Pak Ngah semarakkan nuansa irama Melayu


PAK Ngah (tengah) mengharapkan dua anak didiknya iaitu Rahman dan Nura berjaya mendapat tempat dalam industri hiburan tanah air.

BERUSAHA mengekalkan kesenian muzik irama Melayu, pemilik nama Suhaimi Mohd Zain atau lebih popular dengan panggilan Pak Ngah optimis memperjuangkan genre tersebut agar tidak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Biarpun bukan menjadi pilihan utama pendengar masa kini, Pak Ngah tidak lelah ‘menanam’ benih nuansa irama Melayu dalam kalangan golongan belia.

Usaha tersebut jelas terlihat apabila Pak Ngah mengetengahkan bakat muda iaitu bekas peserta program nyanyian 3 Juara, Nura untuk dijadikan pewaris bagi meneruskan legasi irama Melayu.

“Biarpun umum sinonim menggelarkan ia sebagai irama Malaysia tetapi saya selesa memanggilnya sebagai irama Melayu kerana ia lebih bersifat universal dan tidak tertumpu pada satu negara sahaja.

“Demi memartabatkan irama Melayu agar tidak tenggelam dek zaman, semua pihak seharusnya berganding bahu memelihara kesenian khazanah asli demi kebaikan generasi akan datang,” luah lelaki berusia 60 tahun itu.

Mengulas lanjut, Pak Ngah meletakkan harapan agar percubaan pertama anak didiknya itu berjaya mendapat tempat dalam industri hiburan tempatan.

Bagi Pak Ngah, meskipun lagu berentak irama Melayu sukar untuk menarik perhatian pendengar masa kini berikutan peralihan corak muzik dan zaman, namun beliau tetap meletakkan keyakinan tinggi terhadap kemampuan dan kebolehan Nura.

“Tidak dinafikan perjalanan kerjaya seni Nura untuk mendapat tempat dalam industri muzik tanah air agak sukar tetapi saya tetap yakin kelebihan yang dimilikinya akan mewujudkan peluang cerah,” ujar Pak Ngah bersungguh-sungguh.

Minat

Semangat cintakan irama Melayu yang menebal dalam diri Pak Ngah menjadikan Nura atau nama lengkapnya Nuratiqah Mohd. Yusof cukup yakin dengan keputusannya meneruskan minat sebagai penyanyi.

Mengakui minatnya terhadap irama Melayu tumbuh sejak berusia enam tahun, Nura turut meletakkan harapan agar taruhan sulungnya mendapat sambutan positif daripada khalayak.

“Sejak kecil saya telah didedahkan dengan muzik ghazal menyebabkan rasa cinta terhadap genre irama Melayu itu telah menebal sehingga dewasa,” ujar gadis berusia 19 tahun itu.

Demi mempamerkan kesungguhannya terhadap industri muzik, Nura mempertaruhkan single pertama yang digubah oleh Pak Ngah manakala lirik pula dihasilkan oleh Siso berjudul Sang Puteri.

Pada masa sama, Nura juga berasa gembira apabila keinginannya untuk bergelar penyanyi dan fokus terhadap bidang seni mendapat sokongan sepenuhnya daripada keluarga.

“Sebaik tamat pengajian sekolah menengah, keluarga tidak menghalang minat saya mahu menceburi dunia seni. Mereka juga tidak mendesak agar saya menyambung pengajian ke peringkat seterusnya,” kata Nura sambil tersenyum.

Selain Nura, anak didik Pak Ngah seterusnya ialah Abd. Rahman Mahadi atau lebih dikenali sebagai Rahman. Jejaka berusia 26 tahun itu juga tidak menafikan dirinya lebih cenderung terhadap karya irama Melayu berbanding genre muzik lain.

“Tidak dinafikan saya mempunyai kemahiran untuk membawa pelbagai jenis rentak lagu tetapi irama Melayu tetap menjadi pilihan kerana ia mempunyai keunikan tersendiri,” ujar Rahman saat memulakan bicara.

Rahman yang juga bekas peserta program 3 Juara itu tidak menafikan dirinya selesa memperjuangkan muzik berkonsep ketuhanan seperti idolanya, Yasin Sulaiman dan Maher Zain.

Mengulas lanjut, pengacara rancangan Fikrah terbitan RTM itu mengharapkan kehadirannya dalam bidang seni mendapat sambutan baik daripada pencinta muzik terutama single pertamanya bertajuk Dunia Ku Tawan.

Lagu berentak irama padang pasir itu juga merupakan hasil ciptaan Pak Ngah manakala lirik ditulis oleh Siso.

Meskipun kerjayanya dalam bidang pengacaraan lebih menyerlah berbanding nyanyian, Rahman tetap membulatkan hati untuk mencipta nama sebagai penyanyi.

“Kerap menerima tawaran sebagai pengacara majlis tidak menghalang saya untuk meneruskan minat dalam bidang nyanyian kerana ia merupakan fokus utama saya menceburi dunia seni,” jelas Rahman.

Post a Comment

Previous Post Next Post