Lan Kristal tukar imej demi lagu baharu


TEMPOH 16 tahun berambut panjang membuatkan Lan sedikit kekok untuk tampil dengan imej rambut pendek dan kemas.

PENYANYI Lan Kristal tampil dengan gaya baharu berambut pendek dan kemas selepas 16 tahun berambut panjang. Lan atau nama sebenarnya, Razlan Mohamed Yosof berkata, dia mengambil keputusan untuk mengubah imej kerana mahu menyesuaikannya dengan genre lagu baharu yang direncana menemui peminat dalam masa terdekat.

Pun begitu, vokalis kumpulan Kristal itu mengakui ia bukan perkara yang mudah untuk dilakukan sementelah dirinya sudah sebati dengan imej berambut panjang.

Ikuti penjelasan daripada Lan mengenai perkara tersebut selain turut berkongsi tentang perkembangan terkininya.

KOSMO!: Boleh Lan ceritakan tentang imej baharu berambut pendek?

LAN KRISTAL: Saya mengambil keputusan memotong rambut pendek pada hari Jumaat, 31 Mac lalu selepas 16 tahun menyimpan rambut panjang. Saya tidak memotongnya bukan kerana menyimpan nazar, tetapi sekadar mengambil keberkatan hari Jumaat.

Sebelum ini, sudah berapa lama anda kekal dengan imej berambut panjang?

Saya mula terjun dalam bidang nyanyian sekitar tahun 1999, tetapi waktu itu masih di bangku sekolah. Selepas tamat persekolahan pada 2001, barulah saya tampil dengan imej berambut panjang sehingga sekarang.

Sebelum ini saya pernah memotong pendek rambut tetapi, paling pendek pun setakat paras bahu sahaja. Saya bagaimanapun nekad untuk memotongnya pendek dan kemas seperti ini kerana ingin berubah angin selain tampil dengan pembaharuan.

Saya akan muncul dengan sebuah single solo dan juga lagu baharu bersama Kristal. Ini imej baharu selari dengan lagu baharu nanti.

Adakah anda selesa dengan imej baharu ini?

Pada mulanya memang rasa janggal berambut pendek selepas berbelas tahun menyimpan rambut panjang. Kadang-kadang, tangan tiba-tiba mahu menyelak atau mengikat rambut. Bukan itu sahaja, anak-anak pun jadi hairan melihat saya berambut pendek. Mereka macam tidak percaya saya ialah ayah mereka (ketawa). Namun, sekarang saya cuba biasakannya.

Berambut pendek mungkin tidak sinonim dengan genre rock yang anda bawa bersama Kristal. Apakah komen anda mengenai perkara itu?

Pada saya, zaman sekarang sudah ramai penyanyi rock yang tidak lagi tampil dengan imej berambut panjang. Memang rambut panjang sangat sinonim dengan genre rock, tetapi zaman sudah berubah dan peminat juga terbuka untuk menerima perubahan.

Lagipun, saya potong rambut pendek kerana ingin kembali kepada imej awal saya sewaktu muncul sebagai penyanyi bersama Kristal.

Boleh ceritakan dengan lebih lanjut mengenai single baharu anda?

Memang saya ada perancangan untuk keluar dengan single solo tetapi buat masa sekarang ia masih dalam proses pemilihan lagu. Saya akan mula merakamkan lagu baharu sebelum Ramadan atau selepas sambutan Aidilfitri. Lagu tersebut bergenre slow rock.

Jika anda tampil secara solo, bagaimana pula dengan Kristal?

Saya tampil dengan lagu solo bukan bermakna akan tinggalkan Kristal. Kristal tetap ada tetapi ini adalah percubaan baharu saya untuk diri sendiri. Kadang-kadang, kalau ada tawaran persembahan solo, saya tidak ada lagu solo untuk dinyanyikan. Selepas ini, saya sudah ada pilihan untuk menyanyikan lagu sendiri.

Apakah perkembangan lain anda dan kumpulan Kristal?

Selain lagu solo, saya ada juga perancangan untuk melahirkan single duet bersama Siti Nordiana.

Semuanya berlaku kerana persahabatan akrab kami selain kerap muncul bersama menyanyikan lagu Memori Berkasih. Namun, buat masa sekarang, masing-masing sangat sibuk dengan promosi lagu sendiri.

Mungkin selepas ini kami akan duduk semeja berbincang mengenai perancangan itu.

Perkembangan kumpulan Kristal pula, selain single baharu, kami sekarang sibuk dengan album kompilasi.

Ia mengandungi tiga buah lagu baharu dan 10 lagu lama. Selain itu, kami juga bakal keluar dengan lagu raya yang ditukar liriknya daripada lagu Yang Ku Cinta kepada Raya Yang Kucinta.

Post a Comment

Previous Post Next Post