Kawan Lama Kekasih Baharu Siti Saerah


Siti Saerah dan teman lelakinya, Shahidan Johari masih belum merancang untuk berkahwin.

SEJAK berkahwin pada 27 Oktober 2010, nama adik Datuk Siti Nurhaliza itu Siti Saerah Tarudin seakan-akan sepi daripada dunia seni dan dilihat lebih memberi fokus kepada rumah tangganya.

Menerusi perkahwinan bersama Saiful Anuar Ahmad Shafie, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Ummi Umairah, 6, Ahmad Daiyan, 5, dan Ahmad Aisy, 3 tahun.

Bagaimanapun harapan untuk melihat rumah tangganya kekal sehingga akhir hayat musnah apabila pasangan itu bercerai empat tahun kemudian iaitu pada tarikh sama dia dinikahkan dengan bekas suaminya itu.

Tiga tahun hidup bersendirian, Saerah, 33, yang ditemui baru-baru ini memberitahu dia sudah menemui pengganti yang juga seorang kenalan lamanya.

Kata Saerah, dia kembali bertemu dengan lelaki yang dikenali sebagai Shahidan Johari itu sejak tahun lalu sebelum hubungan itu bertukar akrab.

"Dia (Shahidan) adalah kekasih dan pemangkin semangat saya dan sebenarnya kami sudah mengenali sejak 2009 namun hubungan itu terputus selepas saya berkahwin.

kerana saya senang dengan sikapnya yang sentiasa menyokong dan sering memberi semangat kepada saya," katanya.

Ditanya mengenai perancangan untuk berkahwin, Siti Saerah bagaimanapun memberitahu mereka masih belum bersedia ke arah itu namun meletakkan ia kepada jodoh.

"Kalau ada jodoh, Insya-Allah kami akan berkahwin. Doa-doakanlah," katanya.

Bercakap mengenai anak-anaknya, Saerah berkata, mereka masih bawah jagaan bekas suaminya di Kuantan, Pahang dan dia sering melawat mereka sekiranya mempunyai kelapangan.

Malah kata Saerah, hubungannya dengan bekas suami juga masih baik demi kepentingan anak-anak.

"Saya sentiasa merindukan anak-anak tetapi saya juga tahu kehidupan mereka akan jadi lebih baik bawah jagaan bekas suami.

"Alhamdulillah hubungan saya dan bekas suami pun okey jadi tiada masalah jika saya ingin bertemu dengan mereka," ujarnya.

Sementara itu, Saerah berkata, dia ada merancang untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian dan sedang menunggu masa sesuai untuk berbuat demikian.

Malah dia kini sedang giat menguruskan badan bagi tujuan itu agar kemunculan semulanya sebagai penyanyi dapat memberi impak.

"Perancangan single baru itu memang ada kerana kali terakhir saya tampil dengan lagu baru pun tujuh tahun lalu.

"Rindu hendak kembali menyanyi itu sentiasa ada cuma saya sedang mencari peluang sesuai.

"Sebab itu juga saya giat menguruskan badan untuk tampil dengan imej baharu dan Alhamdulillah ia mula menunjukkan hasil positif," jelasnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post