Eksklusiviti cinta, karier Zahirah Macwilson


Takut - Zahirah tidak takut kehilangan peminat kerana yakin mereka setia menyokongnya dalam apa jua keadaan.

Agak lama tidak melihat kelibat si cantik manis, Zahirah Macwilson di kaca televisyen terutama sejak gosip putus cintanya bersama pelakon Zul Ariffin, bertebaran hujung tahun lalu.

Ramai yang tertanya-tanya adakah pemilik nama sebenar Nur Zahirah Zainol Johari Macwilson ini sudah merajuk dan mahu membawa diri keluar dari industri seni tanah air.

Sewaktu wanita tinggi lampai itu hadir untuk sesi fotografi bagi Drama Sangat Bus Tour di Sri Pentas, TV3, Damansara baru-baru ini, dia hanya tertawa dengan anggapan tersebut dan menolak andaian dia terasa hati.

Kata Zahirah, memang sudah setahun dia mendiamkan diri tetapi bukan kerana merajuk. Sebaliknya, kerana memberi ruang kepada diri sendiri untuk bertenang dan menilai semula apa yang terjadi dalam perjalanan kerjayanya.

“Saya tidak menyepi kerana membawa hati atau mahu berhenti menjadi pelakon. Cuma saya tidak mahu wajah terlalu kerap muncul di kaca televisyen dan membuatkan orang bosan.

“Walaupun produk lakonan saya tiada, tetapi saya masih menjalani penggambaran seperti biasa cuma hasilnya sedang menunggu giliran untuk ditayangkan,” katanya lagi.

Diusik adakah dia sengaja menghilang seketika kerana mahu melarikan diri daripada kontroversi, Zahirah berkata itu juga salah satu harapannya secara tidak langsung.

Menurut pelakon drama Mencintaimu ini lagi, sebab utama ‘kehilangannya’ adalah untuk menganalisis diri tetapi jika ia turut membantu dalam menghakis cerita gosip, maka itu adalah satu bonus.

“Saya banyak belajar daripada kontroversi pada awal penglibatan dalam dunia hiburan dan salah satu daripadanya ialah belajar untuk menutup mulut bila perlu.

“Hal ini kerana setiap gosip yang diwujudkan bukan datang dari mulut saya mahupun Zul, jadi rasanya lebih baik mengunci mulut daripada memberi sebarang komen,” jelasnya sambil tersenyum nipis.

Bercinta


Sokong - Walaupun jarang dilihat bersama, Zahirah dan Zul saling menyokong antara satu sama lain.

Jika sebelum ini Zul, 31, enggan membuka mulut tentang hubungan asmara mereka, hal itu berbeza buat Zahirah.

Bagi Zahirah pula, dia tiada masalah untuk mengakui mereka masih bersama dan bahagia, cuma tiada apa yang perlu dikongsi atau diberitahu kepada umum setakat ini.

Biarpun sudah beberapa kali diuji dengan kisah putus cinta dan kehadiran orang ketiga, ikatan istimewa yang sudah dijalani sejak dua tahun lalu itu kekal utuh dan tidak tergugat.

“Ya, saya memang ada dengar gosip Zul kembali kepada bekas kekasihnya dan kami sudah berpisah. Saya juga sudah terbiasa dengan khabar angin seperti itu jadi tiada sebab untuk mengamuk.

“Lagipun, kami memegang prinsip saling mempercayai dan sikap berterus terang dalam percintaan. Setakat ini, ia menjadi tunjang kekuatan hubungan saya dan Zul,” katanya tegas.

Dalam pada itu, ramai yang tertanya-tanya bagaimanakah pasangan sama cantik sama padan ini bercinta apabila mereka jarang memuat naik gambar bersama di laman sosial. Mereka juga amat jarang dilihat hadir bersama dalam majlis hiburan.

Anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu hanya tersenyum. Dia mengaku sebagai pasangan kekasih yang matang, kisah percintaan mereka bukanlah untuk tatapan umum. Sebaliknya cukup diketahui oleh berdua sahaja.

“Ramai yang bertanya, bagaimanakah rasanya bercinta dengan Zul Arifin, seorang yang serius dan tegas, tetapi orang tidak tahu, sikapnya bukan begitu apabila bersama saya.

“Itulah keistimewaan hubungan kami apabila hanya saya tahu sisi berbeza Zul di sebalik sifatnya ketika bekerja. Kami bahagia dengan cara percintaan sekarang yang tertutup, tetapi dalam masa sama tidak merahsiakan hubungan mesra yang terjalin,” ceritanya yang tidak mempunyai masalah jika mereka berdua dilihat di tempat umum.

Selektif

Berbalik pada soal kerjaya, meskipun baru setahun jagung dalam dunia lakonan, Zahirah sudah mula mementingkan skrip serta watak yang ditawarkan agar kualiti lakonannya terjaga.

Mengakui selektif dan memilih setiap tawaran yang diberikan, Zahirah berkata, perkara itu perlu kerana dia mahukan sebuah kerjaya yang berpanjangan dan bukan sekadar mengejar populariti semata-mata.

Tambahnya lagi, di atas prinsip itu juga dia berani untuk berehat daripada muncul di kaca televisyen selama setahun kerana yakin, jika penonton meminatinya kerana bakat, mereka tidak akan pernah melupakan dirinya.

“Jika saya mementingkan populariti dan wang ringgit semata-mata, sudah lama saya bolot setiap tawaran yang hadir kerana itu akan menjamin peminat untuk sentiasa mengingati kewujudan saya dalam industri.

“Tetapi saya seorang yang suka melihat keadaan bagi jangka masa panjang dan perlukan tapak yang kukuh dalam industri jika mahu terus bertahan sebagai pelakon. Hal ini kerana jika saya hanya bersandarkan kepada populariti semata-mata, ia bermusim dan tidak kekal lama,” ujarnya lagi.

Selain itu, Zahirah yang masih menangguhkan pelajarannya di Universiti Curtin di Perth, Australia dalam Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia kini dalam pertimbangan untuk menukar bidang pengajiannya kepada sesuatu yang berkaitan dengan kerjayanya sekarang.

Kata selebriti kacukan Melayu-Australia itu, dia akan menghabiskan pengajian kerana itu adalah janji kepada ibunya, Maslinda Yusuf yang mahu dia menggenggam segulung ijazah biarpun bergelar seorang pelakon.

“Saya masih mencari masa sesuai untuk kembali meneruskan pengajian yang berbaki setahun setengah lagi. Bagaimanapun saya sedang mempertimbangkan untuk menukar bidang pengajian.

“Kalau boleh, saya mahu mengambil bidang yang berkaitan dengan dunia seni,” katanya menutup perbualan.

Post a Comment

Previous Post Next Post