LALI: Empat tahun mendirikan rumah tangga dengan maestro muzik, Ramli MS, Alyah sudah lali dengan pandangan umum tentang hubungan mereka yang tidak kelihatan romantik sebagaimana pasangan lain.
Realitinya Alyah merupakan isteri kepada pengarah muzik tersohor, Ramli MS. Namun, menurut penyanyi yang sinonim dengan lagu berirama balada itu, dia tidak pernah menerima layanan istimewa apabila melibatkan kerja, khususnya dalam bidang muzik daripada suami sendiri.
“Barangkali, ramai yang berpendapat saya sangat bertuah kerana bergelar isteri kepada maestro muzik tersohor Malaysia.
“Saya masih seperti dahulu, menyelesaikan kerja-kerja rakaman dan apa sahaja yang berkaitan single tanpa bantuan istimewa daripada sesiapa,” katanya.
Sungguhpun tidak menerima bantuan daripada suami untuk menerbitkan muzik, terdapat sebuah lagu Alyah yang struktur muziknya disusun oleh Ramli MS.
Lagu hasil ciptaan Adi 6ixth Sense itu juga mempunyai kisah menarik di sebalik penerbitannya.
“Single Mengejar Bayangmu yang baru sahaja dipasarkan awal tahun ini merupakan satu-satunya lagu dengan susunan muzik oleh Ramli MS. Menariknya, lagu tersebut telah siap disusun muziknya sekitar enam tahun lalu iaitu sebelum gosip antara saya dan suami diperkatakan umum.
“Saya mengambil masa yang agak lama untuk memasarkan Menunggu Bayangmu kerana situasi tidak mengizinkan pada waktu itu. Namun, selepas segalanya kembali reda, saya memutuskan tahun ini adalah waktu yang paling sesuai untuk memasarkan lagu tersebut,” katanya lagi.
Dalam perkembangan terkini Alyah juga akan melancarkan single terbaharunya, Mengapa Harus Aku tidak lama.
“Single tersebut sungguh istimewa kerana ia menampilkan penyanyi Farawahida sebagai rakan duet.
“Selain itu, saya juga diberi kepercayaan untuk menulis lirik bagi lagu ciptaan Alfie Alwi itu,” katanya yang juga sedang merancang sebuah lagi single baharu bertajuk Jutaan Purnama tidak lama lagi.