MALAYSIA - Menurut sumber, Sheeran bercadang untuk mengadakan konsert buat kali kedua di Malaysia sekitar November depan bersempena dengan konsert jelajahnya.
PADA tahun 2009, Ed Sheeran meninggalkan pengajiannya di The Academy of Contemporary Music di Guildford, Surrey, England. Waktu itu, dia hanya berusia 18 tahun. Namun, tindakan meninggalkan pengajian tersebut bukan satu jalan mati buatnya. Tindakan tersebut sebaliknya telah ‘menghidupkan’ Ed Sheeran yang kini diiktiraf sebagai individu paling berpengaruh di Britain pada tahun ini oleh Debrett’s.
Semuanya gara-gara kuasa muzik yang dihasilkan oleh lelaki berusia 26 tahun itu. Meraih perhatian peminat muzik dunia sejak album pertamanya, kini Sheeran memecahkan rekod kariernya sendiri. Dia mencetak satu lagi jenama sukses apabila album terbaharunya, Divide, meledakkan pasaran muzik antarabangsa sebaik ia dilancarkan pada awal bulan ini. Divide merupakan album paling laris terjual pada minggu pertama tahun 2017. Di Britain, penjualan album tersebut mencatat jualan fizikal sebanyak 672,000 unit pada minggu pertama, menjadikan ia album ketiga paling pantas terjual dalam sejarah muzik di negara itu selepas album Adele (25) dan Oasis (Be Here Now).
Di Amerika Syarikat (AS) pula, album yang memuatkan single paling popular masa kini iaitu Shape Of You itu meroket laju di tangga pertama carta Billboard 200 dengan jualan paling tinggi sebanyak 451,000 unit album.
Dalam temu bual bersama ET Online.com, pemilik nama sebenar Edward Christopher itu mendedahkan, Divide adalah karya yang berbeza dengan dua album terdahulu. Penyanyi itu juga menyifatkan album ketiganya ini adalah karya terbaik yang pernah dihasilkan olehnya.
“Dua album saya sebelum ini mengangkat tema seorang lelaki yang patah hati. Namun kini, saya sudah tidak patah hati. Justeru, saya terpaksa mencari sesuatu yang baharu untuk dimuatkan dalam Divide. Jadi, saya bercerita sedikit tentang keluarga melalui melodi dan lirik dalam album ini. Ternyata, ia menjadi,” ujar Sheeran.
Bercerita lebih lanjut mengenai single pertamanya Shape Of You yang distrim (didengar) sebanyak 375 juta kali di seluruh dunia hanya dalam tempoh seminggu di platform penstriman muzik Spotify, Sheeran mendedahkan hit tersebut pada asalnya dibikin untuk diberikan kepada penyanyi lain. Katanya kepada portal muzik BeBoxMusic, lagu tersebut sepatutnya dinyanyikan oleh kumpulan Little Mix atau Rihanna.
“Sebenarnya, saya tidak pernah rasa lagu ini milik saya kerana muziknya tidak sesuai dengan saya.
“Jadi saya menciptanya untuk diberikan kepada Little Mix. Kemudian, dalam pertengahan jalan, saya rasa ia lebih sesuai dinyanyikan Rihanna.
“Namun, selepas hampir siap lagu tersebut, saya rasa lagu ini sebenarnya sedap juga dan saya patut menyimpannya.
“Selepas melakukan beberapa pengubahan dalam lagu itu dan menjadikan ia lebih akustik, kini anda menikmati single itu hasil dendangan saya, bukan orang lain,” kongsi Sheeran.
Putus hubungan
Sebelum Divide mengembalikan Sheeran ke dalam radar hiburan semula, lelaki itu mengambil langkah ‘memutuskan hubungannya’ dengan dunia luar selama beberapa tahun untuk mencari kedamaian minda.
Antara perkara yang ditinggalkannya sepanjang tempoh tersebut adalah ‘membuang’ telefon pintar dan berehat daripada aktif di laman sosial.
“Saya tidak mempunyai telefon untuk satu tempoh yang agak lama dan berehat berinteraksi di media sosial. Hal itu membuatkan saya tiada kebimbangan.
“Saya tidak perlu fikir sama ada saya memerlukan sesuatu daripada orang lain atau mereka memerlukan sesuatu daripada saya.
“Saya lebih rela bercakap secara nyata berbanding di telefon,” tutur Sheeran.
Plagiat
Bagaimanapun, dalam deras arus populariti yang sedang menerpa pelantun lagu Thinking Out Loud itu, dia mempunyai sejarah sebagai pemuzik yang didakwa gemar menciplak idea orang lain.
Sheeran pernah disaman individu bernama Ed Townsend yang merupakan pewaris kepada pencipta lagu popular tahun 1973 bertajuk Let’s Get On It, dendangan asal penyanyi legenda AS, Marvin Gaye.
Terdahulu, lagu berjudul Photograph yang dipetik daripada album Multiply turut menuai kontroversi apabila dikatakan hasil plagiat daripada lagu bertajuk Amazing yang pernah dirakamkan oleh pemenang program realiti X Factor, Matt Cardle pada tahun 2012.
Tidak ketinggalan, Shape Of You turut menerima tempias sama apabila dikatakan mempunyai banyak persamaan melodi dengan single nyanyian penyanyi pop, Sia iaitu Cheap Thrills.
Bagaimanapun, Sheeran tidak pernah memberi sebarang penjelasan mengenai dakwaan-dakwaan tersebut.
Sisi romantis
Sebaliknya, dia lebih gemar melihat dirinya terus terbang tinggi dengan impian yang semakin besar.
“Saya tidak mahu menjadi artis yang mempunyai dua album yang bagus dan kemudian berusaha bermati-matian untuk kekal relevan. Saya harus tahu kehendak pendengar.
“Kalau tidak, saya akan berakhir seperti artis yang tidak berganjak daripada titik pertama sewaktu melangkah masuk sebagai artis pada awal pembabitan dahulu.
“Sebab itu penting untuk selalu dengar apa yang peminat mahu,” ujar Sheeran dalam satu temu bual bersama Radio Beats 1.
Menyentuh tentang kehidupan peribadinya, Sheeran yang kini menjalin hubungan dengan Cherry Seaborn tidak menyembunyikan keinginannya untuk berkahwin dengan kekasihnya itu.
Dia yang tampil sebagai selebriti undangan di salah sebuah stesen radio Australia menerusi segmen, The Kyle and Jackie O Sow, mengakui Seaborn menepati ciri-ciri sebagai seorang isteri.
“Tidak dinafikan saya berasa gembira apabila menjalin hubungan dengannya (Seaborn) dan berpotensi untuk mempunyai anak bersama,” ujar Sheeran.