Konsert tiga dekad Aubrey Suwito


Aubrey (kanan) dan Ahmad Muriz bekerjasama menjayakan Konsert Aubrey Suwito & Friends with the MPO - A Celebration of 30 Years in Music.

TIGA dekad mengabdikan diri dalam industri hiburan, komposer dan penerbit, Aubrey Suwito mencabar dirinya untuk mengadakan Konsert Aubrey Suwito & Friends with the MPO - A Celebration of 30 Years in Music bersama kumpulan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di Dewan Filharmonik Petronas (DFP).

Persembahan yang dijadualkan berlangsung pada 19 dan 20 Mei depan itu menampilkan Dayang Nurfaizah, Sean Ghazi, Faizal Tahir dan Jaclyn Victor sebagai penyanyi jemputan. Bagi mengiringi persembahan selebriti terbabit, beliau akan bermain alat muzik piano bersama 90 orang pemuzik MPO yang dipimpin oleh Ahmad Muriz Che Rose.

Konsert tersebut memperlihatkan kebolehan beliau melakukan susunan muzik lagu ciptaannya yang berentak pop dan balada sekali gus dipersembahkan secara orkestra.

Menariknya, konsert tersebut diadakan sempena meraikan perjuangan Aubrey berkelana dalam lapangan seni hiburan sejak lebih tiga dekad lalu.

“Persembahan ini akan mencatat sejarah penting sepanjang kerjaya saya lebih 30 tahun lalu. Tidak hanya kerana para artis akan mempersembahkan lagu ciptaan saya, bahkan peluang bekerjasama dengan MPO juga merupakan perkara yang sukar dilupakan,” kata Aubrey.

Dalam pada itu, Aubrey memberitahu, beliau mengambil masa sekitar sembilan bulan menjayakan sesi latihan dan susunan semula lagu agar bersesuaian untuk dipersembahkan.

Biarpun kedengaran seperti satu tempoh yang agak lama, beliau mengharapkan persiapan yang dilakukan itu berjaya memuaskan hati hampir 920 orang penonton yang hadir.

“Saya perlu melakukan susunan muzik secara terperinci kerana bukan mudah untuk memilih lagu yang bersesuaian untuk dipersembahkan secara orkestra.

“Kepadatan jadual kerja turut menjadi kekangan. Sebab itu saya mengambil masa yang agak lama sebelum memastikan susunan sebuah lagu itu sempurna,” jelas beliau bersungguh-sungguh.

Generasi muda

Biarpun konsert tersebut diadakan di pentas berprestij dan eksklusif, beliau juga mengharapkan peminat daripada kalangan generasi muda turut hadir memberi sokongan.

Menurut Aubrey, muzik adalah satu perkara yang bersifat universal dan ia layak dinikmati oleh setiap lapisan usia biarpun dipersembahkan secara orkestra.

“Berdasarkan pengalaman menghadiri sebuah acara muzik sebelum ini, saya kagum melihat beberapa golongan belia hadir menonton dan menyukai persembahan orkestra.

“Justeru saya berasa yakin dengan pemilihan artis yang ada secara tidak langsung mampu menarik pelbagai usia penonton pada acara itu nanti,” terangnya.

Sementara itu, beliau turut memberitahu pemilihan artis bagi menjayakan konsert tersebut dibuat berdasarkan nilai komersial dan kemampuan mereka membuat persembahan bersama kumpulan orkestra.

“Bukan mudah untuk membuat persembahan bersama orkestra kerana seseorang penyanyi perlu memiliki kemahiran serta kekuatan dinamik terutama melibatkan teknik nyanyian,” jelas beliau.

Kolaborasi bersama MPO itu secara tidak langsung menjadi persembahan orkestra sulung Aubrey. Beliau juga sebelum ini pernah mengiringi persembahan beberapa artis antarabangsa seperti David Foster, Richard Marx, Babyface dan Natalie Cole.

Post a Comment

Previous Post Next Post