BEKAS juara One In A Million (OIAM), Ayu Damit atau nama sebenarnya Norayu Damit akui rindu mengadakan persembahan pentas menghiburkan peminat seperti zaman kegemilangannya lebih 10 tahun lalu. Pun begitu, penyanyi kelahiran Putatan, Sabah ini masih lagi aktif menyanyi, cuma wajahnya kurang muncul di kaca TV kerana tiada single baru.
“Bohonglah kalau saya tak rindu nak kembali menyanyi seperti dulu. Kenangan masa menang program realiti dulu jadi pengalaman yang tak dapat dilupakan.
Kata Ayu, walaupun tiada single dan jarang muncul di media massa, dia tetap bersyukur dengan kehidupannya.
Ayu pernah menyanyikan sebuah lagu kerohanian tetapi kurang mendapat sambutan tetapi dia tetap mempunyai impian berkongsi berita bersama peminat jika mengeluarkan single selepas ini.
“Sebenarnya beberapa bulan lalu saya dah rekod sebuah lagu, tapi pelancarannya terpaksa dibekukan sekejap atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan,” katanya kepada Media Hiburan selepas ditemui di majlis pengenalan syarikat TD Binary di Bandar Puteri, Puchong, baru-baru ini.
Aktif sektor pertanian Ayu yang sebelum ini popular dengan lagu Hanya Di Mercu ini juga sempat berkongsi profesion terbarunya sebagai pengusaha tanaman cili yang berasaskan fertigasi sejak tahun lalu.
Menurut Ayu, perusahaan tersebut dilakukan bersama suaminya, Syed Fauzi Syed Baharuddin dengan kerjasama syarikat Enigma Agro Farm.
Ternyata pilihannya memilih sektor pertanian tidak salah kerana usahanya semakin berbaloi.
“Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan lancar seperti yang diharapkan walaupun pun pada peringkat awalnya, saya ingat konsep fertigasi ini senang nak diusahakan.
"Tapi konsep fertigasi ini berbeza dengan cara penanaman biasa," katanya.
Tambah Ayu lagi, tanaman itu senang diusahakan berbanding jenis tanaman lain dan hasilnya juga singkat selain boleh dikomersialkan untuk mendapat lebih keuntungan.
“Kita semua tahu rakyat Malaysia suka menu pedas dan tentunya, permintaan untuk lada khususnya adalah tinggi.
“Kerana itulah kami sepakat melakukan perusahaan ini dan Alhamdulillah setelah hampir beberapa bulan dah dapat tengok hasilnya,” katanya yang turut melakukan kaedah sama untuk penanaman timun selepas ini.
Bagaimanapun, Ayu tetap merindui bidang nyanyian dan gembira jika ada undangan membuat persembahan pentas kerana katanya setidak-tidaknya dapat mengubat rindu pada peminat.