Impian besar Aizat Amdan


KERJASAMA - Selain single Jangan Menangis, Aizat Amdan juga pernah bekerjasama dengan Faizal Tahir menerusi lagu Kullul Hubbi yang dicipta semasa menyertai misi kemanusiaan One Moment For Them. Selain mereka, lagu tersebut turut dinyanyikan bersama Noh Salleh dan Mu’Adz Dzulkefly.

melangkah masuk dalam arena muzik tempatan pada 2007 menerusi program realiti Akademi Fantasia musim kelima, tempoh 10 tahun dalam industri sudah cukup menggilap nama Aizat Amdan sebagai sebutir bintang berbakat besar.

Roda seninya pernah mengalami naik turun, namun putaran tersebut sedikit pun tidak memadamkan api semangat anak jati kelahiran Kuala Lumpur itu untuk terus menyinar dengan karya-karya yang menawan kalbu.

Tidak mahu sekadar berpuas hati dengan rekod-rekod gemilang yang pernah dikecapi dalam pelbagai acara anugerah sebelum ini, pemilik nama penuh Muhammad Aizat Amdan itu terus mengorak langkah dengan kehadiran single baharu berjudul Jangan Menangis.

Lebih menarik, impian Aizat untuk bergandingan dengan idolanya, Faizal Tahir sejak sekian lama menjadi kenyataan apabila penyanyi lagu Assalamualaikum itu turut memberikan sentuhan dalam lagu baharunya. Selain Faizal, komposer Mike Chan turut terlibat dalam pembikinan single Jangan Menangis.

“Niat untuk bekerjasama dengan Faizal Tahir memang sudah lama tertanam tetapi disebabkan kekangan masa, impian itu terpaksa ditangguhkan.

“Secara kebetulan, kami disatukan dalam sebuah misi kemanusiaan One Moment For Them di Jordan, sekitar dua tahun lalu. Semasa di sana, saya dan Faizal banyak berkongsi pengalaman dan pandangan.

“Apabila pulang ke Malaysia, Faizal memberi cadangan ingin menulis lagu untuk saya. Perkara itu membuatkan saya sangat teruja,” ujarnya memulakan bicara.

Berkongsi kisah awal pembikinan single yang mendapat kerjasama daripada tiga syarikat rakaman iaitu Warner Music Malaysia, Faithful Music dan Kasi Gegar Entertainment (KGE) tersebut, Aizat menjelaskan, lagu berkenaan diinspirasikan daripada pengalaman semasa menyertai misi di Jordan.

Menambah keindahan lirik sedia ada tulisan Faizal Tahir, Aizat memasukkan sedikit pengalaman peribadinya yang berdepan dilema untuk tinggal berasingan dan keluar dari rumah keluarganya, dalam lagu berkenaan.

“Memang pada awalnya saya ingin menulis lirik tentang pengalaman menyertai One Moment For Them dan judulnya adalah idea daripada Faizal Tahir sendiri.

“Bagaimanapun, lirik itu tidak dapat disiapkan. Faizal memberi kebebasan kepada saya untuk menghabiskan lirik berkenaan. Akhirnya, ia cenderung bercerita kisah peribadi,” terangnya.

Berdikari

Sengaja dikorek privasi yang terselindung di sebalik single tersebut, Aizat melepaskan tawa kecil. Sambil tersipu malu, penyanyi lagu Sungai Lui itu memberitahu, segalanya berlaku apabila dia mengambil keputusan untuk hidup berdikari.

“Saya merupakan anak kelima daripada enam orang adik-beradik. Ibu begitu melindungi dan memanjakan saya. Jadi, apabila saya menyuarakan hasrat ingin hidup sendiri, keputusan itu membuatkan ibu berasa sedih.

“Sebenarnya, keputusan untuk berpindah rumah dibuat kerana saya ingin mengubah angin selain sudah tiba masanya untuk lebih berdikari,” ceritanya tertawa.

Setelah usaha memujuk ibunya berjaya, akhirnya pada tanggal 31 Ogos tahun lalu, Aizat mula berpindah dan menyewa sebuah rumah bertempat di Damansara Perdana.

Diusik, apakah perbezaan besar yang dirasai Aizat apabila tidak lagi sebumbung dengan ibu bapa, tanpa berfikir panjang dia menjawab:

“Saya rasa perkara paling sukar adalah menggosok baju. Bayangkan, saya terpaksa menonton video tutorial cara menggosok baju menerusi YouTube.

“Bagaimanapun, keputusan berpindah lebih memudahkan urusan kerja saya kerana kawasan rumah berdekatan dengan pejabat Warner Music.

Aizat turut mengakui mempunyai banyak perancangan kerjaya bersama syarikat tersebut.

Impian

Berbicara mengenai perjalanan jenama muziknya yang kini genap berusia 10 tahun, Aizat menyifatkan masih banyak perkara baharu yang ingin dilakukan.

Baginya, tempoh sedekad yang dilalui masih belum cukup untuk memahat nama. Justeru, dia menetapkan matlamat ingin menghasilkan lebih banyak penulisan lagu, sama ada untuk dirinya atau penyanyi lain.

Tidak ketinggalan, Aizat turut memasang impian besar mahu bekerjasama dengan komposer antarabangsa seperti Ed Sheeran.

“Bekerjasama dengan produser dari luar negara mungkin impian paling besar dalam hidup saya, namun pada masa kini perkara itu bukanlah suatu hal yang mustahil.

“Saya pernah menyuarakan hasrat ini kepada penyanyi Yuna dan dia juga pernah mengajak saya terbang ke Amerika Syarikat. Saya percaya pada ketentuan masa, mungkin akan tiba waktunya untuk saya melunaskan impian itu suatu hari nanti,” terangnya optimis.

Berkongsi perkembangan lain, Aizat kini bergelar mentor kepada Fattah Amin. Bersama pelakon popular itu, mereka bekerjasama menghasilkan sebuah single berjudul Wanita Terakhir.

“Saya dan Anas Amdan (abang) banyak menghasilkan lagu dan ketika itu syarikat pengurusan Fattah berminat dengan lagu kami. Setelah melalui beberapa proses latihan dan rakaman, saya menyedari Fattah memang mempunyai bakat besar dalam bidang nyanyian.

“Kegigihan Fattah membuatkan saya bersetuju untuk mengambilnya sebagai protege. Kami akan menghasilkan beberapa buah lagu lagi untuknya,” ujar Aizat yang turut menyumbang sebuah lagu berjudul Dalam Diam untuk album terbaharu Dayang Nurfaizah.

Sebelum mengakhiri bicara, jejaka berusia 27 tahun itu sempat diusik soal cinta. Senyumnya bergumam dan dalam nada tenang, ujar Aizat, fokus utamanya kini adalah kerjaya.

“Untuk tahun ini, fokus saya hanya terhadap karier kerana banyak lagi perkara yang hendak dilakukan, jadi saya tidak sempat untuk memikirkan soal cinta,” tutupnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post