Faezah Elai Tidak mahu anak jadi diva


Faezah Elai memberitahu tidak akan membuka akaun laman sosial khas buat dua orang anaknya, Dealova (kanan) dan Aurora.

SEJAK kebelakangan ini, kelibat pelakon Faezah Elai boleh dikatakan agak jarang kelihatan menghiasi drama tempatan.

Mengakui keputusan memperlahankan aktiviti seni itu diambil demi memberi laluan kepada proses pembesaran anak-anak, isteri pengarah Heykal Hanifah itu sedikit pun tidak berasa kesal dengan tindakannya.

Ditemui semasa majlis pertunjukan fesyen Fenomena Aidilfitri baru-baru ini, Faezah sempat ditanya soal perkembangan terkininya.

Bukan itu sahaja, ibu kepada sepasang puteri comel, Dealova Heyrinna dan Aurora Heyrinna itu juga berbicara tentang pendiriannya yang tidak mahu mewujudkan sebarang laman sosial khas buat dua orang anaknya.

KOSMO!: Apa khabar Faezah Elai, boleh kongsikan perkembangan terkini anda?

FAEZAH: Khabar baik. Sekarang saya sibuk menguruskan keluarga serta menjalankan perniagaan produk penjagaan kulit dan produk pelansingan badan. Saya juga baru sahaja masuk ke set penggambaran sebuah telefilem berjudul Selimut Merdeka untuk tayangan TV3 sempena sambutan Hari Kebangsaan, Ogos depan.

Khalayak kini jarang melihat anda berlakon. Adakah anda sudah memperlahankan aktiviti seni?

Sebenarnya saya masih berlakon, cuma tidak seaktif dahulu. Hal ini kerana saya mahu memberi tumpuan kepada dua anak saya. Anak saya yang pertama, Dealova Heyrinna, baru berusia empat tahun dan Aurora Heyrinna yang kini berumur setahun lima bulan masih kecil, jadi mereka memerlukan perhatian saya.

Sebagai selebriti yang memulakan kerjaya sebagai pelakon, apabila mengambil keputusan memperlahankan aktiviti seni pernahkah wujud perasaan kesal?

Tidak kerana saya lebih sayangkan anak-anak. Memang kadangkala wujud rasa rindu ingin berlakon tetapi apabila berada di set penggambaran, saya rasa seperti ingin pulang ke rumah pula kerana terkenangkan anak-anak.

Setiap kali diberi tawaran, apakah kriteria yang akan anda dahulukan sebelum memberi komitmen untuk berlakon?

Sejujurnya, memang banyak tawaran lakonan yang saya terima tetapi terpaksa ditolak kerana ia kurang bersesuaian dengan jadual. Jika boleh, saya tidak mahu menerima tawaran lakonan di luar Kuala Lumpur dan menerima tawaran untuk terbabit dalam telefilem sahaja.

Sebagai jalan penyelesaian, saya hanya berlakon di bawah arahan suami, Heykal Hanifah.

Adakah ia bermakna anda lebih selesa bekerja di bawah arahan suami sahaja sekarang?

Tidak juga, saya boleh bekerja di bawah arahan mana-mana pengarah. Bagaimanapun, kadangkala masa penggambaran yang diberikan tidak begitu sesuai dengan masa saya, jadi terpaksa ditolak.

Baiklah, beralih soal anak, jika dilihat ramai selebriti yang membuka akaun laman sosial khusus untuk anak mereka, bagaimana pula dengan anda?

Sejujurnya, saya tidak begitu berminat untuk membuka laman sosial khas untuk anak saya. Laman sosial saya sendiri juga kadangkala tidak sempat diuruskan, jadi saya tiada masa untuk menguruskan laman sosial mereka. Pun begitu, kadangkala ada juga saya berkongsi gambar anak dalam Instagram sendiri.

Mengapakah anda membuat keputusan sedemikian?

Pada saya, biarlah anak-anak membesar secara normal. Saya tidak mahu mereka terlalu didedahkan dengan dunia glamor atau populariti kerana tidak mahu wujud perasaan diva apabila khalayak mula meminati anak-anak saya nanti.

Post a Comment

Previous Post Next Post