Tuah rambut kerinting Nadzmi Adhwa


MUZIK - Selain pengacaraan, Nadzmi Adhwa cuba meluaskan pengaruhnya dalam bidang seni sebagai penyanyi.

MELIHAT pada perwatakan dan penampilannya secara sepintas lalu, mungkin ramai yang dapat menebak sebab utama pelakon Nadzmi Adhwa sering diberi tanggungjawab untuk menjayakan watak komedi dan santai.

Selain sisi lelucon semula jadi yang ada pada Adhwa, raut wajahnya yang comel dengan gaya rambut ikal mengerbang menjadikan jejaka berusia 24 tahun itu begitu akrab dengan setiap karakter yang dilakonkan.

Biarpun penampilan fizikal Adhwa diterima baik oleh peminat, namun, anak jati kelahiran Kuala Lumpur itu pernah berusaha untuk keluar daripada stereotaip tersebut bagi membuktikan bakat lakonannya tidak berpusat pada kelompok naskhah bersifat ringan sahaja.

“Perasaan bimbang itu ada, lebih-lebih lagi apabila melihat portfolio seni saya terisi dengan watak-watak komedi.

“Saya pernah beberapa kali cuba untuk mengubah penampilan dengan meluruskan rambut dan menyimpan misai, tetapi usaha tersebut tidak berhasil. Pihak produksi yang menawarkan projek seni tetap mahukan saya berpenampilan seperti Nazmi Adhwa yang khalayak telah kenali,” katanya membuka bicara.

Mengimbau kembali beberapa insiden yang melibatkan rambut kerintingnya, Adhwa yang mula terkenal menerusi wataknya sebagai Tengku Zaqif dalam drama rantaian Hati Perempuan pada tahun 2015 itu hanya tertawa kecil.

“Contoh paling terdekat apabila saya diberikan tanggungjawab untuk mengacarakan program Rentak Juara terbitan RTM yang bermula awal tahun ini.

“Menerusi episod pertama, pihak pengurusan, MindOrder telah menyiapkan saya dengan gaya elegan termasuk gaya rambut yang diluruskan. Bagaimanapun, pihak produksi rancangan tersebut tetap mahukan saya bergaya santai,” katanya yang kembali menggayakan rambut kerinting pada episod kedua.

Tambah Adhwa, tekstur unik rambutnya boleh diibaratkan seperti tangkal pembawa tuah sepanjang dua tahun bergelar pelaku seni.

“Sebelum ini, saya kerap menerima respons mengenai penampilan yang terlalu comel. Tetapi, apabila difikirkan kembali, comel itu adalah saya dan mustahil untuk mengubah perwatakan yang ada dalam diri.

“Apa yang diharapkan adalah pengarah dapat memberikan kepercayaan kepada saya untuk membawakan watak yang lebih matang dan serius pada masa hadapan,” kata Adhwa positif.

Belajar

Tidak mahu terlalu kerap diberikan watak ringan, Adhwa memasang strategi untuk memastikan keberadaannya dalam industri lakonan dipandang serius oleh semua pihak.

“Apabila bercakap mengenai tawaran, saya lebih dipercayai untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengacara berbanding pelakon. Barangkali, penampilan saya yang ceria mengehadkan peluang untuk mendapatkan watak-watak berat.

“Justeru, bagi mengasah bakat dan mempelajari beberapa teknik asas di hadapan kamera, saya mengambil keputusan untuk menghadiri kelas lakonan,” katanya yang mahu menjadikan bidang lakonan sebagai fokus utama.

Tidak mengikuti kelas secara formal seperti pelakon lain, Adhwa lebih selesa mendapatkan ilmu tersebut daripada dramatis Amar Asyraf.

“Pada pendapat saya, Amar merupakan pelakon lelaki yang lengkap serba-serbi. Selain berbakat, dia juga mampu melakonkan apa sahaja watak dengan baik.

“Selepas beberapa kali menghadiri sesi pembelajaran bersamanya, banyak perubahan yang saya rasakan. Selain fokus pada watak, cara pernafasan dan lontaran vokal juga berjaya diperbaiki,” katanya.

Biarpun mengambil inisiatif untuk mendalami bidang lakonan dan cuba memperbaiki kelemahan diri, Adhwa masih menerima teguran sinis daripada rakan-rakan pelakonnya.

“Berlakon tidak mudah. Banyak perkara perlu dititik beratkan dalam sesebuah babak. Benar, ramai individu mampu berlakon, tetapi tidak ramai yang dapat menyampaikan lakonan dengan baik sehingga dirasai oleh penonton di rumah,” katanya yang turut menimba ilmu lakonan daripada Fauziah Ahmad Daud, Farid Kamil dan Normah Damanhuri.

Ditanya adakah Adhwa bakal bergelar pelakon yang serius selepas mengikuti kelas lakonan dengan Amar, pelakon drama Hati Perempuan itu menggelengkan kepalanya.

“Bagi saya, pengkelasan seperti metod dalam lakonan itu tidak wujud. Pelakon yang bijak mampu membezakan watak yang dilakonkan tanpa perlu mendalaminya untuk tempoh berbulan-bulan.

“Apa yang penting adalah pemahaman tentang karakter dan cara pelakon untuk mengadaptasi dirinya dalam tempoh masa yang ditetapkan,” kata pelakon Cinta Roller Coaster itu serius.

Melihat kembali rekod Adhwa dalam bidang lakonan, langkah pengacara Jalan Jalan Makan Angin itu bermula selepas sutradara Osman Ali memberi kepercayaan kepadanya untuk menggalas watak kecil bernama Leroy Affendi menerusi filem Langit Cinta pada tahun lalu.

Single kedua

Tidak mahu terus pegun, Adhwa bakal menjayakan sebuah filem yang sarat dengan efek teknik pengimejan berkomputer (CGI) berjudul Safari Mall dalam masa terdekat ini.

“Saya berbesar hati kerana terpilih untuk memegang watak utama dalam filem tersebut.

“Biarpun agak gugup kerana perlu berlakon dengan layar hijau, tetapi tetap berasa teruja kerana Safari Mall merupakan filem pertama yang menampilkan saya sebagai watak utama,” katanya.

Selain filem, Adhwa juga bakal muncul dengan single keduanya.

“Selepas single pertama iaitu Kamulah Wanita dilancarkan pada 2015, saya yakin bidang muzik merupakan satu cabang seni yang agak menarik untuk diterokai.

“Lagu tersebut telah siap dirakam dan saya hanya menunggu masa yang sesuai untuk ia dilancarkan,” katanya yang masih merahsiakan tajuk lagu yang bakal dipertaruhkannya itu.

Post a Comment

Previous Post Next Post