Azlee mahu muncul dengan sitkom Senario Reunion


AZLEE (kiri) dan Ilya kini muncul bersama Yasin, Wahid dan Saiful Apek menerusi sitkom Senario Reunion.

Tiada siapa dapat menafikan kehebatan kumpulan Senario yang merupakan antara pelopor terawal dalam industri lawak tempatan dan sehingga kini, nama mereka masih kekal meniti di bibir peminat.

Walaupun sudah lama Senario tidak muncul di kaca televisyen, namun ingatan peminat masih kekal utuh buat mereka dan sering menanti bilakah kumpulan ini kembali untuk mengubat kerinduan.

Ketika bertemu salah seorang anggota Senario, Mohd. Azlee Jaafar, 50, atau Azlee baru-baru ini, dia menyedari keinginan peminat yang mahu menyaksikan mereka di kaca televisyen.

Bagaimanapun kata Azlee, setiap perancangan perlu dibuat dengan teliti kerana semua ahli Senario sudah berkeluarga dan mempunyai komitmen lain yang perlu diberi keutamaan.

KOSMO!:Pernahkah Azlee terfikir untuk kembali menyatukan semula semua ahli Senario untuk membuat persembahan khas kepada peminat?

AZLEE: Ya, dan sebenarnya ahli Senario sudah bersatu kembali. Kami juga dalam perancangan untuk membuat rakaman sitkom bertajuk Senario Reunion. Kami masih lagi mencari pihak yang berminat untuk menerbitkan rancangan ini dan berharap ia akan menjadi kenyataan.

Apakah yang membuatkan Senario bersetuju untuk kembali bergabung semula?

Saya ingin menegaskan bahawa Senario tidak pernah berpecah, cuma kerjaya seni kami sedikit perlahan selepas tidak bersama TV3 sejak tiga tahun lepas. Oleh sebab itu, ramai antara kami mengambil tawaran secara solo tetapi tidak pernah sesekali keluar daripada kumpulan ini. Kami terbuka hati untuk kembali bersatu apabila sering mendengar permintaan peminat yang rindukan zaman-zaman rancangan Senario ketika sedang popular dan mahu mengulangi semula saat tersebut.

Adakah semua anggota Senario telah bersetuju untuk kembali aktif?

Bagi Senario Reunion ini, kami menjemput kembali dua anggota asal iaitu Ilya dan Hamdan untuk sama-sama menggerakkan semula Senario demi peminat. Selain mereka berdua, Senario Reunion masih dianggotai oleh saya, Wahid, Yasin dan Saiful Apek. Hanya Lan Pet Pet sahaja yang tidak dapat memberi komitmen kerana mempunyai urusan kerja yang tidak dapat dielakkan.

Bagaimanakah Senario mengekalkan populariti selepas 20 tahun berkecimpung dalam industri?

Kami melawak dengan ikhlas dan setiap lawak yang kami buat, seboleh-bolehnya akan diselitkan mesej positif untuk peminat yang menonton. Lawak kami bukanlah lawak moden dan kebanyakannya adalah jenaka orang-orang kampung tetapi itu yang menarik perhatian peminat. Saya kira kerana itu (lawak yang dekat dengan penonton) membuat peminat tidak pernah lupakan kami.

Baru-baru ini, pelawak dan pengacara Ammar Titan telah menerima padah kerana dengan tidak sengaja mempersendakan nama bapa pelari pecut negara, Watsoon Nyambek. Apakah komen anda selaku pelawak senior?

Saya cuma boleh beritahu bahawa berhati-hatilah setiap kali kita hendak melawak terutamanya jika ia rancangan yang disiarkan secara langsung. Jadilah pelawak yang bijak dan tidak mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati individu lain semata-mata demi membuatkan orang lain ketawa.

Boleh kongsikan pandangan Senario berkenaan pelawak yang gemar menggunakan lawak-lawak lucah ketika membuat persembahan?

Jika boleh, elakkanlah kerana penonton rancangan lawak bukan terbatas kepada orang dewasa sahaja.

Ada kanak-kanak yang masih tidak faham apa-apa turut menonton program sama, jadi kita sebagai selebriti sepatutnya lebih peka dengan hal-hal seumpama ini. Banyak lagi isu lain yang boleh dikupas dan dijadikan bahan lawak yang berunsurkan nasihat serta teladan.

Post a Comment

Previous Post Next Post