TARIKAN - Aiman mengakui tertarik dengan kecantikan Anis Al Idrus saat pertama kali bertemu dengan wanita itu.
EPISOD cinta yang dilalui wanita bernama Anis Al Idrus bukan mudah sebenarnya. Biarpun pernah mengalami kegagalan percintaan sebanyak dua kali bersama lelaki berstatus selebriti, namun hal itu sedikit pun tidak membuatkan Anis serik mencari cinta sejati.
Tidak mahu menoleh ke belakang lagi, ternyata pertemuan diaturkan oleh rakan baiknya yang sama-sama terlibat dalam dunia pemodelan sekitar bulan Januari lalu berjaya memutikkan rasa cinta dalam hati dua pasangan sejoli itu.
Melihat kematangan lelaki berusia 35 tahun itu, naluri Anis pantas menaruh keyakinan bahawa Aiman Rafzan atau nama lengkapnya, Mohd. Rafzan Nurhikmal Abdul Halim adalah lelaki yang sesuai untuk merajai hatinya.
“Perkenalan kami bermula apabila diperkenalkan oleh adik Aiman yang merupakan kawan saya. Sejujurnya, ketika pertama kali berjumpa, jauh di sudut hati saya sudah berasa senang terhadap keperibadian dan kematangan yang dimiliki Aiman.
“Bukan itu sahaja, sikap Aiman yang pandai membawa diri ketika pertama kali saya menemukannya dengan ibu bapa juga membuatkan orang tua saya selesa dengannya,” ujar Anis yang ditemui ketika majlis pengumuman tarikh perkahwinannya di Shah Alam baru-baru ini.
Bercerita lanjut mengenai keputusan menamatkan zaman bujang pada usia 29 tahun, Anis atau nama sebenarnya, Sharifah Anis Syed Zainal Al-Idrus memberitahu, mereka sebenarnya sudah bertunang pada 24 Mac lalu dalam sebuah majlis tertutup.
Tambah pelakon drama rantaian Duda Terlajak Laris itu lagi, majlis akad nikah mereka akan diadakan di De’Laman Event Space and Wedding, Bukit Jelutong, Shah Alam pada 7 Julai depan.
“Majlis pertunangan kami berlangsung tertutup dan dihadiri oleh ahli keluarga terdekat sahaja. Saya bukan mahu mengelak daripada pengetahuan media tetapi adalah lebih elok merahsiakan pertunangan kemudian menghebohkan tentang perkahwinan.
“Pada 7 Julai ini juga majlis perkahwinan akan diadakan secara kecil-kecilan dengan seramai 350 orang jemputan sahaja. Saya juga tidak akan mengadakan majlis persandingan demi menghormati permintaan keluarga,” katanya.
Status
Menyingkap kembali tempoh perkenalan antara Anis dan Aiman yang boleh dikatakan berlaku dalam masa cukup singkat, sengaja kemudian wanita kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu disogok dengan persoalan, adakah dia terdesak mencari calon suami.
Melemparkan tawa sebelum menjawab, bagi Anis persoalan terdesak tidak sepatutnya timbul kerana jodoh, pertemuan dan rezeki merupakan perancangan Allah.
“Walaupun usia sudah mencecah 29 tahun tetapi secara jujurnya saya tidak pernah berfikir harus segera memasuki alam perkahwinan pada usia ini. Bagaimanapun, segalanya berubah apabila saya berjumpa dengan Aiman.
“Cara dia menjaga hubungan kami membuka hati saya untuk memikirkan masa depan dan seterusnya ke arah lebih serius. Pendek kata, berkawan 10 tahun pun jika dia bukan dijodohkan untuk kita, hubungan itu tetap tidak akan menjadi,” jawabnya optimis.
Terus rancak berbicara, Aiman yang setia berada di sisi Anis kemudian ditanya tentang status dirinya. Tanpa berselindung, pereka hiasan dalaman yang turut terlibat dalam bidang pembinaan itu terbuka berkongsi statusnya yang merupakan duda anak satu. Anak lelakinya kini sudah berusia 10 tahun.
“Benar, saya merupakan seorang duda. Saya pernah membawa anak lelaki berjumpa dengan Anis. Saya lihat mereka berdua cepat mesra antara satu sama lain,” jawabnya ringkas.
Tidak membiarkan Aiman sendirian bercerita tentang latar belakangnya, Anis segera mencelah.
“Saya tidak pernah melihat status Aiman sebagai masalah dalam hubungan kami. Aiman juga boleh menerima keadaan diri saya dan sangat memahami kerjaya saya dalam bidang seni.
“Aiman merupakan seorang yang pendiam. Karakternya begitu berbeza dengan diri saya tetapi perkara itu membuatkan kami begitu serasi bersama,” terangnya tersenyum.
Ramadan
Menjadi perkara biasa bagi setiap wanita, keutamaan pastinya lebih tertumpu kepada sang suami usai akad dilafazkan. Ditebak, adakah Anis akan mengurangkan kerjaya seninya sebagai pelakon, pengacara dan penyanyi selepas berkahwin, wanita itu tersenyum panjang.
Mengakui bersyukur Aiman seorang yang sangat memahami, Anis berkata, dia masih akan meneruskan kerjayanya seperti biasa biarpun sudah bergelar isteri.
“Saya akan meneruskan karier seni seperti biasa. Biarpun bakal suami tidak menghalang, tetapi saya tetap akan menjaga batas agar tidak menimbulkan sebarang masalah pada kemudian hari.
“Mujur Aiman begitu memahami kerjaya saya kerana waktu cuti kami juga berbeza. Bayangkan, selepas berkahwin jadual saya sudah penuh sehingga hujung tahun, jadi mungkin perancangan bulan madu terpaksa ditangguhkan ke tahun hadapan,” katanya.
Beralih ke arah kisah bulan Ramadan pula, Anis kelihatan begitu teruja. Biarpun rutin Ramadan masih berlangsung seperti biasa, namun wanita itu menyifatkan tahun ini suasana pasti berbeza kerana berpeluang berpuasa bersama tunangnya.
“Semestinya saya tidak sabar menantikan waktu berbuka puasa bersama Aiman. Seperti kebiasaan, pastinya saya yang lebih banyak makan berbanding dirinya.
“Selain itu, rutin Ramadan saya masih berlangsung seperti tahun-tahun lalu. Jika artis lain menggunakan peluang semasa Ramadan untuk berehat tetapi saya pula lebih selesa bekerja. Persiapan perkahwinan juga sudah hampir selesai, jadi tiada masalah untuk turun ke lokasi penggambaran.
“Tidak lama lagi saya menjalani penggambaran sebuah telefilem untuk tayangan RTM. Saya juga akan terlibat dengan program Jom Masjid di Temerloh, Pahang dan Sungai Petani, Kedah serta penggambaran rancangan Dia Yang Pertama juga terbitan RTM,” ujarnya yang gemar bersahur dengan memakan oat atau bijirin sahaja.