Imran Ajmain bukan popular sekejap


IMRAN AJMAIN bakal muncul dengan single duet bersama Najwa Mahiaddin yang masih dalam perancangan.

Tempoh 10 tahun selepas lagu berhantunya berjudul Seribu Tahun meledak, penyanyi kelahiran Singapura, Imran Ajmain mengakui populariti bukan suatu perkara yang menjadi keutamaan dirinya.

Melihat kepada trend muzik tanah air sekarang apabila ramai penyanyi berlumba-lumba menghasilkan lagu jiwang berentak 1990-an, pemilik nama sebenar, Imran Ajmain Ahmad Husaini Ajmain, 35, itu tidak mahu tergesa-gesa melakukan perkara sama.

Bakal hadir dengan single duet terbaharu bersama Najwa Mahiaddin, Imran berpendapat trend muzik tempatan tidak progresif dan perlukan perubahan.

Imran turut menyangkal dirinya adalah penyanyi dalam kategori one hit wonder (popular sekejap) hanya kerana tiada lagu baharu yang berkumandang di corong radio seperti popularitinya memuncak suatu ketika dahulu.

Kosmo!: Apa khabar Imran? Boleh kongsikan perkembangan seni terbaharu anda?

Imran Ajmain: Alhamdulillah, saya baik. Saya bakal muncul dengan single duet terbaharu bersama Najwa Mahiaddin. Ia adalah sebuah lagu berentak R&B yang mempunyai unsur klasik.

Sebenarnya, saya sudah lama bercita-cita untuk bekerjasama dengan Najwa kerana begitu kagum dengan bakat nyanyiannya.

Gubahan lagu ini juga mengambil inspirasi daripada muzik ciptaan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, namun ia adalah sebuah lagu baharu yang akan diterbitkan oleh Universal Music.

Apa yang membuatkan anda terdetik untuk menghasilkan lagu baharu?

Saya tidak pernah berhenti menyanyi. Saya masih memenuhi undangan nyanyian majlis korporat. Kali terakhir saya muncul dengan single adalah pada tahun 2012 menerusi lagu berjudul Dikalung Kasihan.

Saya cuma ingin terus berkarya sahaja, bukan untuk menandingi penyanyi-penyanyi muda yang memang hebat dengan likes, followers dan views di laman sosial.

Adakah anda mempunyai masalah dengan trend muzik sekarang yang lebih menjurus ke arah muzik 1990-an?

Muzik adalah pilihan masing-masing. Cuma, bagi saya ia tidak sepatutnya tertumpu di situ sahaja kerana ia tidak progresif. Saya hormat dan puji penyanyi-penyanyi muda sekarang yang mampu mencipta lagu sendiri. Berbeza dengan saya.

Dahulu, saya bangga kalau dapat bekerjasama dengan komposer-komposer hebat seperti Allahyarham Adnan Abu Hassan, Audi Mok dan Omar K, walaupun tahu saya boleh menulis lagu sendiri.

Apabila ada khalayak melabelkan anda sebagai one hit wonder atau popular sekejap, apa komen anda?

Saya tidak menafikan khalayak mengenali Imran Ajmain disebabkan lagu Seribu Tahun. Lagu itu adalah lagu ‘cari makan’ saya. Lebih 10 tahun berada dalam industri, lagu tersebut membuatkan nama saya tetap kekal dalam bidang ini.

Kalau orang yang benar-benar mengikuti kerjaya seni saya, banyak lagi lagu lain yang menjadi hit, namun Seribu Tahun adalah yang paling meninggalkan kesan dalam kalangan peminat. Disebabkan lagu itu, saya mampu mara sejauh ini.

Pada pendapat anda, apa yang menghalang anda untuk terus mara dalam industri muzik tanah air?

Seperti yang dikatakan tadi, saya masih di sini. Saya sibuk dengan tugas sebagai pengarah kreatif di SukaSucre Bistro. Sebelum ini, saya banyak menghabiskan masa bersama ibu yang mengalami masalah kemurungan. Kini, keadaan ibu saya semakin baik.

Justeru, saya sudah bersedia untuk kembali memeriahkan industri muzik tanah air. Saya tetap setia dengan genre R&B yang mempunyai lenggok Melayu.

Post a Comment

Previous Post Next Post