Aiman Tino bercuti ke luar negara buat kali pertama


Aiman Tino akan keluar bercuti ke sebuah lokasi rahsia di luar negara bersama kedua ibu bapanya mulai esok hingga 22 April ini.

Setelah single pertamanya, Ku Rela Dibenci meledak popular lebih setahun lalu, selama itulah penyanyi Aiman Tino mengakui tidak pernah berpeluang untuk benar-benar menikmati makna percutian.

Semuanya disebabkan jadual persembahan pentasnya yang terlalu padat sehingga tiada masa untuk diri sendiri.

Justeru, bermula esok hingga 22 April ini buat pertama kalinya dalam sejarah kerjaya dan hidup Aiman atau nama sebenarnya, Muhammad Aiman Yusri, dia akan bercuti ke luar negara untuk berehat daripada segala komitmen karier.

Selain itu, Aiman, 19, yang kini sedang sibuk mempromosikan produk kecantikan bawah jenama Sweet Aiman di pusat beli-belah Mydin Mall seluruh negara turut mencuri perhatian khalayak apabila hadir ke lokasi persembahan pentas menaiki kereta mewah Audi R8.

Kosmo!: Benarkah Aiman bakal bercuti ke luar negara buat kali pertama dalam masa terdekat?

aiman TINO: Ya, memang benar saya akan bercuti ke luar negara pada 18 (esok) hingga 22 April ini. Ini merupakan percutian pertama ke luar negara dalam sejarah hidup saya dan juga sepanjang bergelar penyanyi.

Boleh kongsikan destinasi yang dipilih?

Destinasinya tidak begitu jauh tetapi saya tidak boleh dedahkan buat masa sekarang. Biarlah rahsia. Saya teruja sebab inilah masa untuk berehat selepas setahun bekerja tanpa henti. Saya akan bercuti bersama ibu bapa dan bapa saudara saya.

Adakah anda sengaja mengambil cuti dalam tempoh yang singkat?

Sepatutnya saya mahu mengambil cuti yang lebih panjang tetapi jadual karier terlalu padat jadi memadailah dengan lima hari bercuti daripada tiada langsung. Sebaik sahaja pulang ke Malaysia, saya akan sibuk dengan Anugerah MeleTOP Era 2017 yang akan berlangsung pada 23 April ini di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor.

Boleh Aiman jelaskan tentang khabar angin yang mendakwa anda meminta bayaran mahal untuk persembahan pentas?

Soal urusan bayaran persembahan, semuanya saya serahkan kepada bapa, Yusri Ishak dan syarikat pengurusan. Saya masih terlalu baharu sebagai penyanyi dan tidak tahu berapakah harga yang patut diletakkan. Namun, apa yang pasti dakwaan mengenakan harga yang terlalu mahal itu tidak benar.

Apakah bukti untuk anda menafikan dakwaan tersebut?

Saya baru pulang daripada menjayakan persembahan di Alor Setar, Kedah dengan bayaran sebanyak RM1,500 sahaja. Jika khabar angin itu benar, mana mungkin saya ke Kedah hanya dengan menaiki kereta bersama bapa.

Jadi, bagaimana pula dengan kereta mewah jenama Audi R8 yang digunakan ke lokasi persembahan? Sebenarnya sejak bila kereta mewah tersebut menjadi kenderaan rasmi Aiman?

Sejak Februari lalu tetapi kereta itu bukan milik saya, sebaliknya ia merupakan kenderaan syarikat Wonder Glow. Kereta tersebut akan digunakan jika ada persembahan membabitkan produk Sweet Aiman sahaja. Setiap kali keluar menaiki kereta tersebut, saya juga disediakan seorang pemandu memandangkan saya belum memiliki lesen memandu.

Bilakah anda bercadang mahu mengambil lesen memandu?

Dalam masa terdekat, saya baru sahaja menamatkan kelas enam jam yang wajib dihadiri mana-mana pemohon lesen memandu dan akan mengambil ujian komputer tidak lama lagi. Jika mempunyai lesen memandu, saya akan mempertimbangkan membeli kereta sendiri supaya memudahkan urusan kerjaya seni.

Boleh kongsikan perkembangan terbaharu kerjaya anda?

Pada bulan Ramadan nanti, saya bakal muncul dengan sebuah lagu raya berjudul Lara Dalam Kerinduan ciptaan bapa dan rakannya. Selain itu, saya juga banyak mendapat tawaran lakonan tetapi ibu bapa menasihatkan supaya fokus kepada nyanyian terlebih dahulu.

Post a Comment

Previous Post Next Post