Izreen Azminda memberitahu dia sebenarnya seorang yang romantik.
DI SEBALIK sikap kasar dan riuh mulutnya, siapa sangka si cantik Izreen Azminda ini mempunyai sifat romantis dan seorang yang suka dimanja!! Wahh... dan ini diakui sendiri oleh tuan empunya diri.
Izreen, 32, berkata, tidak ramai lelaki berani mendekatinya dalam untuk menjalinkan hubungan yang lebih serius hanya kerana sikapnya kelihatan serius itu.
Namun begitu tegas ibu tunggal kepada seorang cahaya mata ini, ia tidak mengganggu fokus kehidupannya apatah lagi untuk menjadi orang lain hanya semata-mata bagi mendapat perhatian seorang lelaki.
"Benar, secara zahirnya kasar itu memang diri saya namun kalau didekati secara peribadi, anda akan kenal, Izreen Azminda sebenarnya mempunyai perawakan yang romantik, suka dimanja dan kalau boleh sentiasa mahu dilayan seperti seorang princess," ujarnya dengan tawa kecil.
Izreen dilantik sebagai duta kempen 'Daripada Ibu Kepada Ibu bersama P&G dan Food Aid Foundation.
Pun begitu kata Izreen, perkahwinan bukanlah menjadi fokus utamanya buat masa sekarang kerana dia begitu sibuk dengan urusan seni dan perniagaan wangian 'Lurve Me Perfume by Izreen Azminda'.
"Kalau ada... adalah, saya tidak pula mencari," ujarnya ringkas.
Di sisi lain, dia mahu memberi sepenuh tumpuan kepada pembesaran putera tunggalnya, Muhammad Adrian Umar, 4.
Dalam pada itu menjawab persoalan lain tidakkah dia teringin mendedahkan anaknya itu ke lapangan seni komersil, ini jawapan Izreen.
"Buat masa ni biarlah dia hidup macam kanak-kanak seusianya yang lain tanpa dibeban dengan perkara lain. Saya tidak berhasrat untuk membawanya ke lapangan komersil buat masa ini," tegasnya.
Malah kata Izreen, cukuplah dia merasa pahit manis bergelar anak seni selain berharap anaknya itu bekerja tetap suatu hari nanti.
Izreen dan anaknya, Adrian yang kini berusia empat tahun.
Dalam perkembangan lain, bekas pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama (Anugerah Skrin 2013) ini baru sahaja dilantik sebagai duta kempen 'Daripada Ibu Kepada Ibu bersama P&G dan Food Aid Foundation'.
Menerusi kempen tersebut, Izreen akan bersama-sama menjelajah dari negeri ke negeri membantu meringankan beban golongan ibu tunggal bersempena menyambut bulan Ramadan tidak lama lagi.
"Saya pernah berada dalam situasi sukar bergelar seorang ibu tunggal selama tiga tahun.
"Dikesempatan itu saya akan berkongsi nasihat dan motivasi agar mereka sentiasa positif dan bangkit dari segala permasalahan," ujarnya yang akan memperlahankan aktiviti seninya pada bulan Ramadan untuk bersama-sama keluarga dan anak.