Siti Saleha atur 4 majlis kahwin


Siti SALEHA mengambil keputusan untuk memperlahankan aktiviti lakonan dan menumpukan diri bekerja di belakang tabir.

“Jom kita selesaikan cepat,” kata Siti Saleha meluahkan rasa hati kepada bakal suaminya, Lutfi Azhar, 31.

Kalau boleh, dia mahu selesaikan urusan perkahwinannya dengan kadar segera. Selagi belum selesai, selagi itu rasa berselirat bertandang di hati.

“Buat masa ini, saya sedang sibuk dengan persiapan kahwin. Saya perlahankan sedikit aktiviti lakonan sebelum menjayakan dua telemovie untuk TV3 dan Astro pada April nanti,” ujar adik kepada Sam Bunkface itu memecah bicara.

Sengaja mengusik wanita fasa ‘darah manis’ ini tentang perasaannya bakal bergelar puan tidak lama lagi, Siti Saleha menyambut soalan itu dengan senyuman.

“Kalau nak kata berdebar belum lagi. Mungkin nak dekat tarikh kahwin nanti, ya atau mungkin saya tidak berdebar langsung. Pada masa ini, kami saling usik-mengusik dengan panggilan bakal suami dan bakal isteri,” luahnya seraya ketawa manja berkongsi rasa bahagianya.

Masih berkisar tentang perkahwinannya tetapi kali ini menyentuh tarikh dia bakal disatukan dengan Lutfi.

Tanpa perlu membuatkan khalayak berteka-teki, aktres berusia 27 tahun itu memberitahu, dia memilih tarikh 28 Julai depan untuk diijab kabul dengan tunangnya itu.

“Ada empat majlis yang akan diadakan. Bermula pada 28 Julai iaitu nikah, manakala 29 Julai pula majlis resepsi di sebelah saya. Di sebelah Lutfi pula, ada dua majlis iaitu pada 5 dan 12 Ogos. Semua majlis itu diadakan di Kuala Lumpur,” ujarnya yang turut mendedahkan akan menukar haluan kerja selepas berkahwin kelak.

Belakang tabir

Ada benarnya Siti Saleha bertindak begitu sementelah dia sedar untung nasib dalam dunia lakonan hanya seketika. Akan ada pelakon baharu yang bakal berjaya memecah kepompong komersial seiring karya indie sepertinya kelak.

Sebagai aktres yang hampir satu dekad berkecimpung dalam dunia lakonan, aktres yang terkenal dengan watak Mia menerusi drama popular 7 Hari Mencintaiku itu bukan sekadar pelakon cantik yang mengharapkan populariti semata-mata.

Dia juga mencabar diri berlakon dalam karya indie yang tinggi nilai seninya menerusi filem Terbaik Dari Langit dan teater Asmara-Ra All Stars.

“Saya suka menjadi versatil dalam apa jua karya sama ada komersial atau indie. Terbaharu, saya baru selesai menjalani penggambaran drama Kekasih Elektrik di samping pelakon Redza Minhat, Amerul Affendi, Bront Palarae dan Beto Kusyairy. Seronok dapat berkumpul dengan kawan-kawan dalam satu naskhah.

“Tambahan pula, drama berkenaan diarahkan oleh Razaisyam Rashid. Mengenalinya dia memang seorang pengarah artistik dan indie,” ujarnya yang akan berdikit-dikit mengurangkan aktiviti lakonan selepas berkahwin kelak.

Selepas ini, aktres berdarah campuran Inggeris dan Melayu ini akan berkecimpung dalam dunia belakang tabir seperti penulisan skrip atau menubuhkan syarikat produksi sendiri.

DFKL

Sengaja menebak Pelakon TV Wanita Popular dan Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Ke-27 ini dengan kejutan sambutan hari jadi yang dilakukan Lutfi pada 14 Mac lalu, Siti Saleha menyimpulkan tunangnya seorang yang cukup romantis.

“Bab buat kejutan dia memang pakar. Jika hari jadi tahun lepas, saya sudah dapat mengagak yang dia bakal buat kejutan, tahun ini memang tidak dijangka langsung.

“Dia ajak saya tengok lokasi tempat resepsi, rupa-rupanya dia sudah rancang dengan kawan-kawan saya untuk adakan majlis sambutan hari jadi. Siap buat grup WhatsApp lagi,” ujarnya sambil ketawa.

Dalam perkembangan lain, Siti Saleha bersyukur kerana turut tercalon dalam Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2017 menerusi dua kategori iaitu Aktres Pilihan dan Pasangan Pilihan.

Biarpun tercalon menerusi impak drama lakonannya iaitu 7 Hari Mencintaiku, namun tiada apa yang diharapkan Siti Saleha selain menyerahkannya kepada rezeki.

“Alhamdulillah, saya tercalon dalam DFKL menerusi drama 7 Hari Mencintaiku. Walaupun drama itu meletup, namun kedua-dua kategori yang tercalon adalah berdasarkan undian. Jadi, saya tidak dapat nak jangka sama ada saya akan menang atau tidak,” katanya lagi mengenai DFKL yang akan bersiaran pada 9 April, pukul 9 malam di TV3.

Post a Comment

Previous Post Next Post