LEBIH 20 tahun lalu, Dayang Nurfaizah, ‘mengetuk’ pintu industri seni Malaysia selepas menyertai program nyanyian Golden Teen Search pada 1996.
Sejak itu, bermulalah perjalanan pemilik nama lengkap Dayang Nurfaizah Awang Dowty ini dalam arena seni suara Malaysia dan gigih memperjuangkan muzik genre pop R&B yang kini sinonim dengan dirinya.
Ibarat mengimbas kembali memori saatnya yang baru berjinak-jinak di dalam dunia seni, album terbaru Dayang, yang turut menggunakan nama komersialnya itu sebagai tajuk mengakui, album itu mempunyai nilai sentimental tersendiri.
Akui Dayang, Dayang Nurfaizah adalah album terbaik yang pernah dihasilkannya setakat ini.
“Dari segi pemilihan lagu, memang dilakukan secara terperinci. Rasanya saya sudah jumpa apa yang diinginkan dan dizahirkan menerusi Dayang Nurfaizah. Di dalam album terdahulu pun, saya sudah cuba macam-macam. Jadi sepanjang proses tersebut, akhirnya saya tahu apa yang terbaik.
“Jadi kali ini, memang berbaloi selepas enam tahun sunyi daripada sebarang album baru. Malah, sejak dua tiga tahun lalu kami sepakat mencari lagu dan untuk album ini, saya selesai merakam lagu terakhir tahun lalu,” katanya kepada Media Hiburan.
Tambah Dayang, dia juga berpuas hati kerana selain dapat memilih lagu terbaik khusus untuk peminat, dia juga berpeluang bekerjasama dengan komposer lama yang begitu dekat dengan dirinya.
“Untuk kali ini, saya berpeluang bekerja kembali dengan Ajai yang sebelum ini pernah memberikan lagunya, Seandainya Masih Ada Cinta.
“Begitu juga dengan Aubrey Suwito. Rasanya selepas15 tahun, inilah kali kedua kami dapat bekerjasama semula,” ujar Dayang lagi.
Reaksi positif peminat, teman media
Penghibur berusia 35 tahun yang berasal dari Kuching, Sarawak ini turut memberi penghargaan kepada peminat yang selama ini sentiasa menyokong perjalanan kerjaya seninya.
“Tiada makna semua ini andai tidak ada support mereka. Jadi saya dedikasikan Dayang Nurfaizah buat mereka yang mahukan hasil terbaik dari saya. Malah, bila album ini keluar, saya mendapat semangat kerana reaksi positif yang diterima.
“Rakan media juga memuji Dayang Nurfaizah dan pastinya saya gembira. Harapnya sokongan ini akan berterusan sampai bila-bila, Insya-ALLAH,” sambung Dayang.
Dayang sempat berkongsi rasionalnya kulit album kali ini yang dilakukan secara hitam putih iaitu satu simbolik kepada barisan lagu yang terkandung di dalam album tersebut.
“Memandangkan semua lagunya adalah balada, jadi saya mahu lagu-lagunya juga timeless, sama seperti konsep muka depannya.
“Kata orang, gambar hitam putih itu menggambarkan memori tersendiri. Biarlah orang tengok cover album itu dalam 10 tahun yang akan datang pun, ia masih kekal relevan,” kata Dayang yang tahu peminatnya lebih gemar andai dia menyanyikan lagu balada berbanding genre lain.
Berdebar buat persembahan
Ditanya harapannya terhadap showcase album terbarunya pula, Dayang yang anggun mengenakan persalinan daripada pereka terkenal, Datuk Rizalman Ibrahim memberitahu, secara jujur dia berdebar.
“Ini kali pertama saya akan nyanyikan semua lagu dalam album terbaru. Lengkap dengan iringan live band," katanya.
Pada sesi showcase yang berlangsung di Malaysia Tourism Centre (Matic), Kuala Lumpur tepat jam 9 malam itu, Dayang mempersembahkan beberapa lagu yang menaikkan namanya di dalam industri seni seperti Hakikat Cinta, Sedingin Mana Cintamu dan Pintaku Yang Terakhir.
Usai persembahan Dayang, peminat berpeluang bertemu secara eksklusif pada sesi ramah mesra bersama penyanyi itu.