Rezeki terpijak Wany Hasrita


Biarpun masih terlalu baharu dalam bidang seni, Wany Hasrita tidak malu menyatakan hasratnya untuk mencuba bidang lakonan.

“Ibu (Norita Jaafar) sentiasa menemani saya apabila membuat persembahan. Dia sentiasa berada di sisi dan saya sangat bersyukur kerana dia menjadi tulang belakang yang tidak pernah lelah memberi restu dan sokongan terhadap segala perkara yang saya lakukan dalam hidup,” getus Wany.

Duet dengan Tajul

Bernaung dalam satu syarikat rakaman yang sama, Wany memaklumkan dia bakal hadir dengan single duet terbaharu berjudul Di Sana Cinta Di Sini Rindu bersama Tajul.

Tajul merupakan adik kepada Allahyarham Achik Spin. Gabungan mereka kelak dilihat seperti mahu mengembalikan nostalgia lama apabila Nana sendiri pernah hit dengan duet bersama Achik berjudul Memori Berkasih.

Justeru, Wany bersedia sekiranya kolaborasi tersebut mengundang memori lama yang pernah dicetuskan oleh pasangan duet tersebut yang begitu popular pada era 1990-an.

“Saya sangat meminati lagu-lagu duet Allahyarham Achik dan Nana. Lagu ini juga ada rentak 1990-an. Sekarang, muzik sebegini memang sedang menjadi kegemaran ramai, jadi saya tiada masalah kalau orang ingin membuat perbandingan. Itu hak mereka,” ulas Wany yang sangat mengagumi bakat nyanyian Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk M. Nasir.

Ditanya bagaimana jika dia disunting menjadi pelakon pula pada masa akan datang, wanita itu bersifat terbuka untuk mengembangkan bakat seninya dalam bidang lakonan.

“Saya pernah terlibat dalam pertandingan teater sewaktu zaman persekolahan. Jika ada rezeki dan peluang dalam bidang lakonan kelak, apa salahnya. Saya ingin asah kembali bakat lakonan yang sudah lama ditinggalkan,” ujar Wany menggulung bicara



Bergelumang dalam dunia seni bukan bermakna seseorang itu perlu membelakangi kepentingan urusan akademik. Ibarat kata pujangga, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Buat penyanyi baharu yang kini sedang meledak dengan single berjudul Menahan Rindu, Wany Hasrita, walaupun kini terjun dalam dunia nyanyian, pelajaran adalah keutamaan buat dirinya.

Kata Wany, dengan berbekalkan ilmu di dada, dia mampu bertahan dalam setiap bidang yang diceburi.

“Sudah ada rezeki dalam bidang nyanyian, siapa saya untuk menolaknya.

“Sebenarnya, saya baru sahaja selesai dengan peperiksaan semester, jadi saya boleh menyanyi sepenuh masa kerana sedang bercuti.

‘‘Bagaimanapun, apabila kuliah sudah bermula, saya hanya menerima undangan nyanyian pada hujung minggu.

‘‘Walau apa pun yang saya lakukan, pelajaran tetap menjadi keutamaan,” ujar Wany yang merupakan pelajar Sains Perubatan di Universiti Sains dan Pengurusan (MSU), Kuala Lumpur.

Bakat nyanyian Wany atau nama sebenarnya, Nursyazwany Hasrita Hasbullah mula dihidu melalui aplikasi karaoke Smule apabila salah satu video nyanyiannya berjudul Tiga Malam (nyanyian asal Datuk Siti Nurhaliza) tular di alam maya.

Rezeki terpijak, Wany yang merupakan anak jati Kuala Lumpur dilamar oleh syarikat rakaman FMC untuk bernaung sebagai penyanyi rakaman. Bersama FMC, pantas dia melahirkan single yang kini semakin mendapat perhatian, Menahan Rindu.

“Saya memang tidak menyangka dengan sekelip mata telah masuk ke dalam dunia hiburan secara serius. Saya juga tidak menyangka Menahan Rindu mendapat tempat dalam hati ramai pendengar.

‘‘Apabila mendapat tahu ia menjadi siulan ramai, saya semakin bersemangat untuk memperkemaskan langkah dalam bidang ini,” tuturnya penuh semangat.

Klon Nana

Dijentik persoalan mengenai persamaan gaya nyanyiannya dengan juara Gegar Vaganza 2, Siti Nordiana, Wany tidak menafikan perkara tersebut. Namun, wanita itu mempunyai hujah yang tersendiri.

Ujar Wany, dia tidak menafikan telah membesar dengan lagu-lagu nyanyian Siti Nordiana atau Nana, namun tidak berniat untuk mengikut cara nyanyian penyanyi itu.



Wany bakal muncul dengan lagu duet bersama adik Allahyarham Achik Spin, Tajul menerusi single yang diberi judul Di Sini Cinta Di Sana Rindu.

“Ya, ramai yang memberi komen suara saya sama dengan Nana. Saya juga memang meminati dia tetapi tidak mahu terus dibayangi perkara tersebut.

“Namun, mungkin sebab tonasi suara kami sama, anugerah itu tidak boleh ditukar. Jika masih ada pihak yang terus mempertikaikannya, saya tidak mampu berbuat apa-apa. Saya tidak boleh halang pendapat orang. Terpulang kepada mereka,” ujar Wany pasrah.

Mengulas lanjut, dia tidak mahu hanya berpeluk tubuh membiarkan persepsi tersebut bertebaran. Kata Wany, untuk tidak terlalu terikut gaya nyanyian Nana, dia sedia untuk mengikuti kelas vokal.

“Sebenarnya, sekarang saya sudah mengikuti kelas vokal. Saya ingin terus memperbaiki kualiti vokal agar tidak lagi disamakan dengan Nana, sekali gus membina identiti sendiri,” kata Wany yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Damai Perdana, Cheras.

Malu

Dalam rancak berbicara, Wany menjelaskan dia sememangnya suka berkaraoke bersama rakan-rakan. Justeru, apabila aplikasi Smule menjadi popular, dia hanya mencuba atas dasar suka-suka.

“Di universiti sangat sibuk sampai masa untuk melepak bersama rakan-rakan terbatas. Jadi, apabila boleh menyanyi ‘secara percuma’ di alam maya melalui Smule, saya teruja walaupun pada mulanya malu.

“Sebenarnya, baik di sekolah menengah atau universiti, saya bukan seorang yang aktif dalam bidang seni. Saya lebih dikenali sebagai atlet bola jaring tetapi saya memang gemar menyanyi,” ujarnya yang pernah mewakili MSU dalam Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SukIPT) menerusi acara bola jaring.

Manis bertudung, Wany tetap tidak mampu menidakkan cemuhan khalayak yang gemar melemparkan kata-kata negatif kerana dia menceburkan diri dalam dunia hiburan. Mereka menyifatkan penampilannya yang sopan sebagai kurang sesuai dengan kerjaya yang kini baru mahu dimulakannya.

“Saya menyanyi ikhlas untuk cari duit lebih. Hendak beli makanan atau pakaian, semuanya perlu menggunakan duit, jadi saya bekerja seikhlas hati demi mencari sesuap nasi. Justeru, saya tidak boleh selalu mendengar dan ambil pendapat negatif orang terhadap saya,” katanya.

Tambahnya lagi, ibu dan bapanya tidak pernah menghalang minat nyanyiannya dan selagi mendapat restu daripada mereka, dia akan terus berkongsi bakat nyanyian dengan khalayak

Post a Comment

Previous Post Next Post