LAGU INGGERIS - Dalam album Boneka, Sheila Majid turut menyelitkan sebuah lagu Inggeris berjudul My All hasil ciptaan penyanyi Najwa Mahiaddin kerana tertarik dengan sentuhan artis muda itu.
Penghasilan sesebuah karya berharga dan berkualiti tinggi sememangnya memerlukan perancangan rapi dan senggang masa yang lama untuk disiapkan. Demi pilihan terbaik dan memuaskan hati semua peminatnya, Ratu Jazz negara, Datuk Sheila Majid menghabiskan masa selama tiga tahun sebelum album terbaharunya berjudul Boneka berjaya disempurnakan.
Bertemu pada satu sesi temu bual istimewa di Hotel Aloft baru-baru ini, bintang yang seperti tidak dimamah usia itu berbicara mengenai album kelapannya. Buah tangannya itu telah selamat dilancarkan pada 7 April lalu.
“Pada mulanya, saya merancang untuk mengeluarkan sebuah album dengan memuatkan sebanyak lima lagu sahaja. Selepas bertemu dengan pemuzik dan penulis lagu Indonesia, Tohpati, kami bagaimanapun sepakat menambah lima lagi lagu menjadikan 10 buah kesemuanya untuk dimuatkan dalam Boneka.
“Sebab itu juga ia memakan masa selama lebih tiga tahun untuk direalisasikan. Ia satu proses yang sukar kerana apa yang saya cari adalah lagu yang sesuai dengan jiwa saya,” ujarnya membuka perbualan.
Bagi Sheila, kepuasan peminat adalah nombor satu. Oleh sebab itu, dalam lebih 100 buah lagu yang diterimanya sebelum pembikinan album tersebut, banyak yang ditolak kerana tidak menepati cita rasa.
“Saya sangat mementingkan melodi dan lirik dalam sesebuah lagu. Dalam soal pemilihan lagu, ia perlu kena dengan jiwa dan minat saya untuk mendengarnya.
“Bahagian korus juga memainkan peranan penting selain penulisan lirik yang bermakna. Itulah yang dipanggil kesenian, iaitu seni dalam muzik dan lagu,” tegasnya terperinci.
Tolak lagu suami
Selain pengisian melodi dan lirik, antara syarat Sheila sewaktu proses pemilihan lagu untuk album Boneka adalah menyembunyikan identiti komposer yang terlibat.
Puncanya, beliau tidak mahu terpengaruh dengan identiti pencipta lagu supaya tidak timbul berat sebelah jika ada antara komposer yang terlibat adalah mereka yang mempunyai nama besar dalam industri.
“Saya terima lebih 100 buah lagu untuk album ini tetapi tidak semua diambil termasuk karya ciptaan suami saya sendiri, Acis.
“Sewaktu menerima lagu-lagu tersebut, saya letakkan syarat agar identiti penciptanya tidak diketahui. Supaya saya tidak akan terpengaruh dengan identiti penulisnya.
“Bagi saya, biarlah lagu yang dipilih benar-benar sesuai dengan jiwa Sheila Majid. Lagu-lagu tersebut memang sedap didengar tetapi tidak semuanya menepati apa yang saya mahu,” ujarnya teruja berbicara tentang Boneka yang diibaratkannya sebagai sebuah penantian berbaloi.
Kali terakhir pelantun lagu Sinaran itu mengeluarkan album adalah pada 2004. Ini bermakna, sudah 13 tahun penyanyi kelahiran Kuala Lumpur itu sepi daripada sebarang album studio.
“Ia adalah hadiah daripada saya untuk peminat. Saya percaya, apa yang saya suka, peminat juga akan suka dan semuanya ada dalam album ini,” tutur Sheila ceria.
Sedar tentang keinginan dan penantian peminat yang tertunggu-tunggu kelahiran album terbaharu beliau, Sheila mengaku puas dengan kemunculan Boneka.
