Siti Nordiana hibur peminat atas kapal pelayaran mewah


SITI NORDIANA teruja untuk melakukan persembahan di atas kapal pelayaran mewah Super Star Libra Cruise pada bulan Ogos depan.

Sepanjang 18 tahun bergelar penyanyi, Siti Nordiana jarang sekali terpalit dengan gosip melibatkan komitmennya sebagai seorang anak seni. Mula dihambat populariti drastik sejak diangkat sebagai juara program realiti nyanyian, Gegar Vaganza 2 (GV2), dia tidak menang tangan sehingga ada pihak melabelkan dirinya mula berubah sikap.

Baru-baru ini, pelantun lagu Cinta Hanya Sandaran yang mesra disapa dengan panggilan Nana itu dikatakan datang lambat ke satu persembahan atau showcase dan sesuka hati menukar giliran persembahan.

Terkilan dan kecewa dengan perkara itu, Nana ketika ditemui pada sidang akhbar Showcase Pelayaran bersama Siti Nordiana Sambil Menderma di ibu negara berkata, dia tidak mahu perkara tersebut dipanjangkan lagi kerana ia berlaku disebabkan salah faham.

“Sebenarnya, saya rasa terkilan juga kerana sedikit sebanyak orang akan fikir saya buat perangai. Namun, saya tidak mahu perkara ini dipanjangkan.

“Kalau ada perkara yang terlepas pandang atau tidak disengajakan, saya mohon maaf. Ianya hanya salah faham dan sudah diselesaikan dengan cara baik,” jelas Nana atau nama sebenarnya, Siti Nordiana Alias, 32.

Bukan sahaja melibatkan diri dalam bidang nyanyian dan lakonan, Nana yang bergelar pengacara program Gema Gegar Vaganza (GGV) bersama dua pengacara lain, Achey dan Fikry juga menerima kritikan tentang gaya pengacaraannya.

“Pada permulaannya, saya tidak baca sangat komen-komen netizen tapi selepas beberapa minggu, saya sudah okey untuk membacanya. Saya biarkan sahaja kerana tidak mahu fokus mengacarakan program tersebut terganggu.

“Saya bernasib baik kerana rakan pengacara, Achey dan Fikry memberikan kerjasama yang baik walaupun masing-masing sibuk dengan hal kerja lain di luar pentas GGV,” kata Nana.

Sementara itu, Nana turut bercerita lanjut tentang Showcase Pelayaran bersama Siti Nordiana Sambil Menderma yang bakal berlangsung pada 12 hingga 13 Ogos depan.

Nana akan menghiburkan peminatnya di atas kapal pelayaran mewah Super Star Libra Cruise di Pulau Pinang.

Kongsi Nana, dia berasa sangat teruja untuk mengadakan persembahan di atas kapal pelayaran kerana sebelum ini dia tidak pernah menaiki mana-mana kapal pelayaran.

“Sebenarnya, program ini sepatutnya berlangsung pada 12 Mei lalu, namun disebabkan jadual seni saya yang terlalu ketat, ia ditangguhkan pada bulan Ogos.

“Saya rasa teruja kerana sebelum ini memang tidak pernah menaiki kapal pelayaran mewah. Walaupun kapal tersebut hanya berlayar di sekitar Pulau Pinang sahaja, namun ia akan menjadi pengalaman yang mengujakan buat saya. Harap tidak mabuk laut. Saya juga akan membawa anak saya, Rayyan bersama,” katanya yang bakal mendendangkan enam buah lagu bersama para peminat di sana nanti.

Menariknya, bukan hanya untuk tujuan hiburan, program tersebut juga akan membawa anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim Kuang dan warga emas Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia.

“Saya teruja untuk menghiburkan para peminat yang kurang bernasib baik. Rayyan juga seorang anak yatim. Jadi, program ini juga adalah usaha untuk kumpul saham akhirat buat saya,” tutup Nana.

Post a Comment

Previous Post Next Post