Ruhainies semakin laris


HUBUNGAN - Pernah bergandingan dengan Azrel Ismail pada awal kemunculannya sebagai pelakon, Ruhainies menegaskan hubungan dengan lelaki itu sekadar teman baik dan mereka tidak pernah bercinta.

MULA melakar populariti menerusi drama Hello Mr. Perfect, ketika itu bakat lakonan Ruhainies pernah menjadi bahan pertikaian dalam kalangan peminat drama tempatan.

Bukan sahaja digelar pelakon kayu, malah namanya pernah digugurkan daripada senarai pelakon yang sepatutnya membintangi sebuah filem kira-kira pertengahan tahun lalu.

Mengakui terpalit rasa sedih dan kecewa dengan kejadian tersebut, wanita berusia 25 tahun itu bagaimanapun enggan terus melayan semua rasa sebal yang pernah bertamu di hati.

Dia sebaliknya giat mendaki tangga sebagai pelakon hingga menjadi rebutan syarikat produksi. Bahkan, jadual seninya kini telah terisi penuh sehingga hujung tahun nanti.

“Jadual saya penuh sehingga hujung tahun ini. Sekarang, saya sibuk dengan tawaran berlakon dalam telefilem dan drama rantaian.

“Selain itu, rezeki juga buat saya apabila ditawarkan untuk menjadi duta dan penampilan khas dalam pelbagai kempen promosi produk tempatan,” ujarnya yang ditemui ketika membuat penampilan khas semasa pelancaran produk kecantikan Cantik Dara, di Restoran Rebung Chef Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Teruja berkongsi kesibukan jadual seni dirinya, pemilik nama Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas itu memberitahu akan terbang ke Paris dan London tidak lama lagi untuk menjayakan sebuah telefilem dan drama rantaian sebanyak 13 episod di sana.

Ruhainies menjadi lebih bersyukur apabila ramai pengarah tempatan sudah mula memberi kepercayaan kepada dirinya untuk membawakan watak berat yang memang menjadi idamannya selama ini.

“Saya baru sahaja tamat penggambaran drama bersiri berjudul Menantu Bilal. Tidak lama lagi saya akan memulakan penggambaran telefilem untuk slot cerekarama berjudul Jasmin.

“Jika tiada halangan, saya juga akan terbang ke London dan Paris untuk menjalani penggambaran drama rantaian bertajuk Kelip-Kelip Kota London dan sebuah telefilem berjudul Cikgu Dina Pakai Prada Ke Paris.

“Untuk telefilem Jasmin dan Kelip-Kelip Kota London, sebenarnya saya diberikan watak berat. Sebelum ini penonton melihat saya melakonkan drama bergenre humor, jadi apabila membawakan watak berlainan saya menjadi sedikit gementar namun dalam masa sama tetap teruja kerana watak sebegini memang idaman saya sejak dahulu,” terangnya panjang lebar.

Pengalaman

Membawa perbualan ke arah lebih serius, sengaja Ruhainies ditebak soal mutu lakonannya yang dilihat semakin meningkat ketia ini.

Tersenyum saat mendengar pujian tersebut, Ruhainies memberitahu, dia banyak belajar daripada pengalaman sepanjang tempoh tidak sampai dua tahun bergelumang dalam dunia lakonan.

“Sampai bila hendak dilabel pelakon seperti itu (kayu), jadi saya tekad untuk belajar daripada pengalaman. Alhamdulillah, ramai sudah mula perasan tentang perubahan tahap lakonan saya.

“Ia mungkin impak daripada lakonan watak berat yang saya jayakan dalam drama Jejak Karmila tidak lama dahulu. Bagi saya, membawakan watak yang serius mampu meningkatkan mutu lakonan seseorang pelakon,” ujarnya.

Tambah Ruhainies, dia juga akan melihat jalan cerita terlebih dulu sebelum menerima sebarang tawaran lakonan.

Pelakon Menantu Tintong itu turut meletakkan strategi untuk lebih fokus dalam lakonan drama dalam televisyen terlebih dahulu sebelum melangkah ke layar perak.

“Sejujurnya saya akan memilih sebelum menerima tawaran lakonan. Ia penting kerana saya mahu watak yang dilakonkan nanti boleh memberi impak kepada penonton.

“Begitu juga dengan tawaran berlakon filem. Bukan tidak ada, tetapi saya yang menolaknya kerana merasakan watak itu tidak sesuai untuk saya bawa. Biarlah saya memberi fokus terhadap drama terlebih dahulu, jika penonton sudah bosan melihat saya dalam kaca televisyen barulah berpindah ke filem pula,” katanya berseloroh.

Cinta

Menyentuh perihal peribadi, wanita berusia 25 tahun itu diusik soal perhubungannya dengan pelakon Azrel Ismail.

Bagaikan memahami soalan yang akan ditebak kepadanya, dengan nada tenang dia menafikan mempunyai hubungan cinta dengan pelakon lelaki itu.

Tegasnya, hubungan antara mereka tidak lebih sekadar teman rapat disebabkan pernah bergandingan dalam drama Menantu Tintong dan akan datang menerusi telefilem Jasmin.

“Ketika terbaca kenyataan Azrel tentang hubungan baru-baru ini saya terus menghubunginya dan bertanya hal sebenar. Antara kami memang tiada apa-apa, kerana saya dan Azrel sekadar rakan baik.

“Saya ingin tegaskan di sini, kami memang tidak pernah bercinta. Jika perkara ini benar-benar berlaku, sudah tentu saya akan kongsikan berita gembira ini kepada semua peminat,” katanya.

Ulas Ruhainies, dia kini terlalu sibuk dengan kerjaya seni dan menjadi duta produk sehingga tidak sempat memikirkan soal cinta.

Tambahan pula, biarlah kakaknya, Risteena Munim yang mendirikan rumah tangga terlebih dahulu kerana tidak mahu melangkah bendul.

“Tempoh saya berada dalam industri ini masih baru, jadi masih terlalu awal untuk memikirkan soal cinta dan perkahwinan.

“Saya juga belum bersedia memikirkan soal itu kerana terlalu sibuk dengan kerja sehingga tiada masa memikirkan hal peribadi. Biarlah kakak saya yang kahwin dulu,” terangnya.

Sempat ditanya soal pemilihan menerima tawaran duta produk kecantikan pula, ujar Ruhainies, sebagai duta dia akan menggunakan produk tersebut terlebih dulu bagi memastikan ia benar-benar berkesan sebelum dijual kepada peminat.

“Saya tidak mahu terima sesuatu tawaran kerana duit. Saya akan memastikan setiap produk yang ditawarkan itu berkesan barulah saya yakin untuk mempromosikannya kepada peminat menerusi Instagram.

“Pada bulan Ramadan depan, saya akan berehat seketika daripada dunia lakonan untuk memberi laluan mempromosi jenama produk seperti biskut raya dan barangan kecantikan sepanjang bulan itu,” tutupnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post