KURANG dilihat di kaca televisyen, Didie Alias kini sibuk mengendalikan Karnival Lefest yang akan berlangsung pada 24 sehingga 26 Mac depan.
SEJAK kebelakangan ini, kelibat pelakon dan pengacara Didie Alias jarang terlihat di kaca televisyen. Bahkan, wanita yang gemar menggayakan fesyen eksentrik itu juga kurang menghadiri sebarang majlis hiburan mahupun anugerah.
Biarpun kemudi kariernya masih berjalan di bawah radar seni, namun Didie atau nama lengkapnya, Fadzilah Mohd. @ Ali, 45, aktif melebarkan sayap dalam bidang perniagaan.
Terbaharu, pelakon telefilem Syahadah Yang Hilang itu telah dilantik sebagai pengerusi sebuah festival keusahawanan yang dikenali sebagai Karnival Lefest. Karnival berkenaan bakal menjelajah ke seluruh negara bermula di Stadium Negeri, Kuala Terengganu pada 24 hingga 26 Mac depan.
Menurut Didie, dia bersetuju untuk menyandang jawatan tersebut kerana kepercayaan yang diberikan oleh vendor-vendor yang telah dikenali sejak beberapa tahun lalu.
Didie juga menyatakan kesudian untuk membantu karnival tersebut daripada segi promosi dan pemasaran agar nama Lefest dikenali setanding dengan karnival lain.
Dalam pada itu, Didie turut mengulas mengenai isu tuntutan yang dikeluarkan penerbit dan pengasas produk kecantikan, Datuk Rafiena Ezanee berhubung dakwaan kononnya tidak melakukan tugas seperti yang diharapkan.
KOSMO!: Boleh Didie ceritakan bagaimanakah penglibatan anda dalam Karnival Lefest?
DIDIE: Vendor-vendor yang terlibat dalam karnival ini merupakan kawan-kawan lama saya. Kami mengenali antara satu sama lain sejak mereka berniaga di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman beberapa tahun lalu.
Menerusi beberapa perbincangan, mereka tidak mampu untuk menyertai karnival ternama lain kerana bayaran yang dikenakan terlalu mahal. Justeru, saya mengambil inisiatif untuk memperkenalkan Karnival Lefest dan mengenakan yuran mampu milik kepada semua vendor, sekali gus menjadi pengerusi karnival ini.
Berapakah yuran yang dikenakan untuk sebuah tapak ruang perniagaan dalam karnival berkenaan?
Harga yuran yang dikenakan sangat berpatutan iaitu RM1,100 dan RM1,500 untuk selama tiga hari. Apabila yuran murah, vendor yang terlibat turut menawarkan barangan pada harga berpatutan kepada pelanggan. Antara barangan yang dijual termasuklah makanan, pakaian dan aksesori.
Apakah keistimewaan Karnival Lefest pada kali ini?
Sempena penganjuran yang memasuki edisi keempat, kami akan terbang ke Sabah dan kemungkinan juga ke Sarawak. Tambahan pula, Karnival Lefest di Sabah mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta RTM. Saya yakin, ia akan memberikan impak yang luar biasa buat semua vendor terlibat.
Selain anda, siapakah artis lain yang terlibat dalam karnival berkenaan?
Antara selebriti yang akan terlibat ialah Datin Alyah, Hafiz Hamidun, Lana Nodin, Lan Kristal, Lisdawati, Amar Asyraf, Encik Mimpi dan Enot.
Anda pernah terlibat dengan penganjuran sebuah karnival popular suatu ketika dahulu, adakah penglibatan anda dalam Karnival Lefest ini dilihat sebagai persaingan terhadap karnival tersebut?
Tidak sama sekali. Mereka telah membangun sebagai sebuah karnival yang berjaya dan mempunyai pengikut sendiri. Jadi, tidak salah rasanya saya membangunkan karnival lain, khas untuk golongan pertengahan.
Baru-baru ini, penerbit dan pengasas produk kecantikan, Datuk Rafiena Ezanee mengeluarkan surat tuntutan kepada anda. Bolehkan anda perjelaskan isu tersebut?
Saya tidak mahu memanjangkan cerita. Beliau pernah melantik saya menjadi penerbit eksekutif untuk drama Syurgaku Tak Sempurna. Saya juga diberi kepercayaan melakonkan watak Tengku Zaharah dalam drama yang sama. Secara tiba-tiba, saya disingkirkan daripada produksi tersebut dan beliau menghantar surat tuntutan kepada saya atas alasan, saya tidak menjalankan tugas dengan baik.
Adakah anda terkilan dengan situasi tersebut memandangkan anda begitu rapat dengan Rafiena sebelum ini?
Saya agak terkilan tetapi tidak mahu memberikan komen lanjut. Biarlah perkara ini diselesaikan di mahkamah.