Elfira Loy luah lara hati di Instagram


Elfira Loy menyifatkan hubungannya dengan Sufian Suhaimi sebagai teman paling rapat.

Untaian rasa yang menerjah di hati Elfira Loy saat ini hanya dia dan orang paling rapat dengannya sahaja yang tahu.

Tidak perlu menyorak-nyorakkan ia kepada umum, namun gelojak hati tidak mampu menghalang diri berkongsi foto hari bahagia buat simpanan abadi.

Itu langkah yang diambil Elfira atau mesra disapa El itu apabila berkongsi foto sambutan hari lahir buat lelaki paling rapat dengannya, Sufian Suhaimi di laman Instagram.

Pelakon telemovie Biar Mimpi Sampai Ke Bintang itu membuat kejutan dengan membawa Sufian bersiar-siar menaiki helikopter sempena ulang tahun ke-25 lelaki itu pada 3 Mei lalu.

Malah, Elfira juga membuat kejutan dengan menganjurkan majlis sambutan hari lahir buat penyanyi lagu Harus Aku itu pada hari yang sama di The Shorea, Seremban, Negeri Sembilan.

Tidak ada cacat celanya dengan tindakan pelakon cantik itu, sementelahan Sufian sebelum ini pernah menghadiahkan 23 kuntum bunga ros merah kepada Elfira sempena ulang tahunnya yang ke-23 pada 8 Mac lalu.


Ironinya, tindakan Elfira berkongsi foto-foto hari bahagia bersama lelaki itu di Instagram mengundang kecaman segelintir pihak yang cemburu dan tidak berpuas hati dengannya.

Pelakon berusia 23 tahun itu dilabel sebagai terdesak dan takut dilabel tidak laku oleh seorang netizen. Berang dengan komen tersebut Elfira membalas kata netizen itu.

“Mulut awak itu sudah boleh dicampak ke longkang,” tulisnya di Instagram.

Ditembak kiri dan kanan, Elfira beberapa hari lalu sekali lagi memuat naik foto dengan kapsyen seolah-olah menggambarkan kekecewaan di hati.

Sensasi Bintang cuba menghubungi Elfira, namun wanita itu mengambil tindakan untuk tidak menjawab panggilan telefon.

Dia sebaliknya lebih selesa meluahkan apa yang terbuku di hati menerusi Instagram.

“Cemburulah seberapa banyak yang anda mahukan kerana saya tidak akan melayannya selepas ini,” luahnya.


Pada masa sama, pemenang Pelakon Pembantu Terbaik Drama pada Anugerah Skrin 2011 itu juga berkongsi kata jurufoto yang membidik gambar-gambar cantik sempena kejutan hari bahagia Sufian, @kakifoto_ sebagai penguat langkahnya.

“Biarlah. Semua orang berhak berkawan. Kita hanya perlu menerimanya. Ini adalah momen. Nanti menyesal kalau tidak ambil gambar,” kongsi Elfira lagi.

Terdahulu, spekulasi percintaan pasangan itu tercetus selepas Sufian menghadiahkan sebanyak 23 kuntum bunga ros kepada Elfira sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-23 pada 8 Mac lalu. Selain itu, mereka juga kerap memuat naik gambar berdua di akaun Instagram ma­sing-masing.

Bagaimanapun, kedua-duanya menafikan gosip percintaan tersebut dan melabelkan hubungan mereka sebagai teman rapat.

Post a Comment

Previous Post Next Post