SimetriSiti, signal keunggulan Datuk Siti Nurhaliza


TAHUN ini genap 21 tahun penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza, menghiburkan peminat dengan koleksi lagu rancak, mendayu dan menyentuh jiwa.

Penyanyi baru datang dan pergi namun figura ini kekal unggul ‘di kerusinya’ sendiri.

Lebih istimewa, legasi muzik pemilik nama lengkap Siti Nurhaliza Tarudin ini tidak hanya bertumpu di negara sendiri, malah pesonanya jauh memancar ke luar negara,

Lagu bintang yang berasal dari Pahang dan mesra disapa Siti ini kekal malar segar dan menjadi siulan peminat.

Namun tarikh 5 Mei lalu menjadi satu lagi saksi terindah dalam perjalanan seninya apabila album studio ke-18 Siti, SimetriSiti dilancarkan dalam sebuah majlis eksklusif di Hotel Royal Chulan tepat jam 3.30 petang.

Menganggap SimetriSiti adalah naskah istimewa, tapi Siti tetap berdebar menantikan respons peminat.

Lebih mengujakan, 300 unit album terawalnya yang dijual di portal membeli-belah Lazada, sudah habis dalam masa kurang 20 minit!

Impian direalisasikan, istimewa buat peminat

Naskhah SimetriSiti sudah lama dinantikan selepas Fragmen pada 2014 dan penyanyi ini berharap album berkenaan dapat memberi kejayaan serupa seperti album sebelum ini..

“Untuk SimetriSiti misalnya, saya cuba beri sebaik mungkin terutama pemilihan lagu. Susunan muziknya juga saya beri kepercayaan kepada semua krew terlibat di dalam pembikinan album ini dan harapnya semua berpuas hati.

“Dalam album baru ni ada impian yang berjaya direalisasikan. Antaranya mahu nyanyikan lagu Opick dan sebuah lagu duet bersama Judika.

“Malah lima lagu di dalam SimetriSiti juga diiringi orkestra luar negara yang jadi sandaran pada kelainan dan keunikan album ini,” katanya kepada Media Hiburan.

Tambah Siti, kelainan tersebut merupakan satu pencapaian baru buat dirinya secara peribadi.

Sebuah persamaan dalam satu album

SimetriSiti, kata Siti adalah satu komitmen dalam misi untuk memberikan yang terbaik untuk peminat.

“Jika Fragmen lebih kepada personal, namun kali ini saya cuba utamakan konsep persamaan dalam segala hal, semua kena bagus. Perlu tekankan kualiti.

"Begitu juga untuk pembikinan cover album dan muzik videonya, Alhamdulillah, saya happy dengan outcomenya” ujar Siti yang turut mengakui agak sukar memilih 10 lagu terbaik daripada 300 yang diterima.

Siti mengakui, pemilihan lagu dari karyawam Malaysia dan Indonesia ini mengambil masa lebih empat bulan. "Kami duduk semeja dan mendengar setiap lagu yang diterima tanpa mengetahui siapa menghasilkan lagu tersebut.

“Akhirnya, inilah lagu yang mempunyai vote paling tinggi," beritahu Siti yang tidak boleh menyembunyikan emosinya apabila bercerita mengenai lagu hasilan Opick/Dian berjudul Aku Bukan Malaikat yang katanya khas untuk wanita berjiwa sentimental sepertinya.

“Mujurlah Yasin Sulaiman yang jaga vokal untuk lagi tu, sebab saya sebenarnya agak sebak juga masa proses rakaman. Jadi kena cepat-cepat stabilkan diri,” seloroh bintang yang dilahirkan pada 11 Januari 1979 ini lagi.

Isu peminat,cetak rompak

Akui Siti, sebuah lagu yang berjudul Penghiburku didedikasikan kepada peminat setianya.

“Itu idea last minute kerana ikut perancangan, saya sepatutnya nyanyi lagu Mandarin. Tapi tak jadi. Saya ada impian nak cipta lagu sendiri tapi perlu cepat sebab lagu lain dah siap.

“Tertekan juga sebab idea nak buat lagu tak muncul-muncul.

“Bila menantu tunggu masa bersalin Mac lalu, saya bersama keluarga lain melawatnya dan sementara menanti, saya cuba cari ilham untuk hasilkan Penghiburku yang turut menampilkan Joe Flizzow," katanya.

Dalam perkembangan lain, penghibur yang disenangi ramai ini sempat menyelar isu cetak rompak yang tidak pernah berpenghujung sejak dulu.

“Bila cakap soal pelancaran album baru, pasti ada isu cetak rompak. Bagi saya,kita pun susah nak kawal teknologi canggih sekarang, cuma peminatlah yang kena nilai sendiri.

“Ini kerja keras artis dan harapnya peminat saya atau mereka yang betul-betul tahu untuk menghargai, belilah menerusi platform yang betul,” harap Siti menutup bicaranya.

SimetriSiti akan berada di pasaran di empat negara iaitu Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia 10 Mei depan.

Post a Comment

Previous Post Next Post