“Saya berasa sangat bersyukur kerana walaupun keadaan dunia muzik berisiko untuk penghasilan album tetapi pada tahun ini impian saya tercapai.
“Dengan 10 buah lagu baharu, ia adalah satu cabaran yang perlu saya ambil untuk memastikan peminat tidak kecewa,” katanya.
Dalam kesemua lagu tersebut, Sheila mengakui antara lagu yang paling disukainya ialah Ku Abadi ciptaan Azman Abu Hassan dan Ku Nanti oleh Tohpati.
Memilih judul Boneka selaku judul album yang diambil daripada salah sebuah single dalam album tersebut, ia sebagai signifikan merujuk kepada dirinya sendiri yang selama ini menghambakan diri sebagai seorang penyanyi di hadapan peminat.
“Saya adalah boneka kepada peminat dan industri. Saya akan lakukan apa sahaja untuk menghiburkan mereka. Menyanyi lagu kesukaan dan memakai pakaian penuh glamor di atas pentas, saya sebenarnya menyerahkan diri sepenuhnya untuk peminat,” tuturnya manis.
Lebih mengujakan, album tersebut mendapat tajaan daripada tiga buah syarikat yang berminat untuk mengeluarkan kos pembikinan. Rezeki yang tidak pernah terduga tetapi ia menyedarkan Sheila betapa karier seni dan keberadaannya dalam industri sentiasa ada penyokong.
“Syarikat tersebut tidaklah besar mana tetapi mereka sudi mengeluarkan kos demi melihat saya kembali muncul dengan album ketika saya sedang bergelut dengan kos pembikinan yang agak tinggi. Ia bukan sesuatu yang mudah tetapi apabila ditawarkan penajaan dalam bentuk sebegitu, saya sangat berbesar hati kerana mereka juga adalah peminat saya,” katanya penuh kesyukuran.
Konsert
Lebih manis, Sheila yang ditemui sekali lagi pada majlis pelancaran album Boneka di Hotel Hilton baru-baru ini turut membuat kejutan istimewa buat peminatnya.
Impian besarnya untuk kembali menggegarkan Stadium Negara akhirnya tertunai menerusi penganjuran Sheila Majid: The Concert 2017 yang dijadualkan pada 5 Ogos depan.
Menerusi konsert tersebut, Sheila bakal diiringi oleh 100 pemuzik profesional yang diketuai penerbit muzik tersohor, Mac Chew.
Terpancar jelas raut gembira pada wajah Sheila tatkala berbicara mengenai penganjuran konsert tersebut. Masakan tidak, kali terakhir beliau menganjurkan konsert di negara ini adalah pada tahun 2002 menerusi Konsert Ku Mohon.
Selepas itu, tiada lagi konsert mega daripada Sheila melainkan persembahan di lokasi eksklusif seperti di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 2010.
“Alhamdulillah, akhirnya Tuhan makbulkan hasrat saya untuk mengadakan sebuah konsert besar di lokasi yang saya impikan iaitu Stadium Negara.
“Stadium Negara memang pilihan saya. Ia boleh memuat lebih ramai penonton berbanding kebanyakan persembahan tertutup yang dijayakan sebelum ini. Di stadium, tempatnya tentu tidak terhad dan tiket tidak semahal sebagaimana dalam persembahan eksklusif saya sebelum ini,
“Konsert itu untuk semua, terutamanya golongan muda yang tidak pernah melihat saya melakukan persembahan besar. Jadi, inilah masanya untuk tarik dan tunjukkan kepada mereka makna sebenar sesebuah konsert,” tegasnya.
Tiket-tiket Sheila Majid: The Concert 2017 yang berharga RM98, RM188, RM288 dan RM388 telah dibuka untuk jualan menerusi laman web www.ticketcharge.com.my.
Peminat turut disediakan tiket kelas Premium yang dijual pada harga RM888, RM688 (VVIP) dan RM488 (VIP). Untuk maklumat lanjut, hubungi talian 03-9222 8811.