Azrinaz Mazhar Hakim bakal jadi kolumnis


AZRINAZ MAZHAR HAKIM mengakui dunia kewartawanan dan penulisan tidak pernah pudar dalam jiwanya.

Selepas lama menyepikan diri dari dunia penyiaran, bekas wartawan penyiaran TV3, Azrinaz Mazhar Hakim membuat pengakuan bakal kembali menempatkan namanya dalam bidang kewartawanan sebagai kolumnis.

Biarpun tidak lagi aktif dalam bidang penyiaran, beliau turut meluahkan bahawa kerinduannya untuk beraksi di depan kamera sebagai wartawan tidak pernah luntur.

Ditemui usai malam kemuncak Anugerah Bintang Popular 3.0 (ABP3.0) baru-baru ini, Azrinaz, 37, bercerita tentang rencananya untuk mempertimbangkan pemilihan medium terbaik bagi meluncurkan semula kerjaya sebagai personaliti televisyen atau pengacara.

Kosmo!: Azrinaz, boleh ceritakan dengan lebih lanjut mengenai kebarangkalian anda untuk kembali ke dunia penyiaran?

Azrinaz: Buat masa sekarang, belum ada apa-apa perancangan rasmi. Saya ada menerima tawaran daripada beberapa stesen televisyen, namun perlu memikirkannya. Tawaran tersebut bukan sebagai wartawan penyiaran tetapi sebagai pengacara program bual bicara.

Namun, saya belum memberi kata putus kerana perlu memikirkannya dahulu kerana ia perlu bersesuaian dengan karakter dan gaya pengacaraan saya.

Benarkan bahawa anda bakal bergelar seorang kolumnis akhbar tempatan?

Ya, cinta saya terhadap bidang kewartawanan dan penulisan tidak pernah luntur. Justeru, mengapa tidak saya berkongsi pandangan dan ilmu penulisan saya dalam surat khabar.

Seperti anda semua, saya juga mempunyai minat menulis dan sudah lama tidak melakukannya kerana kekangan masa dan situasi yang terhad.

Maaf bertanya, apa yang membuatkan anda mahu kembali aktif dalam dunia kewartawanan atau penyiaran?

Sebelum ini saya tidak mampu memberikan komitmen kerana selalu berada di luar negara. Sejujurnya, saya juga rindu untuk beraksi di depan lensa kamera. Saya mempunyai ramai sahabat yang masih lagi aktif dalam bidang ini. Kalau benar-benar ingin kembali, saya perlu membuat pengorbanan dan memberikan komitmen sepenuhnya.

Disebabkan status anda sebelum ini, ada dalam kalangan pihak media berasa ‘gentar’ untuk mendekati anda, kemudian secara tiba-tiba anda dikaitkan dengan Wak Doyok. Ada yang melabelkan anda sebagai seorang yang sukar didekati. Boleh anda jelaskan?

Bukan sombong atau bersikap dingin tetapi saya tidak mahu terlalu mendedahkan soal peribadi kepada umum. Bagi saya, kalau tiada produk seni yang ingin diceritakan, lebih baik saya diamkan diri sahaja. Sebenarnya, saya okey sahaja kalau orang sudah saling mengenali.

Kalau sudah kenal, baru ada keserasian untuk saya bercerita. Tentang Wak Doyok, saya tidak pernah memberikan kenyataan mengenai perhubungan kami. Bagi saya, kalau dia yang sudah banyak berkata-kata, wartawan perlu cari dia, bukan saya untuk berkata tentang sesuatu perkara yang tidak pasti.

Bagaimanakah anda melihat senario bidang kewartawanan atau penyiaran hari ini?

Agak mencabar terutama bagi mereka yang bekerja bawah media cetak. Hal ini kerana, sekarang sesiapa sahaja boleh tularkan atau sebarkan sesuatu perkara. Apatah lagi dengan media sosial yang membangun, wartawan sekarang harus lebih mendahului kerana masyarakat sudah tidak perlu menunggu berita keluar dalam surat khabar kerana mereka boleh akses sesuatu berita secara online.

Post a Comment

Previous Post Next Post