Rezeki Anzalna Nasir


SELEPAS hampir setahun berehat daripada aktiviti seni, pelakon Anzalna Nasir kini kembali ke lokasi penggambaran menerusi beberapa projek drama terbaru lakonannya.

Kemunculan kembali pelakon heroin drama Memori Cinta Suraya ini sekali gus menepis dakwaan yang mengatakan dia kini sudah tidak tidak berminat dengan dunia lakonan selepas mendirikan rumah tangga.

“Selepas berkahwin memang memang mengambil keputusan untuk berehat seketika dari dunia lakonan kerana ketika itu saya dalam proses menyesuaikan diri dengan dunia baru saya sebagai isteri dan agak sibuk dengan macam-macam perkara.

“Mungkin disebabkan banyak tawaran lakonan yang telah saya tolak dalam tempoh itu, jadi orang sangka saya sudah tidak berminat lagi untuk berlakon, namun hakikatnya tidak kerana saya hanya menunggu masa yang sesuai untuk kembali aktif,” jelas Anzalna.

Awal April ini, Anzalna mula turun ke lokasi untuk menjalani penggambaran drama 100 episod terbitan Global Station, Tuscan Passion.

“Alhamdulillah saya sekali lagi mendapat kepercayaan dari Global Station untuk terlibat dalam drama terbitan mereka walaupun kali ini saya diberikan watak antagonis.

“Kali terakhir saya dapat watak antagonis sekitar tahun 2012 lalu dan nampaknya saya perlu bekerja keras untuk kembali beraksi dengan watak sebegitu setelah sekian lama diberikan watak baik,” katanya.

Mengakui lebih banyak terlibat dengan drama-drama berepisod panjang, kata Anzalna dia lebih selesa begitu kerana ia lebih mudah untuknya memberi tumpuan kepada lakonannya dalam satu-satu masa.

“Pada mulanya ia hanya kebetulan bila saya banyak terlibat dengan drama episod panjang, namun lama kelamaan rasa seronok pula kerana saya tidak perlu nak terkejar-kejar sebagaimana drama episod pendek yang jadualnya agak padat kerana mengejar tarikh tayangan.

“Dalam masa yang sama, bila sudah terlibat dengan episod panjang yang mengambil masa penggambaran selama beberapa bulan, kita tidak perlu fikir tentang tawaran kerja lain dalam masa yang singkat,” ujarnya jujur.

Biarpun lama berehat sebelum kembali berlakon, Anzalna tidak pernah risau tentang populariti dirinya, malah sentiasa percaya kepada rezeki atas segala apa yang dilakukannya.

“Saya tak larat nak kejar populariti kerana takkan mampu untuk melakukannya apatah lagi dengan kehadiran ramai pendatang baru setiap hari dalam industri.

“Asalkan ada orang masih ingat, penerbit mahupun pengarah masih lagi cari saya untuk memberikan tawaran berlakon, itu sudah cukup untuk saya dan dalam masa yang sama membuktikan saya masih wujud dalam industri.

“Jadi soal populariti tu, saya sudah tak fikir sangat kerana bagi saya kalau orang suka lakonan saya, OK lah dan kalau sebaliknya pun saya terima dengan hati yang terbuka kerana kita tidak boleh paksa orang untuk suka kita,” tegasnya yang bakal muncul dengan drama terbaru lakonannya, Arluna.



Tunjuk kebahagiaan

Lari daripada cerita kerjaya seninya, pelakon yang murah dengan senyuman ini turut berkongsi tentang kehidupannya setelah bergelar isteri kepada Haniff Zaki.

“Alhamdulillah diam tak diam rupa-rupanya sudah setahun kami berkahwin dan saya melalui perjalanan setahun ini dengan penuh rasa bahagia.

“Bila dah nak mula kerja balik ni, apatah lagi untuk penggambaran yang bakal mengambil masa selama lapan bulan, rasa berat hati pula.

“Namun saya bernasib baik kerana suami tidak pernah menghalang, malah sentiasa menyokong apa sahaja yang saya suka lakukan asalkan ia dapat menggembirakan hati saya,” kongsinya lagi.

Bagaimanapun, di sebalik itu ada juga pihak yang berasakan Anzalna seolah-olah sengaja menunjukkan kebahagiaannya dengan suami secara berlebihan menerusi status dan gambar-gambar yang sering dikongsi di laman sosial miliknya.

“Saya tidak pernah terfikir untuk menunjuk-nunjuk kebahagiaan yang dimiliki tetapi apa yang dikongsi itu adalah apa sebenarnya yang saya lalui bersama suami.

“Kadang-kadang bila dia di tempat kerja dan kami tak jumpa saya akan memuat naik gambar kami berdua berserta kapsyen yang manis sebagai tanda ingatan saya kepada dia ketika itu dan ia juga cara saya menghargai dia.

“Apa pun bukan semua yang saya kongsi kepada umum, ada benda yang kami hanya simpan sendiri dan ada yang kami tidak kisah untuk kongsi,” jelasnya.

Sentiasa positif

Sering kali diajukan tentang persoalan anak, kata Anzalna dia tidak pernah berkecil hati dengan pertanyaan tersebut, sebaliknya sentiasa positif dengan orang di sekelilingnya.

“Selepas kahwin ramai yang tanya bila dan dapat anak dan sebagainya, apa yang saya boleh katakan itu semua perancangan Allah dan mungkin belum tiba rezeki untuk saya dan suami timang cahaya mata.

“Bagaimanapun kami tidak pernah merancang, sebaliknya bersedia pada bila-bila masa sahaja jika dikurniakan anak.

“Apa pun hidup kami berdua tidak pernah sunyi kerana dikelilingi ramai anak buah termasuk bayi kembar kakak saya, Diana yang baru dilahirkan baru-baru ini,” akhiri Anzalna.

Post a Comment

Previous Post Next Post