Tajul Arif beradaptasi dengan dunia popular


PERANCANGAN - Tajul Arif terpaksa menangguhkan impian untuk melanjutkan pelajaran kerana undangan nyanyian yang begitu padat. Bagaimanapun dia merancang untuk menyambungnya dua tahun lagi.

TATKALA mendengar lagu Sedalam Dalam Rindu berkumandang di corong radio, fikiran lantas terbayang suara Allahyarham Abdillah Murad Md. Shari atau lebih dikenali sebagai Achik Spin.

Mempunyai lenggok suara yang hampir serupa dengan arwah abangnya, kehadiran penyanyi muda ini semestinya tidak perlu diperkenalkan lagi.

Bakat Tajul mula dicungkil sejak menyanyikan lagu-lagu saduran dalam aplikasi Smule kemudian berkongsi menerusi laman YouTube. Tindakannya itu telah menarik perhatian syarikat rakaman FMC Music Sdn. Bhd. untuk melamarnya menjadi seorang penyanyi.

Masa bergulir, selepas setahun menjadi penyanyi, pelbagai kerlipan populariti diraih Tajul sehingga keadaan tersebut benar-benar merubah kehidupnya kini.

“Alhamdulillah, kehidupan saya sekarang berubah menjadi luar biasa. Bayangkan dalam sebulan, saya cuma mempunyai masa tiga atau empat hari sahaja untuk berehat.

“Selebihnya, saya sibuk memenuhi undangan nyanyian di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak,” ujar Tajul memulakan bicara.

Tertawa saat mengingatkan perubahan besar yang berlaku kepada dirinya, ujar pemilik nama lengkap Tajul Arif Noor Md. Shari itu, kini dia tidak berani keluar rumah seorang diri kerana bimbang akan diserbu peminat.

Bagaimanapun, akuinya perkara tersebut sedikit pun tidak membuatkan dia berasa serik untuk meneruskan kehidupan sebagai penyanyi kerana melihat bidang seni yang sedang diceburi itu sebagai masa depan cerah buatnya.

“Selepas bergelar penyanyi, memang agak sukar untuk saya keluar rumah secara berseorangan kerana pasti ada peminat yang menyerbu dan meminta saya untuk bergambar bersama.

“Pernah suatu ketika, saya dikerumuni oleh peminat semasa mengadakan persembahan di Sabah, tiba-tiba saya terasa seperti ada satu tangan yang sedang meraba. Saya sangat terkejut dan perkara itu membuatkan keluarga tidak membenarkan saya keluar rumah berseorangan lagi,” jelasnya sambil tersipu malu.

Memori

Membawa bicara soal kehadiran Tajul yang mengembalikan semula memori peminat kepada arwah abangnya, lelaki berusia 19 tahun itu berkata perkara tersebut memang sudah dikaitkan sejak dari dahulu lagi.

Malah dia juga mengambil sikap tidak kisah dengan kata-kata segelintir pihak yang mendakwa dia mengusung populariti Achik.

“Saya tidak kisah jika masyarakat mengatakan kehadiran saya mengingatkan mereka kepada arwah abang. Achik merupakan abang kandung dan saya pasti tidak boleh lari daripada perkara itu.

“Soal populariti juga sama kerana sebagai manusia, saya tidak boleh menahan mulut orang daripada berkata-kata. Saya sifatkan itu (pandangan orang) perkara biasa dalam dunia hiburan,” katanya yang baru berusia 12 tahun ketika Achik meninggal dunia.

Selain popular dengan lagu Sedalam Dalam Rindu, Tajul baru sahaja melancarkan sebuah lagu duet dengan penyanyi baharu, Wani Hasrita berjudul Di Sana Cinta Di Sini Rindu.

Tidak menafikan kolaborasi antara mereka mengukuhkan lagi memori peminat kepada fenomena Achik dan Nana suatu ketika dahulu, Tajul menerima perkara tersebut dengan hati terbuka.

“Lagu duet kami baru sahaja dilancarkan minggu lalu. Alhamdulillah, lagu itu mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

“Ramai berkata jika dahulu ada pasangan Achik dan Nana, tetapi sekarang kami adalah pasangan junior Tajul dan Wani,” katanya tertawa.

Diusik mengenai gandingan tersebut bakal mengundang gosip dia bercinta bersama penyanyi lagu Menahan Rindu itu, Tajul hanya tersenyum.

Tanpa berselindung dia mengaku Wani mempunyai ciri-ciri wanita idamannya, namun hubungan mereka hanya sebatas rakan sekerja.

“Pada saya itu adalah satu perkara biasa buat kebanyakan artis yang berduet pasti akan digosipkan bersama. Biarlah, asalkan kami berdua tahu dan menjalankan tugas seperti syarikat rakaman mahukan.

“Antara saya dan Wani memang tiada apa-apa, kami cuma berkawan rapat kerana berada di bawah satu label yang sama,” ujarnya.

Saingan

Mengecap populariti seiring dengan barisan penyanyi lelaki baharu lain seperti Khai Bahar, Irfan Haris dan Aiman Tino, sengaja kemudian Tajul ditebak soal strategi untuk dirinya agar tidak popular semusim sahaja.

Menganggap kehadiran penyanyi lain sebagai saingan sihat dalam industri, sebagai penyanyi baharu Tajul berazam untuk memperbaiki mutu nyanyiannya agar lebih baik daripada sekarang.

“Ketika awal kemunculan pada tahun lalu, mutu nyanyian saya memang tidak bagus, terutama sewaktu menyanyi secara langsung.

“Saya gunakan sedikit ilmu yang dipelajari semasa kelas vokal ketika berumur 14 tahun untuk memperbaiki mutu dan teknik nyanyian,” katanya yang mula mengurangkan pengambilan air sejuk demi menjaga kualiti vokalnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post