ZARINA mengaku cemburu melihat rakan seangkatannya yang masih aktif menyanyi.
Lama menghilang, penyanyi yang popular dengan lagu berjudul Langit Ke Tujuh, Sharifah Zarina bakal mengubat kerinduan peminat dengan sebuah single terbaharu hasil ciptaan penyanyi dan komposer berbakat, Ippo Hafiz tidak lama lagi.
Ditemui pada sidang akhbar Seiring Sejalan Boracay di Publika baru-baru ini, Zarina atau nama lengkapnya Sharifah Zarina Wan Hassan, 35, turut berkongsi pandangan peribadinya mengenai dunia muzik mutakhir ini yang disifatkan lebih memihak terhadap kuantiti berbanding kualiti.
Justeru, dengan harapan kembali memeriahkan industri muzik tanah air, bekas peserta program Gegar Vaganza musim pertama itu sanggup berkorban wang dan masa, asalkan dapat kembali menyanyi dan berkongsi aspirasi muzik dengan peminat.
KOSMO!: Apa khabar Zarina? Boleh kongsikan perkembangan seni yang terbaharu?
SHARIFAH ZARINA: Alhamdulillah, sihat. Insya-Allah selepas Julai nanti, saya akan muncul dengan single terbaharu ciptaan komposer berbakat, Ippo Hafiz. Sebenarnya, kadang-kadang saya berasa takut untuk menerbitkan single memikirkan khalayak sering mengharapkan saya hadir dengan single yang lebih ‘kuat’ daripada Langit Ke Tujuh.
Mengapakah anda memilih untuk menyanyikan lagu ciptaan komposer muda seperti Ippo Hafiz kali ini?
Sebenarnya, saya sudah mendengar kebanyakan lagu daripada album sulung Ippo. Bagi saya, dia seorang penyanyi dan komposer yang berbakat. Saya hasilkan single pun menggunakan wang simpanan sendiri kerana kini, saya tidak bernaung bawah mana-mana syarikat rakaman.
Sebenarnya, saya cemburu melihat rakan-rakan seangkatan yang masih aktif menyanyi. Jadi, selagi punya kudrat, saya akan muncul dengan sekurang-kurangnya sebuah single setiap tahun.
Anda sudah berkeluarga dan pastinya keadaan tersebut membataskan pergerakan untuk aktif dalam nyanyian. Bagaimana anda ingin memastikan komitmen antara keluarga dan bidang seni tidak berkecamuk?
Alhamdulillah, kehidupan saya kini bahagia di samping suami dan tiga orang anak iaitu Al Athalia Deena, Ariana Dina dan Habeeb. Jujurnya, kemunculan semula saya dalam bidang nyanyian bukan sebab ingin popular. Saya memang minat menyanyi dan ia sudah sebati dalam diri. Anak-anak sudah semakin membesar. Jadi, mengapa saya berkata tidak, untuk kembali menyanyi.
Anda kelihatan semakin langsing. Apa rahsianya?
Sebenarnya, saya tidak makan nasi sejak tiga tahun lalu. Boleh dikatakan, saya menjalani diet karbohidrat. Selain itu, saya juga rajin bersenam di gimnasium. Aktiviti kegemaran saya pula adalah berzumba. Hasilnya, kini berat badan saya menjadi 58 kilogram (kg). Saya turun 11kg sejak beberapa tahun lalu. Sasaran saya adalah untuk menurunkan berat badan sehingga 55kg kerana itu berat ideal saya. Usaha ini juga disebabkan keinginan untuk kembali aktif menyanyi.
Bagaimana pandangan anda tentang trend artis sekarang yang mudah mencapai populariti, walhal bakat mereka tidak seberapa?
Ya, industri muzik sekarang meriah dengan kehadiran bakat baharu. Saya menyifatkan situasi tersebut sebagai perkembangan yang positif. Sekarang memang senang mahu menjadi artis. Muat naik video nyanyian di laman sosial seperti Instagram atau Smule, terus boleh jadi artis rakaman.
Zaman saya dahulu lain. Saya lihat, ada penyanyi yang mempunyai bakat tidak seberapa tetapi disebabkan wajah yang kacak atau cantik, terus nama mereka dijulang tinggi. Soal bakat kurang diambil kira. Kasihan saya lihat penyanyi-penyanyi yang berbakat namun tidak diberikan peluang yang sepatutnya.