Pilihan kualiti, populariti Syafiq Kyle


NASKHAH BAHARU - Syafiq akan muncul menerusi telefilem Sayang Acu Ketat-Ketat bersiaran sempena malam raya di HyppTV dan program masakan bertajuk Dapur Bonda di TV3 bersama Chef Fikree.

PERNAH beberapa tahun lalu wajah pelakon dan model, Syafiq Kyle mendominasi hampir keseluruhan stesen televisyen sehingga melonjakkan namanya dalam industri hiburan tanah air.

Tidak hanya hasil kerja yang dipaparkan, ceritera cinta bersama pelakon jelita, Uqasha Senrose sekitar tahun 2014 turut mendapat perhatian. Hubungan mereka dikhabarkan berakhir dua tahun kemudian.

Setelah kedua-duanya memilih untuk membawa haluan masing-masing, kerjaya seni Syafiq tetap berlangsung seperti biasa.

Namun, kemunculannya di kaca tv dilihat seakan sepi dan tidak serancak seperti pada awal pembabitan.

Menyedari situasi tersebut, Syafiq tidak mengalah dan kekal optimis meneruskan rutin seninya. Sikap lelaki itu yang enggan mengalah akhirnya berbalas apabila namanya kembali menjadi perhatian selepas membintangi drama rantaian Suamiku Paling Sweet.

Membawa watak Izz Haikal, dia berjaya mengembalikan keyakinan peminat terhadap jenama Syafiq Kyle yang masih relevan.

Bersyukur dan berterima kasih terhadap sambutan yang diterima, Syafiq mengakui dia tidak terlalu meletakkan harapan tinggi sewaktu menjayakan naskhah arahan aktor Zul Huzaimy itu.

Sebaliknya, dia hanya melunaskan tanggungjawab sebagai pelakon seperti biasa.

“Sewaktu menjayakan drama tersebut, saya tidak meletakkan harapan tinggi selain berusaha gigih memenuhi permintaan pengarah dengan melakukan kerja sebaik mungkin bagi mendapatkan hasil yang memuaskan,” ujar Syafiq yang bergandingan dengan Mawar Rashid dalam naskhah tersebut.

Bagi Syafiq, setiap kali bersetuju untuk berlakon dia akan melunaskan tanggungjawab tersebut tanpa mementingkan impak populariti yang diterima.

Hujah Syafiq, perkara yang diletakkan sebagai keutamaan adalah kualiti kerjanya, bukan kuantiti atau kekerapan dia muncul di kaca tv.

Membiarkan peminat menyifatkan dirinya sebagai selebriti tanpa populariti, jelas Syafiq, selepas tujuh tahun menjadi pelakon, dia mengakui harus bersikap selektif.

Tidak bermaksud meletakkan diri sebagai pelakon kelas A tetapi Syafiq enggan membiarkan wujud sentimen stereotaip dalam pemikiran penonton.

“Sekiranya terlalu kerap muncul di kaca tv, dengan membawakan watak sama, saya bimbang ia akan menyebabkan penonton berasa bosan dan tidak memberi perhatian.

“Kelainan perlu dilakukan biarpun membawakan watak sama tetapi cara kita menterjemahkan karakter berbeza daripada satu naskhah ke yang lain. Kawalan kekerapan kemunculan juga penting agar peminat mengingati saya berdasarkan kualiti lakonan dan bukan kerana populariti,” tutur Syafiq panjang lebar.

Utamakan telefilem


GANDINGAN - Mendapat reaksi positif daripada peminat, Syafiq mengharapkan naskhah Suamiku Paling Sweet bersama Mawar Rashid menjadi antara karya yang dihasilkan secara telefilem bersempena sambutan Aidilfitri nanti.

Terus rancak bercerita, pelakon yang pernah terbabit dengan drama rantaian Kerana Terpaksa Aku Relakan itu secara peribadi tidak menolak bahawa populariti dapat mengekalkan kedudukan seseorang artis dalam industri.

Hal itu disokong dengan kebanjiran pendatang baharu, sekali gus menjadikan penghuni dunia hiburan perlu saling bersaing agar lebih dominan.

Mengambil pendekatan agar dirinya dikenali berdasarkan kualiti berbanding kuantiti, Syafiq, tidak gusar membuat pertaruhan dengan memilih naskhah telefilem berbanding drama rantaian.

Tidak terdetik untuk bersifat diva mahupun memilih, sebaliknya bagi Syafiq, cara tersebut dilihat lebih tersusun dan mampu mengawal kekerapan kemunculannya di kaca tv.

Keputusannya itu dibuat berdasarkan faktor masa yang perlu diperuntukkan bagi menyempurnakan sebuah naskhah drama rantaian. Situasi itu nyata berbeza sekiranya dia memberi tumpuan kepada penghasilan telefilem.

“Memilih menjayakan telefilem dapat memberi saya kawalan agar tidak terlalu kerap membuat kemunculan kerana bimbang peminat bosan.

“Biarpun fokus kepada telefilem tetapi saya tetap menerima tawaran drama rantaian sekiranya naskhah tersebut mempunyai kekuatan skrip atau karakter yang menarik,” ujarnya sambil tersenyum.

Dalam pada membuat keputusan, Syafiq mengetahui sekiranya dia meletakkan kawalan terlalu ketat terhadap kemunculannya di kaca tv, kemungkinan pilihannya itu bakal memakan diri sendiri.

Kebanjiran pelakon baharu akan menyebabkan dirinya dilupakan kerana tidak mempunyai nilai komersial untuk diketengahkan. Namun, Syafiq tetap optimis dengan pendiriannya.

“Terus terang saya tidak mengamalkan sikap memilih atau berlagak tetapi demi menjaga kualiti dan mutu lakonan, kawalan perlu dilakukan agar magisnya tidak hilang,” tegas Syafiq mempertahankan keputusannya.

Serah jodoh kepada takdir

Dalam pada berkongsi agenda seninya, lumrah kehidupan selebriti pasti tidak dapat lari daripada diburu pertanyaan tentang pasangan hidup.

Melepaskan ketawa kecil sebaik sahaja dilontarkan soalan tentang status terkini, Syafiq mengambil masa untuk menghela nafas dan membetulkan tempat duduknya sebelum menjawab pertanyaan.

Tidak lekang mengukir senyuman, pemilik nama lengkap, Mohd. Syafiq Shamim Abdul Razak itu memilih untuk memberi fokus mengukuhkan kedudukan dalam arena seni dan kewangan.

Syafiq memberitahu, dirinya tidak mempunyai kekangan besar sekiranya ingin berumah tangga kerana dirinya telah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suami.

Mengakui dirinya masih solo, dia bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada hatinya kini sedang mengenali seseorang mahupun tidak.

Kerap tersenyum sendiri, Syafiq menyerahkan segalanya kepada takdir dan membiarkan Tuhan untuk menentukan. Baginya, sebagai manusia biasa dia berusaha untuk mengenali dan mencari pasangan yang sepadan.

“Buat masa sekarang, saya tidak terlalu memikirkan tentang perkahwinan kerana lebih memberi fokus kepada kerjaya terlebih dahulu.

“Tambahan pula, usia saya juga masih muda iaitu 25 tahun. Justeru, perihal perkahwinan tidak terlalu menjadi fokus utama mahupun mendirikan rumah tangga dalam tempoh masa terdekat,” jelas Syafiq menutup perbualan.

Post a Comment

Previous Post Next Post