ELFIRA mengendalikan program Ramadan 101 bersama Ustaz Elyas Ismail di saluran TV9 setiap Isnin hingga Jumaat pukul 7 malam bermula hari ini.
DUA tahun memperlahankan aktiviti seni tidak bermakna pelakon Elfira Loy memberi bayangan untuk mengangkat bendera putih, sekali gus mengundurkan diri daripada pentas lakonan,
Tegasnya, sepanjang tempoh tersebut dia banyak memberi tumpuan kepada pengurusan kafe, Love Me Sevendays miliknya selain banyak dijemput sebagai penceramah motivasi buat golongan belia berkaitan perniagaan.
Ditemui sewaktu pelancaran rancangan Ramadan TV3 dan TV9 di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur minggu lalu itu, Elfira menambah, dia juga lebih fokus ke arah bidang pengacaraan berbanding lakonan.
Pertama kali muncul sebagai pengacara sewaktu mengendalikan rancangan Assalamualaikum di saluran TV Alhijrah telah membuka ruang buat Elfira terlibat dalam salah sebuah program di TV9 bertajuk Ramadan 101.
Program yang bakal memulakan siaran hari ini memperlihatkan gandingan Elfira bersama Ustaz Elyas Ismail bagi berkongsi panduan dan amalan sepanjang menjalani ibadah puasa.
KOSMO!: Sekian lama tidak melihat kemunculan Elfira menerusi televisyen, adakah itu bermakna anda kini memilih untuk meninggalkan kerjaya lakonan?
ELFIRA: Sejak dua tahun lalu, saya memilih untuk memperlahankan kerjaya lakonan kerana ingin memberi tumpuan kepada pengurusan kafe, Love Me Sevendays. Dalam pada itu, saya juga banyak terlibat dengan aktiviti ceramah motivasi berkaitan pengurusan perniagaan dan inspirasi kepada golongan belia.
Difahamkan anda juga lebih cenderung ke arah bidang pengacaraan berbanding lakonan, mengapakah keputusan sebegitu diambil?
Pada awalnya saya berniat melakukan perubahan kerjaya. Bermula dengan tawaran mengacarakan program Assalamualaikum di TV Alhijrah sekitar Februari lalu, minat dalam pengacaraan mula timbul. Insya-Allah sepanjang bulan puasa ini saya akan tampil dalam rancangan Ramadan 101 di TV9 bermula 29 Mei ini (hari ini). Program tersebut akan bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Jumaat pukul 7 malam.
Apakah cabaran sepanjang sesi penggambaran program tersebut?
Memandangkan program Ramadan 101 merupakan rancangan berkonsep islamik, jadi saya gusar sekiranya cara penyampaian kurang memuaskan atau berlaku kesilapan maklumat terutama berkaitan panduan ibadah Ramadan.
Mengendalikan program ini turut menuntut saya untuk melakukan kajian sendiri serta perlu memahami topik yang ingin disampaikan secara menyeluruh. Dalam pada itu, saya juga ingin berterima kasih kepada Ustaz Elyas Ismail kerana banyak membantu agar informasi yang disampaikan menjadi lebih mudah difahami.
Awalnya saya berpendapat apabila mengendalikan program berbentuk kerohanian elemen humor perlu dikurangkan, namun konsep yang sebaliknya cuba ditonjolkan oleh Ustaz Elyas Ismail. Cara itu secara tidak langsung membantu saya menjadi lebih santai dan menyampaikan maklumat secara bersahaja.
Memandangkan anda masih baharu dalam bidang pengacaraan, apakah persediaan yang dilakukan sebelum memulakan sesi penggambaran?
Saya akan pastikan setiap topik yang akan dibincangkan difahami terlebih dulu. Jika tidak, bagaimana saya ingin menjelaskannya kepada penonton. Saya juga banyak menonton beberapa program televisyen lain bagi memperbaiki teknik pengacaraan program bual bicara agar tidak kelihatan kekok.
Memberi lebih banyak tumpuan kepada pengacaraan, tidakkah anda merancang untuk kembali aktif berlakon?
Tidak dinafikan saya memang berasa rindu untuk kembali berlakon. Kepadatan jadual kerja bagaimanapun telah membataskan saya daripada menerima sebarang tawaran lakonan kerana bimbang akan mengalami keletihan sehingga sukar untuk memberi komitmen sebaiknya.
Biarpun berasa rindu untuk kembali berlakon, buat masa sekarang bidang pengacaraan lebih memberi keselesaan kepada saya menguruskan jadual kerja dan menghabiskan masa untuk diri sendiri dan keluarga.
Adakah anda kini semakin bersikap selektif?
Biarpun baru berusia 23 tahun tetapi penglibatan saya dalam bidang seni telah mencecah lebih sedekad. Sikap selektif itu lebih kepada kualiti naskhah yang berbeza daripada kebanyakan cerita yang pernah dilakonkan selain peluang untuk bergandingan dengan pelakon senior.