuan kita adalah sama-sama meraikan kemenangan berpuasa.

“Saya berpuas hati dengan keseluruhan lagu ini dan berharap ia juga mampu memberikan aura positif kepada pendengar seperti yang saya hajatkan,” jelasnya lagi.

Bercerita tentang soal sambutan raya, isteri kepada Omar Sharif Christopher Layton Dalton itu berkata, dia sangat bersyukur kerana masih diberikan peluang untuk meraikan lebaran bersama bapa tercinta, Sheikh Hamzah Mohamed.

Raya bermakna

Menurut Ning, bapanya itu sudah mengalami beberapa siri serangan jantung dan pernah terjatuh sebanyak 22 kali di rumah seorang diri.

Akibat sering mengalami insiden tersebut, lelaki berusia 87 tahun itu mula menunjukkan tanda-tanda penyakit Alzheimer dan gagal mengingati orang sekeliling termasuk keluarganya sendiri.

“Buat masa sekarang, saya dan adik-beradik lain bergilir-gilir menjaga ayah yang sudah tidak mampu menguruskan rutin hariannya sendiri.

“Alhamdulillah, sejak awal Ramadan lalu, ayah menunjukkan tanda-tanda semakin pulih dan ingatannya kembali sedikit demi sedikit. Jadi, raya tahun ini memang lebih bermakna buat saya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, pelakon Maria Mariana 2 itu juga mengambil kesempatan Ramadan untuk mendedahkan anak tunggalnya, Ryan Sky Dalton dengan ilmu agama secara berperingkat.

Menerusi beberapa rakaman video dan gambar yang dimuat naik di laman Instagram Ning, Ryan yang berusia empat tahun dilihat menunjukkan minat mendalam untuk mempelajari surah-surah dalam al-Quran, malah sudah tahu mengerjakan solat dengan baik.

Sebagai seorang ibu, Ning meluahkan rasa bangga melihat perkembangan Ryan, malah secara tidak langsung ia memberikan kesedaran kepadanya untuk turut mendekatkan diri kepada Allah.

“Hati ibu mana yang tidak tersentuh melihat kesungguhan anak sekecilnya gigih mengaji dengan ustaz yang saya carikan untuk mengajarnya di rumah.

“Walaupun Ryan masih kecil tetapi saya bangga kerana dia mahu belajar tentang agama tanpa sebarang paksaan. Dia juga sudah boleh mengajar bapanya beberapa surah yang dihafal,” ceritanya menutup perbualan.

Post a Comment

Previous Post Next Post