Perkahwinan pelakon Sharifah Sakinah dan Aliff Adha kini lengkap dengan kehadiran seorang cahaya mata perempuan.
Pelakon Sharifah Sakinah selamat melahirkan bayi perempuan kira-kira pukul 9 pagi, Rabu.
Kakak kepada aktres itu, Sharifah Shahirah menerusi Instagram miliknya memberitahu Sakinah, 28, bersalin secara pembedahan selepas kandungan adiknya itu sudah melepasi jangkaan bersalin.
Kata Shahirah lagi, bayi yang diberi nama Anais Adha itu dilahirkan dengan berat 3.1 kilogram di sebuah hospital swasta di ibu negara.
"Sakinah bersalin secara pembedahan, dia tiada rasa sakit kerana sudah 'overdue' lebih dua minggu. Jenuh menunggu masa untuk bersalin.
"(Bayi) dilahirkan sekitar 9 pagi tadi, 3.1 kilogram, bayi perempuan rasanya nama Anais Adha," tulisnya.
Bagaimanapun Shahirah memadam posting itu tidak lama kemudian.
Sakinah dan suaminya, Aliff Adha, 29, yang juga seorang juruterbang mendirikan rumah tangga pada Mac 2015.