Amy Search (duduk, tengah) bersama barisan model yang menggayakan rekaan jubahnya yang dipentaskan pada Minggu Fesyen Islamik Asia 2017 (AIFW2017) baru-baru ini.
BIDANG fesyen dan muzik merupakan dua lapangan yang saling bergantungan. Biarpun berbeza sifat, namun intinya masih berpangkal pada paksi seni universal yang sama.
Bagi penyanyi Amy Search, penglibatan dalam bidang muzik selama 35 tahun secara tidak langsung telah banyak mengajarnya tentang dunia fesyen.
Justeru, tidak hairan jika vokalis kumpulan Search itu berani untuk menghasilkan jenama fesyennya sendiri, General Products by Amy Search.
“Sudah lama saya menyimpan angan-angan untuk hadir dengan koleksi fesyen berjenama sendiri. Namun, atas faktor masa dan kurang pengalaman, angan-angan tersebut terpaksa dilupakan seketika.
“Jadi, apabila General Products by Amy Search berjaya direalisasikan, saya berasa sangat teruja. Ia membuatkan saya lebih bersemangat untuk menghasilkan lebih banyak rekaan pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pada Minggu Fesyen Islamik Asia 2017 (AIFW2017) yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur baru-baru ini.
Jika diimbas kembali penampilannya, pemilik nama lengkap, Suhaimi Abdul Rahman, 59, itu gemar bereksperimentasi dengan gaya. Rambut panjang kerinting, celana ketat berona terang dan jaket dengan motif haiwan merupakan antara contoh stail eksentrik yang pernah digayakan beliau.
Seiring dengan peredaran masa dan usia, selera Amy turut berevolusi sepenuhnya. Menerusi koleksi perdana General Products by Amy Search, gaya yang diketengahkan beliau dilihat lebih sesuai dengan cita rasa terkini khalayak.
“Biarpun isteri, Norhasniza Hassan dan rakan kongsi banyak membantu tentang proses produksi, namun idea asal untuk keseluruhan koleksi masih ditentukan oleh saya.
“Pemilihan rekaan dibuat bukan sahaja sesuai dengan trend semasa tetapi bertepatan dengan cita rasa dan gaya saya,” kata Amy yang turut mengusahakan jenama kopinya sendiri, Phewiiit Coffee Co. yang dilancarkan tahun lalu.
Celoreng
Meneliti satu persatu busana yang dihasilkan, terdapat beberapa rekaan daripada koleksi tersebut menggunakan fabrik bercorak celoreng.
Ditanya adakah beliau tidak gusar dengan kritikan yang mungkin diterima memandangkan beberapa selebriti pernah ditegur oleh anggota tentera selepas menggayakan busana bercorak sedemikian, Amy hanya tertawa kecil.
“Kalau dilihat pada pentas peragaan antarabangsa, corak celoreng kerap digunakan oleh pereka fesyen di sana.
“Jadi, saya rasa ia bukanlah satu masalah yang besar. Tambahan pula, ia hanya corak, bukannya satu uniform lengkap,” katanya.
Biarpun optimis terhadap masa depan cabang bisnes baharunya itu, namun keutamaan Amy tetap pada dunia muziknya.
“Benar, banyak yang saya rancangkan untuk jenama ini tetapi muzik dan band tetap nombor satu.
“Buat masa sekarang, kami sedang sibuk di studio rakaman bagi melengkapkan proses rakaman single baharu yang bakal dipasarkan tidak lama lagi,” katanya menutup bicara.