Hancur Aku - Nidji tidak melihat keputusan merakam semula lagu Hancur Aku nyanyian asal Estranged dan Fazura sebagai satu tindakan perbandingan tetapi lebih kepada cabaran untuk mengekalkan kehebatan lagu yang dianggap sukar buat mereka.
Tempoh lima tahun menyepikan diri daripada membikin sebarang album sudah cukup membuat peminat kumpulan popular Indonesia, Nidji resah.
Bukan patah hati, jauh sekali merajuk dengan industri tetapi bagi Nidji, untuk muncul dengan album baharu, mereka perlu memberikan sesuatu yang tidak kurang daripada terbaik.
Akhirnya tahun 2017 menjadi detik yang dinanti-nanti oleh Nidjiholic (gelaran buat peminat tegar Nidji) apabila mereka melancarkan album studio yang bertajuk Love, Fake & Friendship.
Menurut vokalisnya, Giring Ganesha, setiap lagu yang dimuatkan dalam album terbaharu mereka ini sudah berusia sekurang-kurangnya setahun dan itu adalah perkara yang disengajakan.
Ujar Giring, sebagai sebuah kumpulan muzik, mereka percaya bahawa sebuah lagu memerlukan masa untuk matang dan tidak boleh dilancarkan hanya selepas satu sesi penggubahan sahaja.
“Hal ini kerana kami mahu lagu itu kekal digemari walau dalam zaman apa sekalipun, maka sesi pengubahsuaian dan pendengaran semula itu perlu dibuat berkali-kali sehingga yakin ia sudah bersedia untuk didengar oleh peminat,” katanya sewaktu sesi fotografi bersama media cetak di Hotel Dashbox, Cyberjaya baru-baru ini.
Kumpulan yang berada di Malaysia sempena mempromosikan album Love, Fake & Friendship dan menjayakan konsert di Kilang Bateri, Johor Bahru pada 11 Mei lalu juga berasa bangga kerana masih menerima jemputan untuk mempromosi muzik serta mengadakan persembahan di sini.
Lebih mengujakan, sebagai lambang apresiasi mereka, Love,Fake & Friendship telah dilancarkan sepenuhnya di Malaysia, berbanding di Indonesia.
“Di Indonesia, kami cuma melancarkan album Love, Fake & Friendship dalam satu aplikasi online yang mendapat hak eksklusif beberapa minggu lalu. Berbeza di Malaysia, kami melancarkan album fizikal ini secara penuh. Malah, peminat kami di Indonesia hanya boleh memiliki album fizikal ini selepas sambutan Aidilfitri kelak,” kata Giring lagi.
Love, Fake & Friendship
Berbicara lanjut tentang album keenam tersebut, Giring berkata, tajuk yang dipilih adalah melambangkan penyatuan kumpulan yang dianggotai oleh Giring, Rama (gitar), Run-D (keyboard), Ariel (gitar), Adri (dram) dan Andro (bass) selama berada dalam dunia hiburan.
Katanya, kasih sayang yang mengalir antara mereka jujur, namun itu tidak menjanjikan tiada persengketaan yang pernah wujud sepanjang kurigan mereka ditubuhkan lebih 10 tahun lalu.
Apa yang menyelamatkan Nidji untuk terus kekal bertahan ialah persahabatan yang dibina sejak awal penubuhannya pada tahun 2002 dan mereka tidak berpura-pura dalam menjalani hubungan tersebut.
Menurut Rama pula, untuk menyatakan mereka langsung tidak pernah terfikir berpecah adalah satu pembohongan kerana seperti kumpulan muzik lain, Nidji juga pernah berdepan waktu sukar.
“Pada saat kami hampir menyerah kepada keadaan, keegoan dan perbezaan pendapat, kata-kata semangat serta ucapan terima kasih peminat atas lagu-lagu yang dihasilkan membuatkan kami sedar, menjadi pemuzik itu adalah takdir hakiki yang telah ditentukan oleh Tuhan.
“Maka kami bangkit dan terus berkarya agar orang-orang di luar sana mendapat inspirasi serta semangat yang cuba Nidji salurkan kepada mereka menerusi lagu-lagu kumpulan ini,” ujarnya yang tidak menyangka mereka mampu menghasilkan 12 buah lagu untuk album kali ini.
Evolusi
Menyambut ulang tahun penubuhan Nidji yang ke-15 tahun ini, ramai peminat dapat menyaksikan evolusi muzik yang dibawa mereka bermula daripada album pertama sehingga sekarang.
Tatkala ditanya kesukaran mengekalkan momentum penghasilan muzik yang bagus, Run-D berkata, mereka tidak menutup telinga hanya untuk mendengar melodi ciptaan sendiri sahaja.
Katanya lagi, mereka sentiasa menjadikan pemuzik-pemuzik muda sebagai satu inspirasi dan membuka pintu untuk bekerjasama dengan mereka.
“Tiada istilah mereka adalah pesaing atau pencabar kerana industri seni itu luas dan setiap muzik yang terhasil tiada yang silap, malah unik dan tersendiri.
“Kami sedar selera peminat masa kini juga perlu diambil kira, maka untuk album terbaharu ini, Nidji bekerjasama dengan ramai komposer baharu seperti Bemby Nor dan Pongky Barata. Pertukaran idea menjadikan lagu-lagu yang terhasil gabungan dua generasi itu kedengaran sangat segar dan luar biasa,” katanya yang mengagumi ramai penyanyi baharu kerana berani mencuba aliran muzik berbeza.
Dalam pada itu, kumpulan yang terkenal dengan lagu Laskar Pelangi ini turut mengumumkan bakal memperlahankan rentak karier seni mereka selepas ini bagi memberi ruang buat Giring menghabiskan pengajian ijazahnya yang berbaki setahun setengah sahaja lagi.
Menurut Giring yang mengambil Ijazah Hubungan Antarabangsa di Universiti Paramadina, Jakarta, Nidji lebih selektif dan hanya akan mengadakan persembahan eksklusif sementara dirinya sibuk dengan pengajian.
“Bagi saya, selektif itu perlu kerana Nidji sudah mencecah usia 15 tahun. Secara peribadi, saya rasa kami tidak perlu mengejar semua persembahan yang ada dan perlu tahu meletakkan status kami pada satu tahap tertentu.
“Bukan mahu terus menolak semua tawaran, cuma kami mengutamakan kesesuaian jadual dengan harga bayaran yang mungkin akan sedikit tinggi berbanding ketika zaman Nidji asyik muncul di pentas,” ujarnya lagi.