Hael Husaini tak takut bersaing dengan Aiman Tino


Biarpun agak kekok ketika mula-mula bergerak solo, namun ia tidak melemahkan semangat Hael untuk terus berkarya.

Perang perasaan antara menyanyi secara duo atau bergerak sendiri, memaksa Hael Husaini mengambil keputusan untuk meneruskan karier nyanyiannya secara solo.

Dunia nyanyian secara duo hanya persinggahan untuknya mencari rezeki dan mengutip ilmu.

Selebihnya, penyanyi yang terkenal menerusi kumpulan duo, Azhael itu mahu meneruskan arus muzik ke jiwa peminat setianya yang tidak pernah lelah menyokongnya selama ini.

Tiga tahun bersama Azhael dan pernah dinobatkan sebagai Naib Juara Akademi Fantasia Musim ke-10 pada 2013, pemilik nama sebenar Hal Husaini Razmi itu akhirnya meletakkan noktah kepada kumpulan Azhael dan mahu membidik jiwa pendengar melalui single solonya berjudul Jampi.

Tiada istilah bergaduh waima sekelumit dengan rakan duonya, Azhar seperti telahan ramai ke atas Hael selepas mengambil keputusan untuk mengundur diri daripada kumpulan itu.

“Sebenarnya kami berpisah secara baik untuk ketengahkan bakat masing-masing. Azhar banyak dapat tawaran dalam bidang lakonan, manakala saya pula lebih cenderung kepada pembikinan lagu. Maka, disebabkan itu kami membawa haluan masing-masing.

“Sebenarnya kami sudah berkawan sejak di bangku sekolah. Pada mulanya kami memang bermula secara solo sebelum bergabung dalam Akademi Fantasia. Jadi, kami sudah tahu cara masing-masing dan bersetuju untuk ceburi bidang berlainan,” luahnya ketika ditemui pada sidang akhbar An Intimate Evening With Afgan and the Gandarianz di The Barbenque, Bukit Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dua bulan bergerak solo selepas mengumumkan pengundurannya daripada Azhael menerusi laman Instagram pada 1 Februari lalu, pada mulanya Hael mengakui agak kekok. Bagaimanapun, itu tidak bermakna dia menyesal dengan keputusan yang diambil.

“Memang ada rasa kekok bergerak secara solo. Saya berdebar nak tahu penerimaan pendengar. Alhamdulillah, lama-kelamaan saya sudah terbiasa bergerak solo,” ujarnya yang tidak takut dibandingkan dengan penyanyi Aiman Tino dan Sufian Suhaimi.

Bagi Hael, dia dan dua penyanyi terkenal itu mempunyai arus muzik berbeza. Atas tiket itu, dia juga berharap pendengar dapat menilai kelebihan masing-masing.

“Muzik saya berlawan arus dengan yang ada sekarang. Sekarang kebanyakan muzik lebih kepada lagu-lagu era 1990-an. Saya pula lebih kepada rentak pop rock. Memang saya akui kedua-dua penyanyi itu memberi impak baharu dalam bidang seni, tetapi tidak mahu terikut dengan muzik mereka.

“Harap pendengar boleh menilai kelebihan masing-masing,” ungkap Hael yang popular dengan lagu ciptaannya iaitu Hati-Hati, nyanyian Amira Othman.

Menyentuh mengenai dunia penghasilan lagu pula, Hael semakin agresif mencipta lagu untuk penyanyi terkenal, Dayang Nurfaizah dan Datin Alyah.

“Mungkin ada yang tidak tahu bahawa saya banyak buat lagu untuk artis lain. Selain lagu Hati-Hati, saya juga mencipta lagu Cemburu nyanyian Nabila dan Girl yang dinyanyikan oleh Dafi.

“Alhamdulillah, selepas ini saya akan mencipta lagu untuk Dayang berjudul Dia,” ujarnya yang berharap dapat mencipta lagu untuk Datuk Siti Nurhaliza dan bekerjasama dalam projek lagu bersama Faizal Tahir.

Dalam perkembangan lain, Hael juga bakal menjadi artis undangan untuk malam minggu setiausaha bersama Afgan yang bertemakan An Intimate Evening With Afgan and the Gandarianz di The Royale Chulan pada 27 April depan.

Post a Comment

Previous Post Next Post