Aznil Nawawi yang mula menggantikan posisi Najip Ali selaku juri baharu MLM 2017 mahu melunaskan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin.
GARA-gara perbualan bersifat sindiran dan mempersendakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi sebuah rancangan bual bicara komedi, Ok Chope! di Singapura pada 29 Mac lalu, kedudukan Najip Ali sebagai pengkritik tetap program Maharaja Lawak Mega (MLM) 2017 terpaksa digugurkan oleh pihak Astro.
Biarpun permohonan maaf secara terbuka telah dibuat oleh Najip, namun keputusan untuk ‘merehatkannya’ buat sementara waktu harus dibuat bagi mengelakkan ketegangan yang berlaku terus berpanjangan.
Justeru, beberapa jam sebelum persembahan minggu kelapan MLM 2017 berlangsung Jumaat lalu, pihak Astro mengumumkan Datuk Aznil Nawawi telah dipilih sebagai pengkritik tetap menggantikan kerusi yang pernah diduduki Najip.
Ikuti temu bual bersama Aznil atau mesra dengan gelaran Pak Nil berhubung tanggungjawab yang baru dipikul pada kemunculan pertamanya dalam MLM 2017 minggu lalu.
KOSMO!: Sebagai juri yang dipilih menggantikan kerusi Najip Ali, boleh Pak Nil kongsikan tentang tawaran tersebut?
PAK NIL: Ketika diberitahu pihak Astro pada Rabu lalu, saya masih berada di London. Pihak produksi tidak terus melantik saya kerana mereka perlu mengadakan perbincangan dengan teliti, namun saya dimaklumkan agar bersedia bagi menggantikan tempat Najip Ali.
Saya memang sentiasa bersedia kerana ingin meredakan keadaan. Alhamdulillah, hari ini (Jumaat lalu) kemeriahannya masih sama seperti minggu-minggu sebelum ini.
Ditawarkan pada saat akhir, boleh terangkan dengan lebih mendalam apakah alasan yang membuka pintu hati anda untuk menerima tawaran tersebut?
Bagi saya, MLM harus diteruskan seperti biasa walau apa jua yang berlaku. Saya anggap tawaran ini sebagai tanggungjawab kepada peserta untuk berkongsi ilmu yang diperlukan peminat. Bukan itu sahaja, malah ia juga cabaran besar kerana Najip ialah sahabat saya. Saya mahu meneruskan keceriaannya dalam program ini.
Perkara yang berlaku telah menyebabkan pertelingkahan antara rakyat Malaysia dan Singapura di laman sosial. Jadi, biarlah saya menjadi air yang akan melembutkan ketegangan tersebut, sekali gus memanjangkan kasih sayang bersama peminat di Singapura.
Juri MLM juga mewakili negara, misalnya Luna Maya dari Indonesia dan Najip dari Singapura. Apabila tiada wakil dari Singapura, adakah keputusan tersebut akan meredakan keadaan?
Saya fikir begini, kalau mahu mengambil wakil dari republik itu pastinya memerlukan proses yang panjang seperti permit kerja dan pemilihan selebriti yang sesuai.
Jadi, untuk mempercepatkan proses, Astro memilih saya. Kemasukan saya dalam MLM bukan sebagai mewakili mana-mana negara tetapi mewakili semua. Biar saya mengakrabkan hubungan antara semua negara.
Adakah anda pernah berbicara dengan Najip berhubung isu berkenaan?
Saya belum menghubungi Najip kerana tidak tahu bagaimana pendekatan yang hendak dilakukan. Ketika dia membuat permohonan maaf secara terbuka saya pula sudah mahu berlepas ke London, jadi belum berpeluang untuk menghubunginya. Saya masih menganggap dia sebagai kawan.
Andai suatu hari nanti ditawarkan bekerja dengan Najip, adakah anda akan menerima tawaran itu?
Walaupun tidak nampak lagi bayangan untuk bekerja dengannya tetapi saya sentiasa bersedia kerana perkara yang terjadi tiada kaitan dengan saya atau MLM. Kami cuma mahu menyenangkan proses untuk menyejukkan keadaan kerana tidak mahu dilihat sebagai tidak sensitif.
Kosmo! turut mendapatkan penjelasan Ketua Pengisian dan Komedi Astro, Bob Azrai Kamaruddin tentang keputusan merehatkan Najip Ali daripada program terbitan Astro.
KOSMO!: Boleh Bob jelaskan status sebenar Najip, adakah digugurkan atau dia yang menarik diri?
BOB AZRAI: Dalam situasi ini tindakan yang paling tepat adalah memberhentikan Najip demi menjaga hati beberapa pihak dan meredakan ketegangan yang berlaku. Keputusan ini juga dibuat tanpa tekanan daripada mana-mana pihak. Astro bagaimanapun berasa dia tidak perlu disenarai hitam.
Bagaimanakah dengan reaksi Najip terhadap keputusan tersebut?
Najip Ali sudah membuat permohonan maaf secara terbuka dan saya rasa itu adalah tindakan tepat untuk meredakan keadaan. Apabila sudah meminta maaf, secara tidak langsung menunjukkan Najib bersedia dengan sebarang kemungkinan yang berlaku.
Adakah Najip tetap ada peluang untuk bersama Astro pada masa hadapan?
Seperti yang saya katakan, kita mahu meredakan agar program MLM yang berbaki empat minggu dapat diteruskan seperti biasa. Jika suatu hari nanti keadaan kembali tenang dan Najip sudah boleh diterima, kami pasti akan memanggilnya. Saya tidak rasa disebabkan satu kesalahan, kita akan terus mengecamnya kerana Najip merupakan seorang bintang yang begitu dikenali seluruh rakyat Malaysia.