Sheila Majid, Boneka terlalu istimewa


KEDUDUKANNYA begitu istimewa dalam kalangan pencinta muzik tempatan. Pesonanya dikagumi ramai, menjadi inspirasi buat pendatang baru di arena seni suara negara ini.

Skala seni pemilik nama lengkap Datuk Shaheila Abdul Majid ini tidak hanya berlegar-legar di atmosfera seni Malaysia sahaja, sebaliknya, empayarnya jauh melangkaui hingga ke negara Asia lain, khususnya Indonesia.

Sinar seninya tidak pernah pudar, malah kekal bergemerlapan biar lebih 30 tahun berkarya.

Lalu pertemuan Media Hiburan bersama bintang hebat ini di majlis pelancaran album Boneka pada 11 April lalu di Hotel Hilton, Kuala Lumpur khusus untuk berbicara mengenai penghasilan album terbarunya itu.

Sementelah tidak menghasilkan sebarang album penuh sejak 13 tahun lalu, Boneka dianggap terlalu istimewa dan cukup dekat di hatinya.

Kegembiraan, keterujaan dan penantian untuk melihat album menjengah pasaran mempunyai signifikannya tersendiri dan segalanya dizahirkan menerusi setiap tutur bicara penyanyi yang sinonim dengan lagu Warna dan Sinaran ini.

Kongsi Sheila, Boneka adalah sebuah ekspresi dan rasa kasih khas buat peminat setia yang selama ini menantikan sebuah album penuh darinya.

Album, konsert hadiah eksklusif buat peminat

Berbicara mengenai proses penghasilan Boneka, Sheila mengakui dalam tempoh pembikinan, dia menerima lebih 100 lagu untuk dirakam. Namun kebanyakan lagu dirasakan kurang sesuai dengan jiwa dan cita rasanya.

Kata Sheila, lagu-lagu tersebut bukan tidak indah untuk dinyanyikan, tetapi kurang ‘kena’ dengan jiwa muziknya.

“Bukan bermaksud tidak sedap. Tetapi rasanya lagu-lagu yang diberikan itu lebih sesuai dan sedap andai dinyanyikan penyanyi lain. Rasanya umum sedia tahu akan ‘lagu- lagu Sheila Majid’.


“Jadi pastinya, saya mahu terus kekal dengan identiti sebegitu. Tidak mahu terburu-buru dalam pilih lagu.

“Perlu pilih yang sesuai untuk dinyanyikan kerana ini adalah hadiah istimewa buat peminat. Tidak boleh main hentam saja. Sebab saya tahu, kalau saya suka dengan sesebuah lagu itu, peminat setia yang tahu akan taste saya dalam muzik, tentu akan suka juga,” katanya jujur.

Bagaimanapun, pertemuan penyanyi ini dengan pemuzik Indonesia, Tohpati sekitar Mei tahun lalu memberi 1,001 harapan baru buat Sheila.

“Kami bertemu selepas saya selesai mengadakan persembahan di sana. Dia ada bertanya mengenai album terbaru yang pada ketika itu masih dalam proses mengumpul material. Katanya secara seloroh, dia ada memberikan beberapa buah lagu, tapi saya reject.

“Kemudian, berikan saya beberapa lagu lain dan kami berbincang untuk mencantikkan lagu tersebut sebelum rakaman. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar seperti yang diharapkan,” katanya gembira.

Dihargai peminat

Tidak betah berkongsi mengenai album terkininya itu, Sheila turut memanjangkan rasa terima kasih dan terharunya buat para peminat yang tidak putus-putus memberikan sokongan.

Bukan sekadar menyokong perjalanan kerjaya, malah ada di antara mereka yang sanggup bersatu, demi memastikan penghasilan album penuh penyanyi berasal dari Kuala Lumpur ini benar-benar menjadi kenyataan.

Ditanya mengenai lagu apakah paling dekat dengan jiwanya menerusi Boneka pula, Sheila memberitahu semua lagu yang terkandung di dalam album tersebut mempunyai kisah dan keistimewaannya tersendiri.

“Semua lagu saya suka sebenarnya cuma yang mungkin paling sentimental ialah Kasih Abadi. Muziknya Azman Abu Hassan sementara liriknya pula hasilan Johana Johari.

“Saya ekspresikan lagu tersebut terhadap beberapa lokasi dunia yang begitu dekat dengan diri saya iaitu Madinah, Mekah dan Al-Aqsa,” akui Sheila yang turut menggemari lagu Tohpati, Ku Nanti.


Konsert skala mega

Ketika sesi pelancaran album tersebut, petugas media dikejutkan dengan pengumuman konsert skala besar Sheila yang akan berlangsung 5 Ogos depan di Stadium Negara, Kuala Lumpur.

Konsert tersebut menjadi satu lagi hadiah eksklusifnya buat peminat, setelah lama sunyi daripada sebarang persembahan besar di negara ini.

“Saya penah mengadakan Konsert Lagenda pada 1991 di lokasi sama. Jadi besarlah harapan saya untuk membuat konsert di Stadium Negara sekali lagi. Apa yang boleh saya janjikan pada Sheila Majid: The Concert Kuala Lumpur 2017 nanti, insya-ALLAH sesuatu yang istimewa akan terjadi,” janjinya yang enggan mengulas lanjut mengenai butiran konsert tersebut kerana dirasakan masih awal untuk dikongsikan,

Sheila mengakui lebih senang berkongsi harapannya terhadap konsert itu nanti.

“Saya suka hiburkan orang. Seronok bila tengok mereka hargai kita dengan nyanyi bersama. Dua tahun lalu saya ada buat persembahan di Los Angeles. Ia satu momen yang indah untuk dikenang.

“Banyak lagi destinasi yang saya pergi untuk hiburkan peminat. Namakan saja, saya pasti nak pergi. Tapi kekangan dari segi kewangan itulah yang menyekat. Tapi akhirnya doa saya dimakbulkan kerana dapat juga saya hiburkan peminat di negara sendiri dalam sebuah konsert sebenar.

“Masa masih berbaki empat bulan untuk kami melakukan persediaan dan saya sangat teruja dengan perkembangan ini.

“Jadi dalam skala konsert yang lebih besar, harapnya peluang untuk semua orang hadir menyaksikan saya membuat persembahan akan dapat direalisasikan. Saya juga mahu tunjukkan pada generasi muda apakah concert is all about dan ia juga boleh dilakukan penyanyi tempatan,” akhiri Sheila menanam azam.

Post a Comment

Previous Post Next Post