Album Raya Ria Aidilfitri turut menampilkan anak Noraniza, Fee Haiqal yang mendendangkan lagu Niatku dan Aidilfitri Jadi Saksi.
RATU etnik irama Malaysia, Noraniza Idris lari daripada kebiasaan dengan menampilkan kelainan dalam album raya terbaharunya apabila memuatkan pelbagai jenis kandungan menarik di dalamnya selain lagu raya.
Dalam album kompilasi yang berjudul Ria Aidilfitri itu, Noraniza berkata, ia turut mengandungi sketsa dan ucapan khas daripada artis yang terlibat. Ia menampilkan barisan artis seperti Ihab Ismail, Fee Haiqal, L’zzay, Dalili Amerda, Fadzlee Sufri, Azmir Arid, Mimi Fly dan Royce Sa’ayan.
“Album ini sebenarnya sudah diterbitkan sejak sambutan hari raya tahun lalu tetapi belum ada kesempatan untuk melancarkannya. Jadi, saya ambil kesempatan melancarkannya secara rasmi pada tahun ini.
“Selain mengandungi 10 buah lagu, album ini diselitkan dengan ucapan khas hari raya daripada artis terlibat serta sketsa,” ujarnya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dan pelancaran album tersebut di Putrajaya baru-baru ini.
Jelas penyanyi berusia 49 tahun itu lagi, disebabkan penerbitan album berkonsepkan sketsa pendek yang menjadi trend dalam kalangan artis dahulu tidak lagi dikeluarkan menjadi penyebab mengapa beliau mengulang kembali nostalgia tersebut dalam album itu.
“Sewaktu kecil, album berkonsep sebegini masih ada tetapi sekarang memang tiada langsung. Kalau diikutkan, saya memang rindu nostalgia mendengar album sebegini sebab ia mengandungi mesej-mesej dan ucapan khas raya daripada artis.
“Disebabkan itulah muncul idea untuk menerbitkan album sebegini yang bukan sahaja menampilkan lagu tetapi juga diselang-seli dengan sketsa lakonan daripada kami artis yang terlibat dalam album ini.
“Secara tidak langsung, saya berjaya mengembalikan memori indah seperti itu yang ada nilai sentimental tersendiri buat saya dan peminat yang pernah merasai pengalaman mendengar album seperti ini,” ujarnya yang kali terakhir muncul dengan lagu raya pada 2008 menerusi lagu Aidilfitri Di Alaf Baru.
Antara lagu yang dimuatkan dalam album tersebut termasuk Rewang Raya nyanyian Noraniza Idris dan Mimi Fly, Angin Cinta di Aidilfitri (Ihab Ismail, Noraniza Idris, Royce Sa’ayan dan Azmir Arif), Linangan Syawal (Noraniza Idris dan Fadzlee Sufri) serta Niatku (Fee Haiqal, Ihab Ismail dan Dalili Amerda).
Selain itu, lagu Titian Hidup (Ihab Ismail), Ahlan Wasahlan Ya Syawal (Royce Sa’ayan, Noraniza Idris dan Ihab Ismail) dan Aidilfitri Jadi Saksi (Fee Haiqal dan L’zzay Affendy) turut dimuatkan dalam album kompilasi ini.
Raya di Singapura
Bercerita tentang sambutan hari rayanya pada tahun ini, pelantun lagu Dikir Puteri itu akan pulang berhari raya di kampung sebelah suaminya di Singapura selama lima hari.
Kongsi Noraniza tentang kemeriahan sambutan Syawal di sana, terdapat banyak perbezaan yang ketara kerana baginya sambutan di sana lebih meriah berbanding di negara ini.
“Kalau di Malaysia, masyarakat kita akan memakai pakaian raya pada hari-hari terawal raya sahaja. Selepas itu, kita lebih selesa mengenakan pakaian biasa. Namun, di Singapura budaya mereka memang lain kerana sepanjang Syawal mereka akan memakai baju Melayu dan kurung.
“Malah, budaya ziarah-menziarahi dari rumah ke rumah sangat kuat sehingga ke Syawal terakhir. Sebab itu sambutan raya di sana lebih meriah. Selain itu, juadah mereka juga agak berbeza daripada kita, terutamanya sambal goreng. Ia seakan sambal goreng masyarakat Jawa tetapi resipinya lebih asli,” beliau menutup cerita.