Ezzaty Abdullah, Sangka Hamil Ketika Kerjakan Umrah


Ezzaty dan Azwan Kombos akui agak kecewa selepas jangkaan mereka meleset.

Pelakon Ezzaty Abdullah agak kecewa kerana dia mengjangkakan hamil semasa mengerjakan umrah namun perkara itu menjadi sebaliknya.

Ezzaty, 27, berkata, selepas tiga minggu pulang dari umrah pada Januari lalu, dia kembali datang haid.

"Saya tidak datang haid 40 hari dan ketika itu saya dan Azwan menunaikan umrah, selain itu saya juga mengalami tanda-tanda orang mengandung iaitu muntah-muntah dan sakit perut.

"Tapi bila balik sahaja di Malaysia, saya 'datang bulan'. Perasaannya sudah tentulah kecewa kerana kami memang berharap dikurniakan anak cepat," ujarnya kepada mStar Online.

Pelakon drama Mak Cun ini diminta mengulas tentang perkembangan rumah tangga selepas lapan bulan bergelar suami-isteri.


Azwan dan Ezzaty sudah ada nama anak.

Ezzaty berkahwin dengan pelakon Azwan Kombos pada 16 Julai 2016 dalam sebuah majlis yang diadakan di kediaman aktres itu di Bentung, Pahang.

Tambah Ezzaty, dia tidak melakukan sebarang pemeriksaan terhadap kesihatannya selepas kejadian itu.

"Ada rakan minta saya buat pemeriksaan di klinik tapi saya tidak mahu. Biarlah, saya tidak mahu tahu sama ada saya gugur atau ia haid biasa.

"Saya anggap belum ada rezeki dan apa yang saya alami itu (muntah-muntah), sebagai ujian menjalani ibadah umrah," ujarnya.

Dalam pada itu, bercerita tentang keterujaan menjalani kehidupan berumah tangga, Ezzaty berkata, mereka sudah mempunyai senarai nama jika dikurniakan cahaya mata.

"Cita rasa kami selalu berbeza tapi itu menjadikan kami semakin mengenali dan seronok. Kami sering juga bergaduh kerana pemilihan perabut kerana dia suka lain dan saya suka yang lain.

"Kami juga sudah ada senarai nama anak, tapi itu pun sukar juga nak buat pilihan kerana Azwan suka pilih nama yang mana saya tidak berkenan," ujarnya.

Sementara itu, pelakon yang mula dikenali dengan drama Delina itu berkata, dia menghadkan kerjaya lakonannya bagi menjalankan tanggung jawab sebagai seorang isteri dengan baik.

Post a Comment

Previous Post Next Post