Nabil Ahmad tingkat penguasaan bahasa Inggeris


MELIHAT perjalanan kerjaya seni pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad selama 10 tahun dalam industri pasti ramai yang bangga atas pencapaian yang diraihnya.

Bermula program Raja Lawak, siapa sangka anak kelahiran Mambau, Negeri Sembilan ini mendapat peluang untuk berada di Hollywood sebagai pengacara karpet merah acara Anugerah Oscar yang mendapat perhatian seluruh dunia baru-baru ini.

Semestinya kejayaan itu tidak diperoleh dengan mudah walaupun dia sendiri mengakui berdepan dengan pelbagai cabaran.

“Saya sering sematkan dalam diri, tiada yang mustahil untuk dicapai dalam dunia ini jika kita ada keinginan dan kesungguhan. Saya sendiri membuktikan yang dulunya sorang despatch kini berjaya mengubah dunianya.

“Begitu juga dengan peluang ke Oscar, saya sendiri tidak membayangkan seorang pengacara yang bermula dari program Raja Lawak diberi peluang begitu hebat menerusi pengalaman bekerja di sebuah acara yang menjadi tumpuan dunia,” ujar Nabil yang cukup dikenali dengan sikap merendah diri.

Tambahnya lagi, mungkin ada hanya melihat kejayaannya secara luaran, sedangkan banyak usaha yang dilakukan ke arah itu termasuk belajar menguasai Bahasa Inggeris yang sebelum ini begitu asing baginya.

“Saya bukanlah dilahirkan dalam suasana ibu bapa berkomunikasi dalam bahasa Inggeris di rumah dan pergaulan seharian sebelum ini juga tidaklah begitu memerlukan saya menggunakan Bahasa Inggeris.

“Namun selepas aktif dalam bidang pengacaraan terutamanya terlibat dengan program HBO Sentral selama dua musim, saya mengambil inisiatif mendalami Bahasa Inggeris. Bukan atas desakan sesiapa tapi atas kesedaran untuk memperbaiki diri.

“Untuk program HBO, saya perlu melakukan promo dalam Bahasa Inggeris, malah berinteraksi dengan rakan-rakan dalam produksi yang kebanyakannya menggunakan bahasa Inggeris. Semestinya saya tidak mahu menyusahkan orang lain,” akuinya yang masih dikekalkan sebagai pengacara program HBO Sentral untuk musim terbaru ini.

Selain menghadiri kelas formal, Nabil juga mengakui mula berinteraksi dalam bahasa itu di rumah sebagai salah satu usaha meningkatkan pertuturannya.

“Untuk saya yang masih baru belajar nak tingkatkan penguasaan bahasa ini, semestinya kena lebih berusaha berbanding orang lain.

“Jadi saya mulakan di rumah dengan meminta bantuan isteri dan anak-anak. Secara tidak langsung turut meningkatkan keyakinan apabila bertutur di luar,” ujar bapa kepada dua cahaya mata ini lagi.

Selain itu, Nabil yang juga menyimpan impian besar melakukan persembahan stand up komedi dalam Bahasa Inggeris.

“Sejak dulu lagi, saya sangat mengagumi Harith Iskander dan sering mengambil inspirasi daripada kejayaannya untuk menjadi pelawak yang disegani.

“Dia bukan saja menasihati supaya terus belajar malah bersedia memperkenalkan saya kepada beberapa kelab komedi di sekitar Kuala Lumpur jika mampu menguasai Bahasa Inggeris dengan baik dan mempunyai keyakinan untuk ke arah itu,” kata pengacara MeleTOP ini lagi yang meletakkan tempoh lima tahun lagi untuk ke arah itu.

Tubuh produksi sendiri

Dalam perkembangan lain, Nabil yang masih aktif dalam bidang lakonan ini berkongsi penubuhan syarikat produksinya, Nabil Production, yang sudah pun beroperasi lebih enam bulan lalu.

“Sebenarnya, sebelum ini sudah ada pihak yang menawarkan saya untuk terlibat dengan kerja-kerja produksi namun ketika itu saya belum bersedia kerana banyak komitmen lain.

“Enam bulan lalu saya mengambil keputusan menubuhkan produksi sendiri kerana sedar tidak selamanya saya berada di depan kamera. Suatu hari mungkin tempat saya itu akan diisi oleh bakat baru.

“Menerusi produksi ini, selain bergelar penerbit, saya juga berpeluang menulis skrip dan melakukan kerja-kerja pengarahan yang pastinya menyeronokkan,” akuinya jujur.

Bercerita projek pertama Nabil Production, Bus Stop menjadikan Nabil buat pertama kali duduk di kerusi pengarah dengan sitkom hasil ideanya sendiri.

“Dah lama saya simpan idea ini dan Alhamdulillah, akhirnya dapat direalisasikan malah lebih manis lagi skripnya juga adalah karya saya sendiri.

“Insya-ALLAH, selepas ini banyak lagi projek termasuk game show dan filem yang akan dihasilkan oleh Nabil Production dengan idea dan cara kami yang tersendiri, di mana sesuatu yang mungkin sebelum ini tidak dapat saya laksanakan atas kapasiti sebagai pelakon,” akhiri Nabil.



Post a Comment

Previous Post Next Post