Debaran, impian Amyra Zety


Amyra Zety terlebih dahulu berjinak-jinak dengan iklan komersial sebelum aktif sebagai pelakon.

Bergandingan dengan nama-nama besar dalam industri perfileman tanah air pastinya mengundang debaran yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.

Pendatang baharu yang ingin mencipta nama dalam bidang lakonan, Amyra Zety juga tidak terkecuali berperasaan sedemikian apabila bakal berkongsi pengalaman dengan nama-nama hebat seperti Beto Kusyairy, Nadiya Nisaa dan Dian P. Ramlee dalam filem arahan sutradara Jeffry Chiang berjudul Mak Kome, I Busylah! yang akan menjalani penggambaran tidak lama lagi.

“Sebagai pelakon baharu, sudah tentu perasaan gemuruh dan berdebar jelas bercampur-baur menantikan saat itu. Terus-terang, saya menganggap peluang ini sebagai ujian terbesar yang akan dihadapi sepanjang hidup.

“Mudah-mudahan, saya dapat mempelajari sesuatu daripada pelakon-pelakon berpengalaman, sekali gus memperoleh ilmu berguna untuk dijadikan panduan demi mencari sesuap rezeki sebagai seorang pelakon serba boleh,” getus Amyra Zety.

Mengulas lanjut, Amyra Zety atau nama sebenarnya Nur Izzati Amyrah Othman juga menyifatkan, peluang keemasan membintangi filem berorientasikan kekeluargaan berkenaan sebagai medan untuk membuktikan kehadirannya dalam bidang ini bukan sekadar suka-suka.

“Sudah tentu saya gembira dengan tawaran seperti ini. Bukan mudah buat mana-mana pelakon baharu untuk terlibat sama dalam sebuah filem berskala besar. Jadi, saya perlu membalas kepercayaan pengarah dan pihak produksi.


GADIS manis ini teruja apabila bakal bergandingan dengan pelakonpelakon berpengalaman dalam filem Mak Kome, I Busylah! yang bakal menjalani penggambaran tidak lama lagi.

“Ini merupakan rezeki saya, paling utama saya perlu membalas kepercayaan yang diberikan dengan memberikan mutu lakonan yang bagus serta meninggalkan kesan kepada penonton,” jelasnya.

Mula berjinak-jinak dalam beberapa iklan komersial sebelum ini, Amyra Zety juga memanjat rasa syukur apabila hasratnya untuk bergelar pelakon mendapat sokongan penuh keluarga sejak sekian lama.

“Sudah tentu saya teruja apabila bakat yang dimiliki akhirnya dapat dikesan menerusi iklan-iklan komersial sebelum ini.

“Keluarga juga memahami dan tahu keupayaan diri, jadi saya perlu membuktikan kemampuan untuk pergi lebih jauh dalam bidang lakonan.

“Sejujurnya, saya bertuah apabila mendapat sokongan keluarga, terutamanya ibu yang dianggap sebagai sumber kekuatan untuk mencuba nasib sebagai seorang pelakon,” ceritanya lagi.

Tidak hairanlah, gadis manis berusia 21 tahun ini juga sedang bersiap siaga termasuk mengikuti kelas lakonan supaya mutu lakonannya kelihatan lebih natural di depan kamera.

“Ini bukan perkara main-main, jika mahu bergelar pelakon masih banyak yang perlu saya lakukan, sekali gus membuktikan kemampuan sebenar.

“Justeru, saya akan mengikuti kelas lakonan untuk mengasah skil sebagai seorang pelakon, selain perlu sentiasa bersedia dengan asam garam dunia artis.

“Insya-Allah, jika benar-benar tertulis rezeki sebagai seorang pelakon, saya akan berusaha sedaya upaya untuk lebih dikenali khalayak,” ungkapnya seraya menoktah bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post