Shaheizy Sam bawa Syeriv balik kampung


SAM mengakui kelahiran Syeriv secara automatik mematangkannya dari banyak segi.

Sambutan Aidilfitri tahun ini cukup berbeza buat pasangan pelakon Shaheizy Sam dan Syatilla Melvin. Buat pertama kalinya, mereka bakal beraya dengan kehadiran cahaya mata sulung, Syeriv Samheizy yang lahir pada tanggal 9 Mei lalu.

Sungguhpun sibuk menguruskan isteri yang masih dalam tempoh berpantang dan perniagaan baju Melayu kerjasama dengan Elrah Exlusive, Sam, 35, tetap membuat persiapan raya secara sederhana.

Menurut Sam, sambutan Aidilfitri lebih istimewa kerana dia akan bercuti panjang. Tanpa sebarang komitmen kerja dalam masa terdekat, Sam akan menggunakan cuti raya kali ini untuk mengeratkan silaturahim dengan keluarga.

Selain sambutan raya, Sam turut berkongsi pengalamannya bergelar seorang bapa.

KOSMO!: Bagaimanakah perasaan Shaheizy Sam selepas bergelar seorang bapa dalam tempoh sebulan ini?

Shaheizy Sam: Alhamdulillah, sukar untuk saya luahkan dengan kata-kata perasaan menjadi seorang bapa. Seronok dan pada masa sama bersyukur dengan rezeki yang diberi Allah kepada keluarga saya.

Bagaimanakah pengalaman anda menjaga anak?

Syeriv seorang anak yang baik dan tidak banyak ragam. Dia hanya menangis jika hendak susu sahaja. Mudah untuk menjaganya dan saya sendiri terkejut kerana cukup susah untuk mendengar suaranya.

Sejujurnya, saya dan isteri obses dengan anak sendiri, agaknya itulah perasaan setiap ibu bapa. Baru saya tahu pengorbanan ibu bapa selepas memiliki anak sendiri. Secara automatik membuatkan saya lebih menghargai mereka kerana bukan mudah untuk besarkan anak.

Mungkin anda boleh jelaskan pemilihan nama anak yang unik iaitu Syeriv Samheizy?

Sebenarnya sebutan nama anak adalah Sherif tetapi saya modenkan ejaannya kepada Syeriv. Bagi saya, ia bukan satu masalah asalkan sebutan dan maknanya masih sama iaitu seorang yang dihormati dan mulia. Ejaannya memang unik, tetapi tetap mempunyai maksud yang baik.

Bilakah anda mahu dedahkan wajah Syeriv kepada umum?

Selepas Syatilla habis berpantang saya akan kongsikan wajahnya bersama peminat. Saya juga telah mendaftar akaun Instagram atas nama

@syerivsamheizy buat anak.

Walaupun belum mendedahkan wajahnya dan hanya memuat naik sekeping gambar, akaunnya telah memiliki sebanyak 22,000 orang pengikut.

Bagi saya, Instagram tersebut merupakan medan untuk berkongsi kebahagiaan bersama peminat.

Apakah perbezaan ketara pada diri anda selepas memiliki anak?

Paling ketara saya lebih bersabar, tenang dan matang. Jika dahulu saya rimas dengan suara bayi atau kanak-kanak menangis. Sekarang saya boleh tahan dengan tangisan anak. Selain itu, saya lebih banyak bersabar berbanding dahulu. Kelahiran Syeriv banyak mendewasakan saya dalam banyak segi.

Bagaimanakah sambutan Aidilfitri tahun ini?

Memang berbeza dan pastinya lebih seronok sebab kali pertama beraya sebagai bapa. Walaupun isteri berpantang ketika Ramadan dan saya sibuk dengan perniagaan baju Melayu tetapi persiapan tetap dilakukan secara sederhana.

Tahun ini saya akan beraya bersama keluarga Syatilla di Pulau Pinang. Kami akan balik kampung sehari sebelum Aidilfitri.

Boleh kongsikan perkembangan kerjaya anda?

Buat masa ini saya tidak mempunyai sebarang komitmen kerja kerana sedang menunggu penggambaran filem Polis Evo 2. Saya telah mempersiapkan diri untuk filem ini sejak bulan November tahun lepas. Oleh itu, saya mempunyai cuti raya yang agak panjang tahun ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post