Aiman Suffie kurangkan 14kg demi Hero Remaja


KEJAYAAN beberapa Hero Remaja seperti Fattah Amin, Kamal Adli, Syafiq Kyle, Shahrul Ridzwan dan ramai lagi mendorong, Aiman Suffie menyertai Pencarian Hero Remaja 2017 yang telah pun bermula hari ini.

Menurut Aiman Suffie, rata-rata rakan mendorongnya memasuki pertandingan yang dianjurkan oleh majalah Remaja terbitan Kumpulan Media Karangkraf ini.

Bahkan dia juga melihat Hero Remaja sebagai platform untuk menguatkan lagi namanya di dalam industri selepas ini.

"Saya melihat Hero Remaja antara platform terbesar dalam mencungkil bakat-bakat baru.

"Malah kalau kita lihat kebanyakan selebriti lelaki bermula perjalanannya dari Hero Remaja.

"Walaupun saya sudah mula berlakon, tapi pengalaman saya masih sedikit dan saya melihat pertandingan Hero Remaja ini sebagai satu platform yang baik," katanya petik laporan Media Hiburan.

Tambah Aiman Suffie, demi menyertai pertandingan ini, dia sanggup mengurangkan berat badan dalam tempoh sebulan demi mendapatkan bentuk badan yang sesuai.

"Sebelum ini berat badan saya 89 kilogram (kg), bila saya dapat tahu majalah Remaja buka pencarian Hero Remaja selepas lima tahun, saya terus diet.

"Selain itu saya juga jalani latihan di gym dan Alhamdulillah, saya tak sangka dapat hilang 14 kg dalam masa singkat," ujarnya.

Aiman berkata, apa yang diharapkan dia akan berjaya menempatkan diri sehingga ke peringkat akhir Hero Remaja 2017.

"Tidak dinafikan saingan memang sengit tapi saya harap tuah menyebelahi saya," katanya yang pernah membintangi filem 99 Kali Rindu, Budak Pailang dan drama Gerak Khas.

Sementara itu, majalah Remaja telah pun memulakan pencarian Hero Remaja 2017 dan calon-calon yang berumur antara 17-24 tahun, memiliki ketinggian melebihi 170cm dan bentuk badan yang ideal, Fotogenik dan versatil, bujang dan paling penting warganegara Malaysia, bolehlah datang ke Bangunan Kumpulan Media Karangkraf, No.1, Jalan Renggam 15/5, Seksyen 15, 40200 Shah Alam.

Anda haruslah memakai baju putih dan jeans biru. Selain hari ini, uji bakat juga akan diadakan pada 29 April (Sabtu) dan 6 Mei (Sabtu) dari 9 pagi hingga 3 petang.

Post a Comment

Previous Post Next Post