AZHARINA teruja menantikan reaksi penonton menyaksikan persembahan Azharina Live Di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada 26 Mac depan.
KEMBALI merancakkan industri hiburan setelah berjaya menyandang gelaran juara Gegar Vaganza (GV3) musim ketiga pada tahun lalu, penyanyi Azharina Azhar tidak sabar untuk muncul dengan sebuah showcase istimewa di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur menjelang 26 Mac nanti.
Persembahan tersebut secara tidak langsung menjadi pentas solo pertama Azharina, sekali gus simbolik tanda terima kasih buat peminat yang menaruh harapan tinggi terhadap bakatnya.
Mensasarkan kehadiran seramai 500 penonton, persembahan yang dinamakan Azharina - Live At Hard Rock Cafe Kuala Lumpur akan menyaksikan penyanyi berusia 32 tahun itu mendendangkan sekitar 12 buah lagu.
Antara seleksi lagu tersebut ialah Seandainya, 1000 Cinta, Rawan, Sekian Terima Kasih, Kejora Ku Bersatu, Cheap Thrills, Proud Mary, River Deep Mountain High, La Bamba dan Hotel California.
Selain itu, bagi memenuhi permintaan peminat, Azharina juga bakal mempersembahkan lagu wajib iaitu Elegi Sepi, Izinkanlah dan Mama Ku Ingin Pulang
“Diharapkan konsert ini dapat mendekatkan diri saya dengan peminat yang selama ini telah banyak memberi sokongan sehingga berjaya menyandang gelaran juara GV3,” ujar Azharina dalam nada gembira.
Memastikan dirinya berada dalam keadaan baik sebelum konsert bermula, Azharina kini sangat teliti dalam soal penjagaan kesihatan terutama dari aspek penjagaan suara.
“Mendapatkan rehat dan tidur yang cukup menjelang hari konsert adalah perkara utama agar persembahan nanti berjalan lancar dan memberi kesan memuaskan kepada penonton,” ujarnya
Tiket Azharina - Live At Hard Rock Cafe Kuala Lumpur dijual pada harga RM80 hingga RM300 dan boleh didapati menerusi
www.airasiaredtix.com atau kedai muzik Rock Corner dan Hard Rock Shop, Kuala Lumpur.
Sebarang maklumat lanjut mengenai konsert anjuran Melodi United Music dan disokong Persatuan Karyawan boleh e-mel ke
info@melodyunited.com.
Anak angkat
Azharina meriba anak angkat keduanya, Rizkie, sementara Rahmat kini sudah berusia tiga tahun.
Dalam pada memastikan persiapan konsert berjalan lancar, Azharina turut berkongsi detik indah apabila pintu hatinya dibuka Tuhan untuk menggalas tanggungjawab sebagai ibu angkat kepada Rizkie Azharin Azhar Abdullah.
Kehadiran Rizkie memberikan keterujaan berganda buatnya ketika ini.
Bayi yang lahir pada 5 Mac lalu itu merupakan anak angkat kedua Azharina selepas Rahmat Azharin Azhar Abdullah yang kini sudah berusia tiga tahun.
Terpancar emosi bahagia pada wajahnya, Azharina mengakui, pada awalnya dia tidak terdetik untuk mengambil anak angkat kedua dalam tempoh masa terdekat memandangkan Rahmat masih kecil.
“Pada awalnya saya hanya ingin membantu ibu kepada Rizkie tanpa menyimpan sebarang niat untuk mengambilnya sebagai anak angkat kerana menyedari usia Rahmat masih terlalu kecil.
“Tetapi disebabkan kesempitan hidup, ibu Rizkie yang tidak dapat menjaganya. Dia terpaksa menyerahkan tanggungjawab itu kepada saya,” jelasnya.
Bercakap tentang masa depan anak-anak angkatnya, Azharina tidak menyimpan niat untuk memisahkan atau menghalang kedua-dua anak angkatnya daripada bertemu dengan ahli keluarga kandung masing-masing.
Wanita kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu sendiri mengakui, bersedia membawa kedua-dua anaknya atau menerima kunjungan keluarga kandung sekiranya ada waktu kelapangan.
Teruja bercerita tentang permata hati baharunya, faktor kelahiran pramatang menyebabkan saiz Rizkie lebih kecil daripada bayi yang dilahirkan cukup bulan.
“Saya bersyukur dengan keadaan Rizkie yang semakin sihat biarpun pada awalnya kelihatan terlalu kecil kerana lahir pramatang.
“Meskipun kadangkala berasa penat kerana Rizkie memerlukan penjagaan yang rapi, tetapi segala keletihan itu terubat apabila melihat wajah comelnya,” ujar Azharina bahagia.