Datuk Nassier Wahab, 30 tahun bergelar penyanyi


BIARPUN sudah lebih tiga dekad bergelar anak seni dan penyanyi baru silih berganti, nama Datuk Nassier Wahab utuh di persada seni, malah sehingga kini figura ini masih aktif menyanyi.

Memulakan perjalanan seninya secara profesional pada 1985, Nassier Wahab atau nama lengkapnya Mohd Nasir Abd Wahab, 55, mengakui tidak mudah menempatkan diri dalam industri pada era 1980-an kerana ketika itu hanya mereka yang berbakat sahaja berpeluang merakam album.

Ketika itu, katanya, syarikat rakaman atau stesen TV dan radio hanya memilih mereka yang benar-benar layak untuk muncul dalam rancangan dan 'syarat' itu menjadikan penyanyi itu perlu kerja keras membuktikan bakat mereka.

Menurut Nassier, lagu pertama yang berjaya menaikkan namanya kepada umum 30 tahun lalu ialah Bayangan Cinta Luka.

“Lagu yang dimuatkan dalam album sulung saya itu sangat bermakna kerana orang mula kenal Nassier Wahab melalui lagu itu. Ini memberi peluang saya kembangkan bakat ke peringkat seterusnya.

“Alhamdulillah selepas album pertama diterima, syarikat rakaman memberi peluang saya tampil dengan album kedua dan sekarang saya sudah ada 13 album,” imbasnya.

Berkongsi cabaran yang dilalui sepanjang bergelar anak seni, kata Nassier yang meraikan hari jadinya ke-55 pada 18 April lalu, setiap artis ketika itu harus sentiasa tampil dengan hasil kerja terbaik.

Nassier mengibaratkan cabaran utamanya adalah memegang kepercayaan peminat dengan memastikan setiap persembahan lebih baik dan juga menghasilkan album berkualiti.


Kata-katanya terbukti apabila Nassier yang baru sahaja dianugerahkan gelaran Datuk baru-baru ini mencipta sejarah tersendiri dalam kerjaya seninya apabila pernah mengungguli lima tempat dalam carta Lagu Popular Minggu Ini dalam satu masa yang sama.

“Bila kenang balik semua ni rasa macam tak percaya pernah capai semua itu sebab bukan mudah nak masuk carta, apatah lagi dengan lima lagu sekali gus.

“Dulu, ukuran popular atau tidaknya seseorang penyanyi itu dengan melihat penerimaan lagu-lagunya di radio, kalau kerap keluar radio apatah lagi masuk carta, kita tahulah pengaruh artis itu ketika itu,” katanya lagi.

Menyanyi di Istana

Menyifatkan RTM sebagai tempatnya menimba ilmu, Nassier mengakui banyak mendapat tunjuk ajar daripada kakitangan stesen tersebut menerusi pelbagai peluang yang diperolehnya selama ini.

Stesen itu banyak memberi pendedahan mengenai kaedah menggunakan bakat yang ada sebaik mungkin selain membentuk disiplin seiring dengan pencapaian.

“Saya sangat menghargai peluang yang diberikan RTM dari awal terlibat dalam bidang seni hinggalah sekarang kerana tanpa mereka mungkin saya takkan berada di sini sebagai mana hari ini,” ujar Nassier.

Selain menghiburkan peminat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, Nassier turut mendapat perhatian pihak istana apabila kerap mendapat undangan mengadakan persembahan.

“Kali pertama saya diundang pada tahun 1989 di Istana Negara untuk satu majlis rasmi ketika itu. Pada mulanya memanglah takut dan gementar kerana saya tahu itu bukan tempat biasa, malah penontonnya juga bukan daripada khalayak kebanyakan, tapi saya beranikan diri terima tawaran itu sebagai cabaran baru.

“Alhamdulillah persembahan berlangsung dengan sangat baik, malah pihak istana juga senang dengan cara saya. Selepas itu, ada lagi peluang dan kekal hingga hari ini,” katanya yang telah menyanyi selama 14 tahun di Royal Lake Club Selangor.

Menurut Nassier lagi, setiap kali membuat persembahan dia sentiasa cuba mengambil tahu tentang apa yang diinginkan khalayak pendengarnya dan menganggapnya perkara paling penting.

Sebagai penyanyi profesional yang sudah lama dalam industri, Nassier mengelak menjadi penyanyi syok sendiri dengan persembahan lagu-lagu disukai sebaliknya perlu mengambil kira kesukaan penonton kerana persembahan adalah untuk menghiburkan khalayak.


“Jadi, sebelum membuat persembahan saya akan pastikan sedikit homework dan mengambil tahu lagu apa yang mereka suka atau sesuai untuk dinyanyikan.

"Saya ni bukan jenis penyanyi yang main menyanyi macam tu saja,” tegasnya.

Masih lagi popular malah dikenali dalam generasi baru hari ini, pelantun lagu Memori Cinta Luka ini belum terfikir untuk berundur dari bidang seni selagi bakatnya masih diterima ramai.

Nassier sebelum ini pernah terfikir sampai bila dia harus menyanyi tetapi sehingga kini tiada jawapan.

“Pernah juga terdetik, sampai bila nak menyanyi tapi saya sendiri masih tak dapat jawapan pasti sebab nyanyian adalah darah daging saya.Minat dalam bidang ini tak pernah kurang.

“Jadi selagi masih ada yang mahu mendengar nyanyian, saya akan terus berada di sini untuk menghiburkan mereka,” akhirinya yang turut menyertai Gegar Vaganza musim kedua sebelum ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post