BARU berusia 24 tahun, Nadya Syahera gembira kerana telah dikurniakan anak sulung yang banyak merubah perspektif kehidupannya sebagai seorang wanita.
SELAMAT bernikah pada 25 September tahun lalu, kelahiran bayi pertama pasangan pelakon Nadya Syahera, 24, dan suaminya Fizul Nawi, 25, sekitar Mac lalu pernah menjadi bahan pertikaian banyak netizen.
Menjelaskan bayi comel yang diberi nama Aleena Rose itu lahir dalam keadaan tidak cukup bulan, pelakon yang terkenal dengan watak Bella dalam drama rantaian Dia Semanis Honey sekitar tahun lalu menegaskan dia nekad tidak mahu mengambil peduli segala kata nista yang telah dilemparkan kepada dirinya dan keluarga.
Kini, selepas tamat tempoh berpantang, Nadya kembali meneruskan kerjaya seni seperti biasa. Malah, wanita itu turut teruja berkongsi pengalaman pertamanya bergelar ibu muda.
KOSMO!: Boleh kongsikan perkembangan terkini Nadya kepada peminat?
NADYA: Saya baru sahaja tamat tempoh berpantang sekitar dua minggu lalu. Saya juga sudah mula bekerja seperti biasa dengan menghadiri jemputan fotografi dan mulai Mei ini, saya akan menjalani penggambaran telefilem Abang Bomba I Love You Raya.
Baru dua minggu tamat berpantang, badan anda kelihatan cepat langsing, boleh kongsi rahsianya?
Saya tidak ada rahsia. Mungkin keadaan badan saya begini kerana semasa hamil, berat badan saya juga tidak banyak naik. Malah, sebenarnya selepas berpantang berat badan saya semakin turun daripada 52 kilogram (kg) kepada 49 kg.
Apakah perasaan anda selepas bergelar ibu?
KEHADIRAN Aleena Rose tidak membuatkan Nadya memperlahankan karier seninya.
Kehidupan saya memang berubah 100 peratus sekarang. Kadangkala terasa diri seperti zombi kerana tidak cukup tidur. Pun begitu, hari-hari yang saya lalui setakat ini masih terkawal dan teruja kerana banyak belajar perkara baharu terutamanya hal penjagaan bayi. Satu lagi hal baharu yang saya perasan, walaupun keluar bekerja sekejap, tetapi perasaan rindu terhadap anak membuatkan saya terasa ingin cepat pulang ke rumah.
Siapakah yang menjaga anak jika anda bekerja?
Setakat ini kalau saya dan suami keluar bekerja, anak akan dihantar ke rumah kakak buat sementara waktu. Pun begitu, saya juga sedang mencari pembantu untuk membantu menjaga anak apabila kami keluar bekerja.
Maaf bertanya soal status anak anda yang pernah menjadi pertikaian netizen tempoh hari, mungkin ada sesuatu yang anda ingin terangkan?
Bagi saya perkara itu tidak perlu dipanjangkan lagi kerana anak saya membesar dengan sihat sekarang. Perkara yang sudah lalu, biarlah ia berlalu kerana apabila saya bangkitkan semula isu ini, ia akan berpanjangan kembali. Cukuplah saya minta peminat mendoakan yang terbaik untuk saya dan keluarga.
Baiklah, berbalik soal kerjaya. Anda sering menjayakan watak antagonis, tidakkah teringin untuk membawa watak baik pula?
Jika diikutkan saya ingin bawakan watak baik terutama yang boleh membuatkan penonton menangis. Bagi saya bukan mudah sebenarnya untuk membawakan watak seperti itu, jadi saya anggap ia sebagai cabaran kepada diri andai ditawarkan karakter sedemikian suatu hari nanti. Bagaimanapun, terus-terang dikatakan buat masa ini saya masih ditawarkan dengan watak antagonis dan selagi ia diterima penonton, saya akan teruskannya.