KALAU diukur penglibatannya di dalam industri seni, dia boleh dikategorikan antara bakat baru yang masih hijau.
Namun minat dan kerja keras yang tinggi melonjakkan nama gadis berusia 25 tahun ini.
Bahkan bagi pemilik nama Nadia Najwa Mohamed Rashidi atau lebih terkenal dengan nama pentas beliau, Nadia Brian, penglibatannya di dalam industri seni lebih dua tahun lalu didorong minat terhadap lakonan.
Pelakon berdarah kacukan Melayu Australia ini berkata, dia sejak awal tidak pernah memandang enteng minatnya itu.
"Bila ada yang tahu saya pilih bidang seni lakon, ada yang persoalkan pilihan saya dan anggap saya mahu mengejar dunia glamor semata-mata.
"Saya bukan nak glamor tapi sebab minat dan rezeki saya di sini. Alhamdulillah pilihan saya betul dan rezeki juga mencurah-curah. Saya sentiasa nekad nak kerja keras dan buat yang terbaik kerana saya betul-betul meminati bidang ini," ujarnya ketika ditemui pada majlis rakaman Melodi Raya, kelmarin.
Tambah Nadia, dia juga tidak pernah melihat penglibatannya dalam industri seni meletakkannya pada satu tahap yang berbeza.
Walaupun sudah mula dikenali, Nadia berkata, dia tidak pernah berubah dan tiada istilah kategori artis tertentu.
"Apa yang penting kita jadi diri kita sendiri, tak kiralah buruk atau baik kerana manusia itulah sifatnya. Kita bukan sempurna.
"Tapi kalau ada yang salah, tegurlah saya," ujarnya.
Kini, Nadia mungkin boleh menutup mulut nakal yang mempertikaikan pemilihannya kerana selain membintangi drama, teater dan telefilem, Nadia kini sudah mendapat kepercayaan penerbit untuk membintangi filem.
Nadia berkata, dia akan terlibat dengan dua pembikinan filem bermula semalam iaitu filem Mak, arahan Jimmy Amir di samping Remy Ishak, Nadiya Nisaa, Iedil Putra, Dian P Ramlee dan Mawar Rashid.
"Habis saja filem ini, saya akan terlibat dengan penggambaran filem Blok 404, yang sebelum ini ditayangkan dalam bentuk DVD.
"Apa yang saya tahu filem ini akan diarahkan oleh Azma Aizal Yusof dan masih mengekalkan jalan cerita yang sama," katanya yang akan memasuki set penggambaran drama bersiri 50 episod selepas Hari raya Aidilfitri.
Nadia berkata, walaupun perlu menjalani penggambaran pada bulan puasa, namun ia tidak melihat situasi itu sebagai satu masalah kerana dapat mencari duit poket lebih sempena lebaran yang akan menjelma.
Tebalkan muka
Tidak hanya berlandaskan minat dan pengalaman semata-mata untuk berjaya, Nadia berkata, dia juga meletakkan ke tepi rasa malu untuk mendapatkan ilmu dari pelakon senior.
Selain menjadi pemerhati pelakon yang lebih berpengalaman untuk dikongsi bersama.
Bagi Nadia, sebagai pelakon baru, dia tidak boleh malu dan perlu ringankan mulut untuk bertanya.
"Mereka juga akan willing to share ilmu dan pengalaman mereka.
Nadia mengakui teruja melihat pelakon berpengalaman yang menjadikan amalan membaca skrip di rumah.
"Jadi bila kita datang ke set, kita akan lebih bersedia dan tak menyusahkan orang lain," katanya.