Sara Ali pilih tanggal tudung


PENDEDAHAN - Setelah sekeping gambar menampakkan dirinya tidak bertudung sewaktu bercuti di Shanghai, China baru-baru ini mendapat perhatian, Sara tampil membuat kenyataan secara langsung menerusi Instagram dan Facebook mengenai status imej terkininya.

BAGAI kata pepatah, terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan buruk padahnya. Begitulah gambaran keadaan seseorang sekiranya mendahulukan emosi berbanding akal fikiran.

Perlambangan tersebut tepat menerjang ke muka pelakon genit Sara Ali yang kini kembali tidak bertudung, sekali gus meletakkan dirinya sebagai titik sasaran kritikan peminat.

Setelah hampir setahun menjalani kehidupan sebagai muslimah yang menyempurnakan tuntutan menutup aurat, Selasa lalu, secara rasminya Sara membuka pekung di dada mengakui tindakannya tersebut (bertudung) sebagai suatu keterlanjuran.

Dalam nada sedih bercampur hiba, berita yang diakuinya sendiri sebagai bukan sesuatu yang membanggakan diumumkan kepada seluruh khalayak secara langsung pada sebuah sidang akhbar yang dipancarkan menggunakan penstriman di media sosial Instagram dan Facebook rasminya.

Ditemui di pejabat pengurusannya, Paranormal Studios di Bandar Sri Damansara, Sara menjelaskan, keputusan untuk bertudung sebelum ini dibuat bukan atas kerelaan sendiri, sebaliknya berpunca daripada sikap terikut-ikut dengan sebuah organisasi yang menjalankan perniagaan berlandaskan aktiviti keagamaan sehingga mendorong dirinya bertindak sedemikian.

“Saya memohon maaf kepada semua pihak atas tindakan membuka tudung. Saya tahu bahawa perbuatan ini pastinya bukan suatu perkara yang perlu dibanggakan.

“Tindakan mengenakan tudung yang dilakukan sekitar setahun lalu berpunca daripada kebodohan diri sendiri yang mudah terpengaruh cakap orang,” kata Sara saat memperincikan alasan tidak lagi bertudung.

Sepintas lalu, nada tutur katanya kedengaran seakan-akan cuba meletakkan kesalahan kepada pihak lain. Sara bagaimanapun bertegas, keputusan untuk bertudung yang dibuat hampir setahun lalu berpunca daripada kesilapan sendiri.

Enggan membuat justifikasi secara peribadi kerana setiap individu berhak membuat pilihan yang dirasakan terbaik untuk diri sendiri, Sara terus dibiarkan memberi penerangan tentang pegangannya.

Kata Sara, sikap terburu-buru ketika membuat keputusan (bertudung) menyebabkan dia terlepas pandang daripada memikirkan implikasi yang bakal berlaku dalam hidupnya.

“Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak. Saya mengakui kejadian ini berlaku berpunca daripada diri sendiri kerana ia dilakukan tanpa kerelaan hati,” ujar Sara berbunyi kesal.

Oleh sebab itu, Sara membulatkan hati memilih untuk tidak ingin hidup dalam kepura-puraan dan mahu tampil berkeyakinan secara terang-terangan dengan imej tidak bertudung di depan khalayak.

Bahan kritikan

Pelik tetapi masih waras berhubung pandangan orang lain terhadap dirinya, Sara atau nama lengkapnya, Siti Sarah Hairi Ali bersedia menerima sebarang kritikan dengan hati terbuka lantaran keputusan yang menyongsang daripada batasan agama tersebut.

Sara mahu sikap berlapang dada terhadap setiap kritikan dan mengambil setiap kata nista yang dilemparkan kepadanya sebagai pembakar semangat untuk meneruskan kehidupan.

“Apabila bersedia memberitahu kedudukan sebenar kepada umum, ia merupakan kesediaan saya untuk menerima segala kecaman mahupun kritikan daripada masyarakat.

“Umum juga boleh meluahkan pandangan mahupun menghakimi saya secara terbuka terutama menerusi media sosial Instagram dan Facebook,” ujarnya sambil mengukirkan senyuman tawar.

Secara lahiriahnya, dia kelihatan kuat menanggung beban kesalahan pada bahu sendiri namun mindanya tetap memikirkan sesuatu. Sara tetap tidak dapat lari daripada berasa bimbang mengenai perasaan ibu bapanya. Dia benar-benar berharap kedua-dua orang tuanya tidak dipersalahkan atas apa yang berlaku.

“Pihak luar tidak boleh menyalahkan kedua ibu bapa saya atas segala yang berlaku kerana kesilapan itu berpunca daripada diri sendiri,” ujar pelakon filem Nur Kasih The Movie.

Mendalami lagi isi hatinya, heroin Songlap itu mengakui insiden lalu telah membuka matanya untuk lebih berfikiran matang sebelum membuat sebarang keputusan.

Pengajaran

Dia juga sedar perbuatannya pasti mengundang reaksi negatif daripada peminat.

“Itu semua iktibar untuk saya. Darah muda membuatkan kerap melakukan sesuatu tindakan mengikut perasaan tanpa memperhalusi baik atau buruk impaknya,” kata Sara.

Pada masa sama, sikapnya yang sering mahu mendominasi setiap keputusan tanpa merujuk pandangan ibu bapa menjadi penyumbang salah percaturan dalam hidup.

Pada wajahnya, jelas terpancar emosi kesal. Meneruskan bicara, Sara mentafsirkan apa sahaja yang berlaku kini sebagai karma atas kedegilan dan sikap mementingkan diri selama ini.

“Sebagai ibu bapa pastinya mereka tidak bersetuju dengan tindakan saya tetapi mereka harus akur kerana segalanya telah berlaku. Ini merupakan pengajaran agar saya tidak terlalu mementingkan diri sendiri, sebaliknya mendahulukan keluarga terutama kedua ibu bapa,” jelas Sara panjang lebar.

Kelat namun itulah yang harus ditelan, Sara bagaimana meletakkan harapan agar diberi ruang untuk kembali diterima khalayak dan pada masa sama, mengharapkan kerjaya seninya tidak terhenti disebabkan kontroversi tersebut.

“Setelah isu ini reda, saya akan kembali aktif dalam bidang lakonan. Sebelum ini, hampir setahun saya berehat daripada dunia lakonan sepanjang tempoh setahun bertudung,” getus Sara menutup bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post