Putera idaman Kaka Azraff


TIADA istilah sambalewa ataupun tidak bersungguh-sungguh dalam kamus kehidupan figura yang semakin memahat nama, Kaka Azraff sejak sekian lama.

Tidak hairanlah, pemilik nama sebenar Nor Atiqa Noor Azraff ini tidak lagi dibayangi pesona ratu rock yang juga ibu saudaranya, Ella kendatipun tidak sampai satu dasawarsa mewarnai industri hiburan tanah air.

“Alhamdulillah, saya tidak pernah mahu membuktikan sesuatu sejak menjejakkan kaki dalam industri sekitar enam tahun sudah. Bukan apa, hanya mahu melakukan sesuatu yang saya percaya, selain jujur dan ikhlas untuk dikenali peminat.

“Sejujurnya, saya tidak pernah menganggapnya sebagai sesuatu yang negatif waima pada awalnya sering kali dibandingkan dengan Ella serta terikat sebagai penyanyi yang hanya mampu berkolaborasi bersama artis lebih popular,” getusnya kepada Sensasi Bintang.

Sayugia semakin dikenali sebagai Kaka Azraff, ia disifatkan sebagai satu kepuasan, namun belum cukup buat aktres itu rentetan masih banyak yang perlu dibuktikan kepada orang di luar sana.

“Saya tidak pernah menetapkan sebarang sasaran untuk kekal dalam industri, mudah-mudahan masih aktif biarpun sudah bercucu.

“Justeru, saya sentiasa menjadikan Ella sebagai idola apabila selalu membikin kerja dengan jiwa,” ungkapnya melentur tawa di bibir.

Bakal tampil dengan single terbaharu yang mengekalkan sentuhan The Goodfellas sebagai komposer seperti mana lagu Bukan Hal Aku, kriteria ditetapkan Kaka juga cukup teliti supaya naskhah yang terhasil tidak semudah itu untuk dibakulsampahkan.

“Ia masih mengekalkan genre sama iaitu new sound, namun lebih matang berdasarkan melodi dan lirik yang lebih dekat dengan jiwa.

“Mesej yang ingin disampaikan juga kedengaran matang agar mampu menarik perhatian pendengar lebih dewasa, pada masa sama tidak kehilangan pengikut sedia ada.

“Cuma seperti mana lagu Bukan Hal Aku, segala-galanya hanya akan dipersembahkan kepada khalayak selepas kesemuanya selesai termasuk pembikinan muzik video,” ungkapnya yang kini giat mempromosikan single Ada Jalannya bersama Awi Rafael.


AKTRES ini memasang impian untuk menjadi penulis lirik dan komposer lagu suatu hari nanti.

Pada masa sama, Kaka juga memasang impian untuk menjadi penulis lirik dan komposer, selain meneroka cabang lakonan, pengacaraan dan nyanyian yang menjadi forte yakni keistimewaannya selama ini.

“Saya mahu belajar mencipta lagu dan menulis lirik, selain mengidam lebih banyak lagu untuk dinyanyikan,” katanya yang bakal tampil dengan filem dan telefilem terbaharu lakonannya berjudul Cinta Paradox dan Kesempatan Kedua tidak lama lagi.

Bakal menginjak usia 28 tahun pada 20 Mei depan, gadis jelita ini juga tidak boleh mengelak daripada ditebak masa sebenar menjulang pelamin bahagia.

Putera idaman

Sementelahan pula bertebaran gosip kononnya sedang menyulam molekul-molekul cinta bersama Rody Kristal selepas terlebih dahulu dikatakan terbitnya bibit-bibit kasih bersama Awi.

“Saya cuma berkawan bersama Rody dan Awi, buat masa ini soal perkahwinan belum bermain di fikiran.

“Sebagai insan yang cukup sukakan kanak-kanak, sudah tentu saya mahu mendirikan rumah tangga, namun hati belum bersedia.

“Buat masa ini, saya lebih teruja jika memikirkan soal kerjaya,” ujarnya yang memanjat rasa syukur selepas diuruskan dengan baik oleh Uprising Entertainment sejak tiga tahun lepas.

Mengakui tiada sebarang tekanan daripada keluarga berhubung perkara itu, Kaka sebaliknya reda dengan setiap ketentuan Tuhan berhubung jodoh.

“Mama memang cukup relaks mengenai hal ini, tekanan cuma hadir apabila melihat rakan-rakan sudah berkahwin, memiliki anak serta keluarga bahagia.

“Sekitar dua tahun lepas, saya juga pernah terfikir untuk mendirikan rumah tangga sebelum mencecah usia 30 tahun, namun lama-kelamaan ada baiknya saya mementingkan kepuasan diri berbanding memburu cinta,” ceritanya lagi.


KAKA bakal muncul dalam filem dan telefilem terbaharu lakonannya berjudul Cinta Paradox dan Kesempatan Kedua.

Ditanya mengenai ciri-ciri lelaki idaman sebagai seorang suami, ini jawapan jujur Kaka.

“Pastinya lelaki yang cukup menyayangi ibunya. Jika dia mampu menjaga ibunya sebagai seorang permaisuri, tidak mustahil dia mampu menjaga saya seperti seorang puteri.

“Selain seorang yang matang, lelaki yang memiliki humor serta deria muzik yang bagus pastinya satu bonus,” ujarnya.

Suka pintal rambut

Cukup soal peribadi, Kaka juga berkongsi mengenai perihal peribadinya yang barangkali tidak diketahui umum.

“Saya memang kuat makan, namun berat badan sentiasa berubah-ubah apabila mudah turun dan naik dalam masa yang singkat.

“Saya juga tidak memiliki sebarang pantang larang sebelum menyanyi, semuanya belasah saja,” jelasnya.

Selain suka ketawa berdekit-dekit, Kaka juga suka memintal dan mencabut rambut sejak kecil serta memasang impian untuk membuka nurseri suatu hari nanti.

Post a Comment

Previous Post Next Post